Belajar memerlukan keikhlasan

Itu yang sering saya tekankan dalam setiap ceramah motivasi di sekolah-sekolah. Wajib ikhlas. Kalau kita tiada keikhlasan dalam belajar walau dalam bidang akademik di sekolah dan universiti, maka hasilnya juga pasti mendukacitakan. Keikhlasan belajar sebenarnya yang mendorong hati dan memacu kesungguhan untuk berjaya.

Sering kali kita lihat orang dewasa menyambung pembelajaran secara jarak jauh seperti mengambil jurusan Sarjana dan Sarjana Kedoktoran dalam bidang-bidang tertentu.

Mereka sanggup menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga untuk memastikan mereka dapat menamatkan jurusan yang diambil. Ada yang bersengkang mata waktu malam, membahagikan waktu kerja dan belajar serta mengorbankan masa kualiti bersama keluarga semata-mata untuk belajar.

Apa yang mendorong mereka? Sudah tentu semangat yang mendorong mereka. Apa yang membuatkan mereka bersemangat? Jawapannya ialah IKHLAS untuk belajar. Itu perjuangan belajar bagi golongan dewasa yang bekerja dalam apa bidang sekali pun.

Jadi bagaimana dengan PELAJAR yang sememangnya mempunyai tugas untuk BELAJAR? Jawapannya bergantung pada individu.

Namun sering dilihat waktu belajar, pelajar ponteng kelas, waktu kelas ada murid yang bermain-main, waktu guru mengajar, ada murid tak fokus dan tidur. Ini semua akibat kurang IKHLAS dalam belajar.

Akibat kurang IKHLAS maka murid-murid tidak bersemangat untuk belajar. Apa yang diajar dianggap tidak penting. Akhirnya pelajar akan hanyut dalam lautan kejahilan ilmu dan natijahnya pasti karam dalam peperiksaan dan hasilnya terdamparlah kegagalan di pantai cita-cita yang tidak kesampaian.

Jadi apa yang harus kita buat untuk mendapat keikhlasan dalam BELAJAR?

Pertama ialah rangsangkan kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa kita ingat 10% apa yang dibaca, 20% apa yang didengar, 50% apa yang didengar dan dilihat, 70% apa yang dicakapkan dan 90% yang kita buat.

Oleh itu rangsangkan deria kita dengan belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri kita, antara waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-Quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.

Mengulang kaji secepat mungkin. Ulangkaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar). Ulangkaji sekerap mungkin. Manfaatkan kemahiran mengingat seperti menampal nota-nota penting di dinding, menggunakan kaedah akronim, menukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah seperti peta minda dan mencipta cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat.

Menulis nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya. Tampal maklumat yang rumit di tempat yang biasa dilihat. Nota pula ditulis dengan pelbagai warna bagi memudahkan mata terangsang dengan kata-kata kunci pada nota yang boleh menancapkan ingatan.

Sentiasa menjaga diri dari mencuri dan membuang waktu belajar iaitu berangan-angan kosong, menangguhkan kerja dan memupuk sifat malas serta membuang masa dengan belajar ketika badan sedang letih atau mata yang mengantuk.

Jauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh mengalihkan tumpuan belajar seperti gajet dan media sosial. Apatah lagi kalau tergoda dengan lambaian permainan video online yang pastinya MENYESATKAN matlamat kejayaan anda jika bermain pada waktu sepatutnya anda belajar.

Pelajar mesti memberikan ganjaran kepada diri sendiri atau self reward selepas berjaya dalam pencapaian peperiksaan. Bolehlah meminta ibu bapa belanja makan di restoran terkenal, melancong, melawat rakan atau sesuatu yang menghiburkan hati.

Good start not False Start. Pelajar hendaklah membuat persediaan awal yang boleh memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.

Kesannya guru akan nampak komitmen anda dan akan membantu jika anda menghadapi masalah.

Oleh itu untuk sentiasa awal dan mendahului, hendaklah mulakan mengulang kaji dahulu sekali atau dua kali sebelum guru mengajar di dalam kelas.

Yang terakhir, sentiasa berbuat baik kepada guru. Sentiasa menghormati dan menyayangi guru kerana pada guru ada keberkatan ilmu. Jika kita hormati pada para guru-guru yang mengajar maka ilmu yang disampaikan akan lekat dan berkat sekaligus melengkapkan rasa IKHLAS dalam belajar.

Oleh itu anak-anak murid sekalian, IKHLASLAH dalam belajar. Capailah cita-cita anda dan hadiahkan kejayaan itu untuk ibu bapa dan sesiapa sahaja yang menghargai usaha anda.

*****Terima kasih kepada Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman atas perkongsian ini

Artikel menarik

Rahsia didikan keluarga Cikgu Mohd Fadli. Tak sangka semua adik-beradiknya turut bergelar pendidik

Dua beradik bimbing pelajar SMS Pasir Puteh hasilkan inovasi hingga bawa pulang pelbagai anugerah

Gemar bercucuk tanam dan sering disangka tukang kebun, ramai terkejut rupa-rupanya dia….