HARI ini kita belajar berkenaan asas pendaraban bagi murid tahap satu ya.

Ini penting juga untuk mak ayah tahu.. maunya kena soal jawab dengan anak ketika sesi latihan atau kerja rumah kan.

Jadi mari kita belajar bersama Cikgu persis korea ini, Mohd Fadli Salleh.

 

+++

ASAS PENDARABAN BAGI MURID TAHAP 1.

Baiklah. Aku kongsi semula 8 tips mudahnya belajar darab ini dengan kalian.

 

1) PERTAMA, kau wajib tanamkan dalam kepala otak anak-anak bahawa Matematik itu senang. Sangat senang dan 'fun'. Tanam itu dulu, nescaya dia lebih bersedia nak terima ilmu.

2) Ramai murid anggap 'basic' ini mudah dan tak penting. Ibu bapa malahan ada segelintir guru juga tak tekankan sangat 'basic' ini.

3) Mereka 'skip' atau ajar acuh tak acuh 'step' ini kerana anggap ini tak penting. SALAH BESAR TU! Asas ini perkara paling penting, mereka faham yang ini, nescaya mereka mampu selesaikan soalan darab walau tak hafal sifir.

Ya, WALAU TAK HAFAL SIFIR MEREKA MAMPU JAWAB SOALAB DARAB!

4) Mula-mula, kau kena bagi anak-anak hadam yang darab itu ialah PENAMBAHAN BERULANG (nombor yang sama). Bagi mereka hadam ini lumat-lumat dan ingat sampai mati!

5) Kemudian, kau buat 3 kotak macam contoh gambar pertama itu.

[ ] x [ ] = [ ]

KUMPULAN AHLI JUMLAH

Tempat kosong yang pertama itu untuk KUMPULAN. Bagi mereka faham, bagi mereka ingat. Ya, sekali lagi, biar mereka ingat sampai mati.

Tempat kosong yang kedua itu pula adalah untuk AHLI (Bilangan dalam satu kumpulan.)

Tempat kosong yang terakhir adalah untuk JUMLAH (Jumlah semua objek dalam kumpulan.)

6) Yang kedua, kau buat beberapa bulatan (kumpulan). Aku buat contoh 3 kumpulan sahaja. Maka aku tulislah 3. Faham kan?

7) Langkah ketiga, kau lukis pula bilangan berapa sahaja objek dalam setiap kumpulan. Bilangan objek dalam setiap kumpulan WAJIB SAMA BILANGANNYA!

Contohnya, aku lukis 5 burung dalam satu kumpulan, maka ketiga-tiga kumpulan aku lukis 5 burung. Bilangan objek dalam setiap kumpulan WAJIB SAMA.

Kemudian, tulislah dalam tempat kosong kedua bilangan objek yang kau lukis dalam kumpulan itu.

Pada tahap ini kau dah tahu 3x5 itu bersamaan 3 KUMPULAN YANG MANA SETIAP KUMPULAN ADA 5 OBJEK.

8) Langkah akhir sekali, kau kiralah jumlah semua objek dalam semua kumpulan.

Tadaaaa.... Dah dapat pun jawapan kita.

 

Senang kan belajar darab?

Langkah ini kau kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang berkali-kali kat anak kau.

Kau bagi berpuluh soalan, kau suruh dia lukis kumpulan, objek dalam setiap kumpulan dan suruh dia kira sendiri jawapan. Ingat! Kau bagi soalan je, jawapan biar dia kira sendiri. Jangan bagi yang susah-susah dulu weh.

Takkan soalan pertama kau terus bagi 274 x 567. Mampus la macam tu. Agak-agak lah. Bagi dia faham dulu. Bagi dia lukis kumpulan dan objek dalam setiap kumpulan.

Latih tubi demi latih tubi berpuluh kali, beratus kali, malah beribu kali biar dia ingat sampai mati. Ya, ingat sampai mati!

Dah dia faham benar apa itu kumpulan, ahli, (bilangan dalam setiap kumpulan) dan jumlah semua sekali (jawapan). Baru kau ajar ke aras lebih tinggi.

Ya, tiba masa naik aras lebih tinggi dah. Aras ini pun mudah yang amat.

Kaitkan DARAB = PENAMBAHAN BERULANG. Anak yang dah faham konsep, teruslah kau ajar menambah berulang pula. Jangan 'skip' asas tu, tahu tak?

Kau bagi beberapa contoh soalan dan tunjukkan cara mengira menggunakan teknik tambah.

 

Contohnya 6x3 = 3+3+3+3+3+3

Bagi tahu juga, dalam darab kita juga boleh mengira terbalik. 6x3 = 3x6 = 6+6+6.

 

Boleh faham kan?

Ulang dan ulanglah memberi soalan dan biar mereka berlatih dan buat sendiri pula. Tengok, murid yang tak hafal sifir pun mampu jawab soalan darab dengan betul kalau faham konsep asasnya.

Yeay!!!! Dah tamat pun pelajaran hari ini. Selamat mencuba ya.

 

******

Ini ASAS yang anak-anak kau di Tahun 2 WAJIB KUASAI. Jika mereka tak boleh kuasai asas ini, naik tahun 3 dan seterusnya penatlah sikit.

Kat setiap gambar pun aku tulis penerangan ringkas. Klik je setiap gambar dan cubalah faham. Seterusnya cubalah memberi faham pada anak-anak pula ya!

Yang berminat untuk SHARE, silalah SHARE. Tiada rahsia aku dengan kau orang. Semuanya public belaka.

#MFS

- Hanya guru biasa yang berkongsi secebis ilmu. -

.