Bila tiba musim peperiksaan, ramai yang bimbang tidak dapat menjawab atau mencapai sasaran yang diimpikan. Mulalah ada yang kelam-kabut apabila terpaksa belajar pada saat-saat akhir.

Jangan terlalu tertekan dan risau, semua masalah pasti ada jalannya. Cubalah ikut tip berikut. Mana tahu berkesan.

1. Relaks dan positif

Ini penting untuk hilangkan rasa stres. Kalau kita tenang, semua boleh dilakukan dengan baik. Jaga perhubungan diri dengan sekeliling dan paling penting
dengan pencipta. Semua bermula dengan pendirian diri kita. Cuba kosongkan minda, jangan terlampau banyak fikir. Yakin dan percaya dengan kebolehan diri.

2. Fokus kelemahan yang ada

Memandangkan mustahil untuk menelaah semua bab, lebih baik kita ambil pendekatan fokus kepada kelemahan yang ada.

Mana yang sukar faham, itu yang ditekankan. Kalaupun ada soalan yang tidak termasuk apa diulang kaji, sekurangkurangnya dah fokus dan bersiap sedia.

3. Ulang kaji berkumpulan

Cara ini sangat efektif sebab sesi perkongsian ilmu sebegini sebenarnya lebih memudahkan penerimaan.

Saling berkongsi key point ini juga membuatkan kita lebih faham. Tidak perlu ramai, cukup 4 hingga 5 orang sahaja.

Tidak semestinya dibuat secara bersemuka, dalam talian pun boleh. Janji fokus.

4. Imbas soalan-soalan lepas

Jangan pernah tinggal soalan-soalan lepas sebab kadang-kadang guru akan ulang soalan yang sama.

Tapi yang beza hanyalah olahan soalan yang mengelirukan. Selain itu, banyakkan mengikuti perkembangan semasa.

5. Buat ulangan nota

Cara ini sebenarnya untuk menguatkan daya ingatan kita. Bila kita sentiasa ulang sesuatu, itulah yang kita akan ingat. Sebab itu, buat ulangan nota itu perlu.

Untuk lebih berkesan, cuba jangan lihat nota yang telah siap ditulis sebaliknya praktik teknik hafalan sebab itu lebih efektif.

6. Jaga waktu tidur

Ini sangat penting untuk mereka yang gemar belajar saat-saat akhir. Tidur yang tidak cukup bukan sahaja memudaratkan badan menjelang peperiksaan,
malah boleh menjejaskan daya ingatan sekali gus mendorong kita melakukan kesilapan semasa menjawab peperiksaan.

Ingat, semua tip belajar yang dipraktikkan boleh terjejas hanya kerana kurang tidur.