Sesetengah orang ada masalah untuk menghafal, lebih-lebih kalau buku tebal dan banyak fakta serta huraian perlu diingati. Sudah berkali-kali dibaca, namun begitu sukar mahu melekat di minda.

Jika berterusan, ada yang terus tutup buku dan sambung tidur!

Berikut beberapa tip untuk menghafal teks dengan mudah dan cepat.

1. Fokus

Sebelum membuka buku, pastikan kamu fokus dan memberi sepenuh perhatian. Elakkan gangguan bunyi kerana ia boleh mengganggu tumpuan. Sebaiknya, tutup saja telefon bimbit.

2. Baca dengan kuat

Membaca dengan nada kuat sehingga diri sendiri boleh mendengar. Sebelum itu pastikan pintu dan tingkap ditutup, supaya suara nyaring kamu itu tidak mengganggu ketenteraman orang lain.

3. Ajar pada orang lain

Mengajar orang lain adalah salah satu cara terbaik untuk menghafal. Ini akan meningkatkan pemahaman dan daya ingatan. Itu sebabnya ilmu harus diajar pada orang lain kerana salah satu manfaatnya kamu sendiri akan menjadi faham dan ingat.

4. Latihan depan cermin

Sekiranya kamu tidak mempunyai pendengar yang sudi menemani kamu seperti ahli keluarga atau kawan, kamu juga boleh bercakap di depan cermin.

5. Guna perakam

Gunakan perakam memori. Terdapat banyak perakam yang boleh kamu gunakan untuk membantu menghafal. Dalam telefon pun ada, kan?

6. Relaks

Biarkan fikiran kamu tenang kerana semakin kamu relaks, kamu akan mudah menghafal dan meningkatkan pemahaman jadi lebih tinggi. Cara untuk relaks? Mudah saja, duduk dengan selesa sambil melepaskan ketegangan otot dengan menghela nafas panjang.

7. Waktu yang tepat

Pilih waktu yang tepat untuk menghafal. Kebanyakan pelajar yang cemerlang dan berjaya, mereka akan tidur selepas Isyak dan bangun semula pada 2/3 malam untuk menghafal, memahami dan mengingati apa yang mereka belajar.

8. Berulang kali

Untuk menghafal, perlu membaca berulang kali. Sebaik-baiknya sehingga tujuh kali. Ini sebab lebih banyak kamu mengulang, maka makin banyak kamu dapat mengingatinya.

9. Buat catatan

Catatan membantu dalam menguatkan daya menghafal. Catat poin penting atau 'highlight' supaya kamu tidak perlu membaca berulang kali di bahagian yang tidak penting.

10. Makanan seimbang

Makan makanan seimbang kerana ia sangat penting untuk memberi nutrien yang diperlukan oleh otak. Seterusnya memudahkan sel otak berhubung.