Betul ke belajar di rumah tidak boleh mencipta kecemerlangan?

Ada yang kata, dek tidak dapat belajar bersemuka dengan guru, maka pelajar-pelajar sukar meraih kejayaan.

Bagi Guru Kaunseling Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Zubaidah Ahmad, belajar di mana-mana pun, semuanya sama sahaja, asalkan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam diri.

“Tak semestinya perlu belajar bersemuka baru boleh mencapai kecemerlangan. Belajar online pun boleh, asalkan kita belajar,” katanya kepada GPS Bestari.

Memandangkan kini guru dan pelajar perlu mengikuti pembelajaran menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Cikgu Zubaidah berkongsi tujuh tip cemerlang belajar di rumah.

Mari ikuti perkongsian beliau...

1) Tetapkan matlamat diri

Pelajar perlu ada matlamat dalam diri masing-masing. Matlamat adalah apa yang kita impikan. Matlamat perlu ditulis supaya kita boleh merancang bagaimana ingin mencapai perkara tersebut, malah jika matlamat ditulis menggunakan papan visi pastinya akan meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar dan berjaya. Anak-anak juga boleh membina jadual pengurusan masa di rumah berpandukan kepada jadual waktu kelas yang telah di susun oleh pihak sekolah.

2) Perlu ada disiplin diri

Disiplin merangkumi tiga perkara iaitu pengurusan masa, pengurusan diri dan pengurusan bahan yang baik.  Anak-anak perlu mematuhi jadual yang telah dibuat. Pastikan konsisten dalam mematuhi jadual. Bersedia untuk memulakan kelas dengan bersarapan dan membersihkan diri. Pelajar juga perlu memastikan bahan disediakan lebih awal sebelum kelas bermula.

3) Persediaan awal sebelum kelas dimulakan

Bagi memudahkan proses PdPR, anak-anak disarankan mengulangkaji topik yang ingin diajar oleh guru terlebih dahulu. Kenal pasti topik yang akan diajar dan sediakan bahan-bahan seperti buku teks, buku nota, alat tulis, kertas graf dan bahan-bahan lain yang diperlukan bagi memulakan pembelajaran. Ini akan meningkatkan minat dan perasaan ingin tahu dalam diri pelajar untuk terus mencari ilmu.

4) Fokus kepada pembelajaran

Sepanjang proses PdPR, semua pelajar perlu memberi tumpuan sepenuhnya. Tumpuan akan terjejas jika anda tidak membuat persediaan awal. Bagi kelas yang dibuat secara Google Meet atau yang memerlukan sistem audio, galakkan anak-anak memakai earphone. Dengan memakai earphone, proses mendengar dan bertanya akan lancar. Kurangkan pergerakan sepanjang waktu belajar kerana pergerakan yang banyak akan mengurangkan tumpuan dan masa untuk belajar.

5) Elakkan gangguan luar

Para pelajar perlu memaklumkan kepada ibu bapa dan ahli keluarga jadual kelas dan jadual belajar persendirian. Ibu bapa perlu bertolak ansur dan menghormati jadual anak-anak. Elakkan memberi tugas tambahan ketika itu. Jika berkemampuan, sediakan ruangan belajar kerana ia akan menimbulkan minat dan meningkatkan fokus ketika proses PdPR. Pelajar juga perlu mengelakkan membuka perisian lain didalam gajet ketika belajar seperti youtube, games online atau lain-lain perisian yang tidak berkaitan.

6) Rehat yang mencukupi

Ibu bapa dan anak-anak perlu menjaga waktu tidur. Disyorkan bagi yang bersekolah, tidur 9-10 jam sehari pada waktu malam. Pemakanan yang berkhasiat dan seimbang juga perlu diberi bagi mengekalkan kesihatan dan mengelakkan badan menjadi lesu dan mudah letih sepanjang PdPR berlangsung. Anak-anak perlu bersenam atau beriadah walaupun ringkas. Lakukan renggangan badan bagi mengekalkan kesihatan dan kesegaran.

7) Yakin dan konsisten

Anak-anak perlu yakin kepada diri sendiri bahawa anda berhak cemerlang kerana setiap insan mempunyai potensi diri. Yakinlah, setiap orang yang berusaha itu akan berjaya. Pelajar juga perlu konsisten dalam semua tindakan. Ibu bapa perlu membantu anak dengan memberi kata-kata semangat yang positif agar dapat menaikkan semangat dan memberi keyakinan pada diri mereka. Ibu bapa yang cemerlang akan melahirkan anak-anak yang cemerlang dan membina keluarga yang juga cemerlang.

Artikel menarik

5 langkah mudah tangani tekanan ketika PKP, guru dan pelajar boleh lakukan ini

Kaedah penilaian pelajar sekolah perlu dirombak?