IPOH - Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Atyrau Oil and Gas University (AOGU) di Kazakhstan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) secara maya bagi meningkatkan aktiviti kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pertukaran pelajar serta fakulti.

Pengerusi Lembaga Rektor AOGU, Prof Dr Gulzada Shakulikova dan Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib menandatangani memorandum itu bagi pihak universiti masing-masing.

Mohamed Ibrahim berkata, MoU itu akan membolehkan mereka bekerjasama rapat terutama dalam mewujudkan platform yang akan membekalkan para pelajar dengan pengalaman yang luas.

"Ketika ini banyak institusi pengajian tinggi berusaha mendedahkan para pelajar dengan pembelajaran global, bagi membekalkan mereka dengan pemahaman yang perlu di samping pengalaman bekerja merentasi sempadan negara.

"Kita lihat bentuk kolaborasi serta rangkaian kerja ini sebagai pertumbuhan yang penting bagi UTP. Dengan menyatukan kekuatan serta kepakaran kita, ia boleh memacu kedua-dua institusi ini bagi mencapai pendidikan bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menyuarakan harapan agar kolaborasi ini akan membuka jalan ke arah menarik lebih ramai pelajar dari Kazakhstan untuk menyambung pengajian di negara-negara Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan nilai, kapasiti dan keupayaan pengajian tinggi Malaysia.

Mohamed Ibrahim berkata, UTP dan AOGU telah melaksanakan pelbagai inisiatif kerjasama, dengan UTP menerima lima pelajar AOGU bagi program Virtual Student Exchange Programme, dan selain itu kedua-dua institusi turut bekerjasama dalam usaha membangunkan beberapa program akademik bersama untuk ijazah bersama, di samping program khidmat masyrakat - BERNAMA

Artikel menarik

5 teknik yang mampu tarik minat pelajar untuk belajar, cikgu boleh praktikan di sekolah!

Cikgu Nurfidyana kongsi 6 tip menarik bantu murid buat pembentangan yang hebat dan berkesan