Tidak lama lagi, calon-calon SPM dan STPM akan menduduki peperiksaan besar. Setelah berhempas pulas menimba ilmu selama beberapa tahun, inilah masanya untuk anda buktikan kemampuan diri.

Hakikatnya, tidaklah sukar untuk berjaya, calon hanya perlu harunginya dengan penuh tenang, bersedia dan ulang kaji. Selain itu calon juga boleh lakukan 10 tip yang dikongsi oleh Guru Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, merangkap Guru Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran ini.

Kini kita telahpun berada di selekoh terakhir dalam perlumbaan. Setelah berjaya mengharungi pelbagai laluan berliku, selekoh terakhir ini akan menentukan bagaimana kita akan menamatkan perlumbaan.

Kita biasa melihat, ada pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan walaupun semakin menghampiri garisan penamat. Sama ada terjatuh di selekoh terakhir, kecederaan, atau tidak cukup stamina. Inilah yang kita bimbangkan. Untuk mempersiapkan diri pada saat akhir, beberapa tip berikut boleh calon amalkan.

Ingat, kejayaan bukan tentang bagaimana kita memulakan. Tetapi bagaimana kita mengakhirinya.

1. Buat senarai semak

Pastikan calon telah menguasai semua tajuk sebelum memasuki dewan peperiksaan. Tandakan pada tajuk yang telah dikuasai, dengan adanya senarai semak, calon tidak akan terlepas pandang.

2. Buat peta minda

Ini juga cara terbaik untuk mengekalkan ingatan calon-calon pada tajuk yang dikuasai. Peta minda akan memudahkan calon  memahami tajuk yang telah dikuasai secara menyeluruh. Gunakan pen berwarna-warni untuk menghilangkan kebosanan.

3. Belajar berkumpulan

Ini juga baik untuk persediaan pada saat akhir. Mungkin ada tajuk yang kita belum kuasai, rakan-rakan lain boleh membantu. Pada masa sama, ia juga boleh membantu meningkatkan kefahaman dan ingatan terhadap topik yang telah dikuasai semasa kita menerangkan pada rakan-rakan lain.

4. Segera berjumpa guru jika masih samar

Ini yang wajib calon buat kerana guru adalah rujukan terbaik buat calon-calon SPM dan STPM. Jangan ambil masa  lama untuk memahami sesuatu topik, sedangkan anda boleh menguasainya dalam masa singkat, iaitu dengan cara bertemu dengan guru-guru anda.

5. Buat nota ringkas

Ini juga salah satu cara memudahkan calon belajar pada saat akhir. Buat nota ringkas dengan cara anda sendiri. Mungkin boleh dipotong segi empat kecil. Mungkin juga kertas itu dilipat kepada beberapa bahagian. Buatlah dengan cara apa sekali pun, yang penting anda faham dan selesa dengannya.

6. Tampal formula atau fakta-fakta yang sukar untuk disebut atau diingat

Tuliskan atau taip besar-besar dan tampal di dalam bilik atau ruang yang mudah dilihat di rumah. Jika hari-hari dilihat dan dibaca, Insya-Allah, ingatlah juga akhirnya.

7.Banyakkan latihan soalan-soalan sebenar dan soalan-soalan yang mirip dengan soalan sebenar, juga tetapkan masa mengikut masa sebenar peperiksaan.

Jika ini yang calon amalkan, Insya-Allah, calon akan terbiasa dengan bentuk soalan dan masa menjawab yang sebenar.

8. Hargai masa

Ini juga penting. Waktu yang ada ini sangat bernilai. Abaikan dahulu perkara yang bukan keutamaan dan beri sepenuh komitmen pada peperiksaan yang semakin cuti. Lupakan dahulu tentang percutian, lupakan dahulu tentang hobi tertentu yang melibatkan masa yang panjang. Sedikit pengorbanan, Insya-Allah beroleh kebahagian yang berpanjangan.

9. Positifkan minda

Inilah yang paling penting. Percaya pada diri bahawa anda  mampu untuk menguasai semua tajuk. Dalam masa sama, jangan pandang rendah pada kemampuan diri dan elakkan terlalu memandang tinggi pada orang lain. Katakan sahaja dalam diri bahawa dia dan aku sama. Kami sama-sama akan berjaya.

10. Berdoalah

Ya, inilah rahsia terhebat. Berdoalah dalam sujudmu. Berdoalah selepas solatmu. Berdoalah di malam yang sunyi di saat orang lain sedang dibuai mimpi. Insya-Allah, tenanglah hatimu dan mudah-mudahan pertolongan ALLAH sentiasa bersamamu.