Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menzahirkan inisiatif dalam memupuk minat kalangan pelajar sekolah terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selari itu, UTeM melaksanakan program perkongsian ilmu STEM dan Pautan Robotik secara atas talian menerusi facebook Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dan juga facebook UTeM, baru-baru ini.

Program ini merupakan anjuran Pusat Pembangunan Komuniti & I-COE, PJIM dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti & I-COE, PJIM, Prof Madya Dr Effendi Mohamad berkata, secara asasnya program bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah khususnya bagi sekolah-sekolah menengah di negeri Melaka kepada STEM. 

Jelasnya, pengetahuan berkenaan STEM dalam kalangan pelajar sangat penting kerana ia membantu para pelajar memilih kerjaya yang mereka minati berkaitan dengan STEM di kemudian hari.

Katanya, program pemindahan atau perkongsian ilmu STEM ini turut mendedahkan peserta mengenai Pautan Robotik secara spesifik kepada aplikasi automasi mesin. 

“Di samping itu pelajar sekolah menengah juga berpeluang mendalami  pengaturcaraan grafik seperti Minibloq dan Arduino sebagai sistem kawalan bagi projek melibatkan Pautan Robotik,” ujarnya.  

Program siri pertama ini telah dijayakan oleh barisan tenaga akademik UTeM yang terdiri daripada moderator Prof Madya Dr Sharifah Sakinah Syeh Ahmad manakala barisannya panel pula adalah terdiri daripada Dr Mohd Nazmin Maslan, Dr Mohd Najib Ali Mokhtar dan Mahasan Mat Ali.

Mengulas lanjut Dr Effendi berkata, program ini juga menjadi medan kepada barisan pensyarah UTeM berkongsi kepakaran mereka dengan pelajar sekolah dan program ini akan diadakan secara bersiri. 

Artikel menarik

Norma baharu pendidikan 2021, guru-guru masa kini bukan biasa-biasa

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, gambar 11 sekolah dilanda banjir buat warganet sebak

Guru Cemerlang ini gariskan 21 sifat perlu ada dalam diri setiap guru, no 18 paling menarik