Urus emosi dan hormati emosi majoriti, ini yang dikongsikan oleh Guru Cemerlang Matematik Tambahan, SMK Dr Megat Khas, Ipoh, Perak, Cikgu Muhammad Fazdhly Abdul Muttalib di facebook milik beliau.

Tulis beliau, ia sekadar peringatan untuk diri sendiri, sebagai usaha mencari kebahagiaan dan ketenangan. Menariknya, di dalam tulisannya itu juga, beliau turut berkongsi kisah dan sirah, supaya menjadi teladan kita bersama.

Ini perkongsian beliau....

Hidup kita akan kurang tenang sekiranya.

1. Kritikan diterima sebagai ancaman.

2. Komen yang diberi diterima sebagai kecaman.

3. Melihat orang yang tak berjawatan seperti kita sebagai pelaksana yang mesti taat pada keputusan kita tanpa ada ruang perbincangan.

4. Sentiasa memandang orang lain dengan persepsi negatif.

5. Anggap orang lain tak cekap buat kerja.

6. Tidak mahu bertolak ansur dan berlapang dada atas perbezaan pendapat.

7. Menganggap diri kita yang paling banyak kerja, paling penat, paling banyak kena fikir dan paling menjadi rujukan.

8. Melihat orang berjawatan atas kita sebagai ketua yang tiada toleransi.

Kita sama-sama dewasa. Masing-masing ada pengalaman hidup sendiri, ada keperluan yang perlu diuruskan di rumah, juga punya kekuatan dan kelemahan sendiri. Hidup perlu harmoni, bekerja perlu dibuat sebagai satu pasukan orang dewasa.

Pedoman dalam sirah. Mari kita baca.

Kisah 1

Teringat kisah Nabi SAW yang mengarahkan para sahabat untuk menyembelih haiwan ketika tidak dibenarkan masuk ke kota Mekah. Sahabat tak ikut sebab keliru. Nabi SAW disarankan oleh Saidatina Aisyah untuk mulakan dulu sembelihan. Baru sahabat semua turuti.

Pengajaran:

1. Ketua sebagai pemimpin, bukannya bagi arahan top-down sahaja.

2. Action speaks louder than words.

Kisah 2

Teringat kisah Umar al-Khattab yang marah-marah kerana isi kandungan Perjanjian Hudaibiyah yang berat sebelah. Umar al-Khattab difahamkan oleh Nabi SAW tentang sebab di sebalik tindakan Baginda. Umar lalu jadi tenang.

Pengajaran:

1. Anak buah yang lantang, vokal dan marah, perlu difahamkan, bukannya diabaikan.

2. Anak buah perlu bertanya ketua jika tak faham, bukannya mengata belakang.

3. Pemimpin perlu rasionalkan keputusan. Nabi SAW tak kata pada Umar al-Khattab, "Ikut saje ya... Sebab ini arahan ALLAH. Ini wahyu... “.

Kisah 3

Teringat kisah sahabat mengikat seketul batu pada perut dek kerana kelaparan sewaktu menggali parit dalam Perang Khandaq, mereka mengadu kepada Nabi SAW. Nabi SAW tak cakap apa-apa, selak baju dan tunjuk ada dua ketul batu diikat pada perut Baginda.

Pengajaran:

1. Pemimpin tak perlu pukul canang yang mereka penat, lapar, letih dan lain-lain.

2. Emosi anak buah yang majoriti perlu diuruskan, bukannya anak buah kena urus emosi kita selaku pemimpin.

3. Aduan anak buah bukannya suatu kecaman kepada pemimpin.

4. Tindakan lebih bermakna daripada percakapan.

Kita yang kerap beremosi, sentiasa rasa tergugat, sentiasa rasa akulah yang terpenat mungkin lupa bahawa hidup ini kena bermasyarakat, kena bersosial dan kena ada jiwa kehambaan.

Jika khuatir untuk tegur sebab risau orang terasa, lebih baik diam. Sebab mustahil orang yang ditegur itu tak terasa hati. Yang paling penting niat kita yang menegur itu suci dan tulus kerana ALLAH SWT.