Cikgu Razali Saaran, Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan kongsi tujuh rahsia percaya diri yang boleh diamalkan oleh pelajar untuk jadi insan cemerlang.  

Percaya - Pertama sekali, tetapkan matlamat yang hendak dicapai dalam tempoh yang terhad ini. Kita tahu, masa memang sudah singkat, tetapi percayalah anda masih sempat. Selagi mana adik-adik percaya bahawa anda boleh, Insya-Allah anda pasti boleh melaluinya dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Maka adik-adik jangan takut, selagi adik-adik yakin pada diri, percaya bahawa tiada yang mustahil, tetapkanlah apa yang ingin dicapai dalam tempoh yang ada ini.

Emosi - Dalam berhadapan dengan cabaran hari ini, adik-adik perlu mempunyai emosi yang baik. Maksudnya, anda jangan biarkan diri dikuasai oleh emosi yang negatif. Anda perlu sabar dalam berhadapan dengan semua ini. Emosi yang baik, akan memudahkan anda menjalani tempoh belajar ini dengan tenang walaupun ia tidak mudah.

Lakukan - Orang berjaya adalah orang yang buat apa yang ditetapkan. Mereka bukan sekadar membiarkan impian itu di hati atau di mulut sahaja. Untuk berjaya, adik-adik perlu melakukan atau bertindak tanpa bertangguh-tangguh lagi. Apabila anda telah memulakan, teruskan langkah dan jangan berhenti sehingga ke titisan yang terakhir.

Aktif - Oleh kerana masa sudah suntuk, adik-adik perlu aktif. Anda perlu melaksanakan ulangkaji secara berterusan supaya minda sentiasa aktif dan fizikal sentiasa bersedia untuk belajar sehingga peperiksaan berakhir. Tiada istilah bermain-main lagi kerana kita telah bercuti agak lama.

Juang - Apa yang adik-adik sedang hadapi ini adalah satu perjuangan menghadapi cabaran daripada dalam diri dan luar. Semua ini memerlukan kepada semangat juang yang tinggi. Anda mungkin mampu mengalahkan cabaran luar seperti kawan-kawan yang negatif. Namun, belum tentu anda mampu mengalahkan diri sendiri. Wahai anak, jika anda mampu mengalah diri sendiri, Insya-Allah anda akan menang dalam perjuangan ini.

Amanah - Inilah perkara yang cukup penting. Dalam tempoh masa yang terhad ini, untuk membolehkan adik-adik berjaya, anda perlulah menjaga amanah terhadap diri. Amanah terhadap diri itu maksudnya, anda perlu memastikan pelajaran menjadi keutamaan. Anda perlu hadir ke sekolah setiap hari melainkan ada alasan yang munasabah. Jika anda kerap tidak hadir, anda akan tercicir. Sekarang adalah masa untuk memaksimumkan sumber yang terhad. Seandainya peluang yang ada ini tidak dinikmati, kita bimbang, anda akan menyesal bila sampai masanya nanti.

Rasional - Inilah yang penting buat diri adik-adik. Jika kita tidak mampu merasionalkan diri dengan cabaran hidup, akhirnya kita tidak akan kuat untuk menghadapi hidup ini. Dalam situasi sekarang, kita perlu tahu memujuk diri supaya sentiasa positif dan rasional ketika berdepan dengan tekanan yang bukan sedikit ketika belajar pada saat yang mencabar ini.

Akhir kalam, saya doakan semoga adik-adik dipermudahkan urusan dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang bakal tiba. Orang yang menang adalah orang tidak kalah sebelum berjuang. Orang yang berjaya adalah orang yang tidak kalah dengan kegagalan.