Apabila anak dah mula bersekolah (termasuk tadika/nurseri), salah satu cabaran utama ibu bapa ialah untuk menyiapkan anak-anak secepat mungkin setiap hari (dengan harapan anak-anak takkan mengada-ngada).

Tips yang sangat bernas dikongsikan oleh KakLin ini sangat membantu memudahkan rutin pagi menjadi lebih 'smooth' dan dapat dikawal tanpa esak tangis anak-anak. Sangat sesuai untuk parents yang bekerja.

[Nota: KakLin & suami bekerja dari rumah. Anak-anak berusia 3 – 10 tahun *ketika artikel ini ditulis]

Walaupun kami suami isteri bekerja dari rumah, tapi kami bangun awal pagi setiap hari tau :p Sebab kena jadi supir anak-anak dan kena jadi chef masak bekal anak-anak syurga ni.

Jadi, ini antara tips yang kami amalkan.

 

1) Tidur Awal Sebagai Rutin

Disiplinkan anak-anak untuk tidur awal setiap malam semasa weekdays. Weekend boleh tidur lambat sikit melainkan keesokan hari ada aktiviti yang perlu keluar awal dari rumah.

Apabila anak-anak dah jadikan amalan tidur awal ni sebagai rutin, secara automatik mereka akan bersiap untuk tidur pada waktu yang telah ditetapkan.

Jadi esok pagi mereka akan bangun dengan segar dan mood yang baik.

 

2) Sediakan Semua Keperluan Sebelum Tidur

Sekiranya anak anda bersekolah, pastikan kesemua baju sekolah telah siap digosok, buku telah disusun mengikut jadual, botol air telah siap diisi dan sebagainya. Jangan lupa kerja sekolah juga perlu siap sebelum tidur malam.

Jadi bila semua dah ready, mereka dapat menguruskan diri tanpa masalah. Jadi takde la insiden nangis-nangis sebab tak jumpa sebelah stokin ke.. atau kelam kabut susun buku ke.. dan sebagainya. Yang penting, mood anak-anak tu tak spoil. Bak kata Dr Azizan, aura kena positif gittew.. 😀

 

3) Bangun, Solat, Mandi, Breakfast

Ajar anak untuk mandi sendiri bermula umur 4 tahun. Anak yang sudah biasa dengan rutin yang sama akan mudah untuk lakukan kesemua yang disebutkan di atas tanpa banyak songeh.

Mereka tahu apa yang perlu dibuat tanpa perlu kita arahkan setiap pagi.

Dalam masa yang sama kita juga boleh menguruskan keperluan diri sendiri tanpa perlu terpaksa memandikan mereka, memakaikan baju dan sebagainya (anda cuma perlu fokus pada anak-anak yang lebih kecil)

Yakin dan beri kepercayaan kepada anak-anak untuk menguruskan diri sendiri.

Mungkin ada yang tak percaya anak berusia 4 tahun sudah mampu untuk mandi sendiri – tapi ya, anak KakLin memang mandi sendiri semenjak usia 4 tahun.

Tapi masa awal-awal tu kita kene kerap pantau, insyaAllah lama-kelamaan tiada masalah.

 

4) Sediakan sarapan yang simple tapi mengenyangkan

Sarapan sangat penting untuk anak-anak sebab ia akan memberikan tenaga kepada anak-anak untuk kekal fokus semasa belajar. Lagipun kita taknak anak-anak menahan lapar sepanjang pagi sebelum masa rehat tiba.

Sediakan sarapan yang ringkas & berkhasiat tetapi mengenyangkan.

Contohnya, susu segar + bijiran, roti + jem ataupun yang paling mudah dan ringkas disediakan Meal Shakes + susu segar. (Ehem, yang ini memang febret anak-anak KakLin.

Sebab bau vanillanya sangat wangi dan rasanya sangat sedap & creamy).

Selain senang disediakan, kesemua sarapan ini boleh disediakan sendiri oleh anak-anak yang lebih besar. Mudah kan?

 

5) Rancang Menu Bekal Anak Lebih Awal

Yang ini mak-mak kene fikir lebih awal untuk menu anak-anak ke sekolah. Sebabnya bila plan lebih awal, kita dapat sediakan semua bahan-bahan yang perlu dimasak di awal pagi tu lebih awal. Jadi pagi tu cepat je nak masak kan. Jimat masa di situ.

Kalau kekeringan idea mungkin boleh tanya anak-anak nak makan apa. Jadi win-win  situation gitu – mak dapat idea, anak-anak pula tak sabar nak makan lunchbox mereka. 😀

 

6) Salam, Peluk, Cium, Senyum & Doa doa keluar rumah

Hantar anak ke muka pintu dengan senyuman dan sebelum berpisah pastikan bersalaman, memeluk anak dan cium anak (kalau anak lelaki mungkin anak akan segan jadi cukup dengan pelukan je).

Biasakan anak membaca doa keluar rumah ini:

Doa keluar rumah

“Dengan nama Allah aku bertawakkal kepadaNya dan tiada daya serta upaya kecuali dengan kehendak Allah”.

Kita berpisah dengan anak-anak pagi tu masing-masing dengan hati yang tenang & perasaan yang gembira.

Jadikan rutin pagi sesuatu yang menyeronokkan supaya anak-anak tak rasa pun rutin pagi tu sesuatu yang ‘membebankan’ atau ‘aktiviti yang tak best’.

Mudah-mudahan tips ini membantu ya! 😀

 

 

 

 

 

 

Sumber: Lin Chalo/kakLin