GELARAN Cikgu Tan Chai Long yang kini seorang penulis dan penceramah subjek Bahasa Melayu di syarikat pendidikannya sendiri iaitu 'Alam Bimbingan Cikgu Tan' ingin berkongsi teknik penulisan esei. Selalunya kita tahu pelajar lemah membina ayat penulisan terutama di bahagian pendahuluan esei. Disini Cikgu Tan akan berkongsi cara pelajar boleh skor karangan bahagian pendahuluan.

Beliau gunakan pendekatan (TKS), iaitu Tema, Kelompok, dan Soalan. Untuk calon mudah mengingat dan boleh dapat markah penuh bahagian pendahuluan.

Tip tersebut adalah:-
T dalam formula saya bermakna "Tema".
K dalam formula saya bermakna "Kelompok"
S dalam formula saya bermakna "Soalan".

TEMA

Setiap soalan karangan ada temanya. Tema ialah tajuk utama atau tunjang penulisan yang menjadi tulang belakang penulisan. Dengan pengenalpastian tema karangan yang betul, calon dapat menulis karangan tanpa memesongkannya ke bidang yang berlainan. Bidang yang dibincangkan dalam arahan karangan haruslah tepat agar temanya menepati kehendak soalan. Yakin bahawa "tema" ada dalam arahan soalan walaupun kadangkala diabaikan oleh calon peperiksaan.

KELOMPOK

Setiap karangan ada kelompok dibincangkan. Kata kunci untuk kelompok biasanya seperti "remaja","ibu bapa", "pihak sekolah", "pihak kerajaan" dan sebagainya. Oleh itu, sasaran kelompok yang dibincangkan dan ditulis dalam karangan mestilah tepat agar pemeriksa tidak tercari-cari dalam penulisan anda. Oleh hal yang demikian, "kelompok" yang ditulis oleh calon mestilah menepati kehendak soalan dan tidak menggunakan kelompok yang berbeza daripada yang diinginkan oleh penggubal soalan. Hal ini dikatakan kerana skema penulisan tidak banyak berubah tetapi kelompok yang diuji dalam penulisan sentiasa berubah.

SOALAN

"Soalan" ialah hidangan utama dalam penulisan. Setiap soalan pasti ada arahan khusus yang menguji calon. Antara kata kunci yang penting adalah seperti langkah/cara/usaha, kesan/impak/implikasi, punca/sebab/faktor, kepentingan/manfaat/kebaikan dan banyak lagi. Kata kunci ini mestilah dikenal pasti oleh calon peperiksaan. Janganlah kita memberikan isi penting dalam pendahuluan, sebaliknya memberikan gambaran kepada pemeriksa semata-mata.

Contoh soalan 1:

Zaman remaja merupakan tempoh yang sangat berharga dan perlu diisi dengan sebaik mungkin. Zaman remaja hanya datang sekali dalam seumur hidup. Huraikan kegiatan-kegiatan bermanfaat yang perlu anda lakukan untuk mengisi zaman remaja tersebut.

Kerangka Pendahuluan
Tema - Zaman remaja
Kelompok - remaja
Soalan - kegiatan-kegiatan bermanfaat yang perlu saya lakukan untuk mengisi zaman remaja

Contoh soalan 2:

Minat membaca dalam kalangan murid belum mencapai tahap yang memuaskan. Huraikan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca.

Kerangka Pendahuluan
Tema: Amalan membaca/Minat Membaca
Kelompok: murid-murid/anak-anak
Soalan: peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca

Selepas anda mengenal pasti "tema", "kelompok", dan "soalan", binalah 3-5 ayat berkaitan dengan "tema" dan "kelompok" bergantung pada kemampuan diri murid kemudian binalah 1 ayat tanya untuk "soalan". Dengan adanya ayat tanya, kita dapat memvariasikan jenis-jenis ayat dalam penulisan. Hal ini dapat membuktikan kefleksibilitian dan kemampuan kita menulis pelbagai jenis ayat dalam penulisan. Janganlah lupa bahawa ayat tanya mestilah diikuti ayat penyata (jawaban) dalam ayat pertama perenggan isi penting. Dengan membuat sedemikian INSYAALLAH calon dapat menjawab soalan penulisan dengan tepatnya.

Sewaktu menulis karangan, pastikan anda menulis karangan dengan memasukkan unsur 'kohesi' seperti 'penanda wacana' yang betul, pengulangan sebahagian kata daripada ayat sebelumnya atau menggunakan 'kata ganti nama diri', tempat, dan tunjuk yang betul. Pertautan antara ayat mestilah mesra, erat, dan harmoni dan disertai ungkapan menarik seperti peribahasa dan sebagainya.

Cikgu Tan akan menunjukkan gambar-gambar tulisan peserta bengkel penulisan beliau. Oleh itu, calon perhatikan huruf "T", "K", dan "S" dalam karangan tersebut. Abaikan sekiranya ada kesilapan bahasa dan ejaan dalam gambar tersebut kerana ini adalah untuk melatih mereka menulis karangan dahulu sebelum membetulkan kesilapan dalam penulisan kerana 'Dokumen Standard Kokurikulum dan Pentaksiran' (DSKP) setiap tingkatan juga menyatakan kepentingan mengajarkan pelbagai jenis pendahuluan dan teknik penulisan kerangka karangan sebelum menulis dan mengedit karangan. Oleh sebab itu, penulisan ialah proses yang paling rumit kerana melibatkan pelbagai kemahiran.

Berharap agar perkongsian ini dapat membantu anda menulis karangan yang baik.

Perhatikan...

Antara penulisan esei peserta bengkel Cikgu Tan dengan menggunakan teknik TKS:

 

Tip menarik:

Enam teknik mudah untuk pelajar skor A Matematik - Calon SPM pun boleh guna cara ini

'Matematik tak susah kalau sentiasa amalkan dalam kehidupan seharian' - Guru Cemerlang Matematik

10 makanan terbaik untuk otak - Pelajar boleh amalkan selalu!