Setiap pelajar mempunyai karakter mereka sendiri, ada yang peramah, berdikari, tidak kurang juga yang pendiam, pemalu dan suka buat hal sendiri. Namun berhadapan dengan mereka tidaklah sulit, sekiranya tahu caranya.

Tip berikut sedikit sebanyak dapat membantu anda berhadapan dengan murid yang pendiam dan pemalu.

1. Sesuaikan diri dengan sekeliling

Pelajar yang pendiam ini mempunyai kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Mereka bukan sahaja perlukan masa untuk berubah, bahkan harus dibantu untuk menyesuaikan dengan rakan-rakan dan juga guru. Sesekali mereka perlu didampingi dan didekati,  supaya mereka tidak berasa bersendirian dan kesunyian.

2. Beri kebebasan memilih

Kebiasaannya pelajar pemalu ini akan menerima apa sahaja yang diberikan kepada mereka. Jadi, apa kata anda biarkan sahaja mereka memilih dan membuat keputusan sendiri. Misalnya memilih tempat duduk dalam kelas dan juga posisi kedudukan yang mereka inginkan. Sekiranya mereka masih belum berani untuk berbuat demikian, boleh dudukkan mereka sama ada di tengah, tepi atau belakang.

3.Dorong keberanian

Menonjolkan kebolehan diri akan dapat membantu pelajar ini keluar daripada zon selesa. Buat aktiviti di dalam kelas yang membolehkan mereka menyuarakan pendapat dan persetujuan. Ia secara tidak langsung melahirkan rasa percaya diri seterusnya mampu untuk berdiri di hadapan khalayak.

4. Kembangkan bakat murid

Biasanya murid yang pendiam ini lebih suka menjadi orang di sebalik tabir. Jadi, cuba asah dan gali bakat serta kemampuan mereka, sehingga rasa percaya itu ada dalam diri.

5. Berikan pujian

Pelajar ini jarang membicarakan tentang keinginannya secara terbuka. Namun, mereka juga manusia biasa yang sentiasa memerlukan kata semangat dan pujian. Justeru, berikanlah penghargaan dan pujian, agar mereka berasa lebih bersemangat untuk berubah.

6. Berikan kepercayaan

Berikan kepercayaan kepada murid untuk lakukan apa sahaja yang mereka inginkan. Jangan pandang rendah sekiranya mereka masih lagi malu-malu untuk tonjolkan kemampuan diri. Siapa tahu satu hari nanti mereka akan menjadi seseorang yang berani, hebat dan cemerlang.

Info!

Murid yang pendiam lebih suka menyendiri dan melakukan aktiviti berseorangan. Mereka akan mudah rasa tertekan sekiranya dipaksa menjadi seorang yang ekstrovert.