Selama tujuh belas tahun menjalankan program motivasi untuk para pelajar, dan lebih seratus ribu pelajar yang menyertai program-program yang dijalankan, maka dapat disimpulkan, pelajar hebat sebenarnya akan melakukan sesuatu (sama ada mereka sedar atau tidak) yang tidak dilakukan oleh pelajar-pelajar biasa.

Apabila kita bertanya kepada pelajar ini apa rahsia kehebatannya, hakikatnya mereka sendiri juga sukar untuk menjelaskannya, sebab itu bukan bidangnya.

Namun, cara fikir, sikap, tingkah laku, tindakan serta cara mereka memberi reaksi kepada sesuatu perkara amat berbeza berbanding pelajar-pelajar biasa yang lain. Mereka nampak lebih berdisiplin, punya wawasan, ada sasaran, matang berfikir, mudah bergaul, seimbang hidupnya, bagus akhlaknya serta taat agamanya.

Mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan ko kurikulum, bahkah seringkali ditabalkan sebagai tokoh pelajar oleh guru dan pihak sekolah.

Justeru, potensi apakah yang ada pada pelajar ini dan tiada pada pelajar-pelajar lain? Bersama Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad, dijelaskan 11 rahsia jadi pelajar hebat.

Ada ketikanya pelajar hebat ini datangnya dari keluarga biasa sahaja.  Malah ada di antara mereka terdiri daripada pelajar yatim yang sudah ketiadaan ayah dan juga keluarga mangsa penceraian.  Pendek kata persekitaran, keadaan keluarga, kesusahan dan kemiskinan tidak menjejaskan dirinya untuk lahir sebagai insan hebat.

Rahsia pertama: Pelajar hebat punya matlamat yang jelas dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya itu.  Apabila ditanya apa cita-citanya apabila dewasa nanti, pelajar hebat boleh memberikan jawapan dengan pasti akan cita-citanya itu.  Matlamatnya cukup jelas.  Malah dia tahu kenapa dia mahu mencapai cita-citanya itu dan untuk apa.  Dia cukup yakin bahawa hanya faktor masa sahaja yang menghalangnya mencapai cita-citanya sekarang.  Namun satu hari, ia pasti menjadi kenyataan.

Rahsia kedua: Pelajar hebat pentingkan pelajarannya.  Dia tahu hanya pelajaran sahaja yang membolehnya mencapai semua cita-citanya.  Sebab itulah pelajar hebat sentiasa memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan dan mengulangkaji pelajarannya.  Malah pelajar hebat menyertai program motivasi luar bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajarnya.

Rahsia ketiga:  Pelajar hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan meminta bantuan bagi mengatasi kekurangannya itu.  Pelajar hebat sedar bahawa tidak semua orang tahu semua perkara.  Dia juga sedar bahawa setiap orang memiliki kehebatan, bakat serta kebolehan yang berbeza-beza.  Menyedari akan perkara ini maka pelajar hebat sentiasa mencari bantuan bagi mengatasi setiap kelemahannya itu.  

Rahsia keempat: Pelajar hebat menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang.  Mereka hormat kedua ibu bapanya dan sentiasa dengar akan nasihatnya.  Pelajar hebat sentiasa berusaha menyenangkan dan menggembirakan keduanya.  Pelajar hebat juga sentiasa membantu dan mesra dengan adik beradiknya.  Dia juga disenangi oleh rakan-rakannya dan sentiasa menolong mereka sama ada dalam pelajaran atau urusan hariannya.  Pelajar hebat sentiasa dipuji oleh guru-gurunya dan menjadi ayam tambatan disekolahnya.  Dia juga sentiasa boleh diharapkan dalam apa juga urusan dan sentiasa bersedia untuk membantu.

Rahsia kelima: Pelajar hebat sentiasa muhasabah tindak tanduknya dan memantau prestasi pencapaiannya.  Dia tidak membiarkan kemajuannya terbantut.  Dia tahu dimana dia berada sama ada semakin hampir atau masih jauh dari sasarannya.  Apabila dia dapati sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki prestasinya lalu dia ambil tindakan yang proaktif dan melakukannya tanpa menunggu disuruh, diarah atau ditegur.

Rahsia keenam:  Pelajar hebat sentiasa lakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara.  Bagi seorang pelajar hebat tiada pekerjaan yang main-main dalam falsafah hidupnya.  Apa sahaja yang perlu dilakukannya maka dibuat sebaik mungkin.  

Rahsia ketujuh:  Pelajar hebat istiqamah dalam usahanya.  Pelajar hebat percaya kejayaan besar yang mahu dicapainya esok hari adalah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diperolehinya setiap hari.  Oleh itu, dia sentiasa istiqamah.  Dia bukan seorang yang hari ini rajin esok tidak atau hari ini buat sikit esok banyak.  Sebaliknya dia membuat perancangan belajar dan konsisten belajar mengikuti perancangan tersebut tanpa bosan atau jemu.

Rahsia kelapan:  Pelajar hebat sentiasa belajar dari orang lain dan suka hadiri pelbagai program, aktiviti dan seminar yang membuka mindanya.  Pelajar hebat mempunyai mentor atau model ikutan.  Dia belajar dari mentornya dan lakukan apa yang model ikutannya lakukan.  Dia tahu bahawa kejayaan yang mahu dicapainya itu telah pernah dicapai oleh orang lain.  Sebab itulah mereka ikuti pelbagai program bagi mengetahui apa orang hebat lakukan dan meniru perlakuan tersebut.

Rahsia kesembilan:  Pelajar hebat sentiasa ingat Allah.  Pelajar hebat tahu manusia ini hanya mampu berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan segalanya.  Dia juga tahu jika dirinya engkar akan perintah Allah, bergelumang dengan dosa dan maksiat maka Allah akan tutup hatinya dan hilang keberkatan dalam usahanya.  Sebab itulah pelajar hebat menjaga solat lima waktunya, melakukan banyak amalan sunat, membaca al-quran setiap hari, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, ada amalan-amalan doa hariannya dan basah lidah serta hatinya dengan zikir.

Rahsia kesepuluh:  Pelajar hebat tidak pernah sombong dengan apa yang dicapai atau diperolehinya.  Dia sentiasa bersyukur apabila mencapai kejayaan dan kecemerlangan dan berkongsi kegembiraannya dengan mereka yang ada disekelilingnya.  Pelajar hebat tidak pernah menunjuk-nunjuk atau mendabik dada.  Dia tahu sifat sombong hanya akan merosakkan akhlak dan amalannya.  Dia berterima kasih kepada semua orang setiap kali beroleh kejayaan.  Padanya apa juga kejayaan yang diperolehinya itu adalah kejayaan mereka yang sentiasa bersama-sama dengannya.

Rahsia kesebelas:  Pelajar hebat sedar bahawa hanya dia yang boleh tolong dirinya bukannya orang lain.  Pelajar hebat tahu bahawa orang lain boleh membantu sedikit sahaja tetapi dirinyalah yang akan membawanya ke puncak jaya.  Kalau tidak faham satu dua perkara bolehlah bertanya pada guru.  Itu pun setelah diri sendiri berusaha memahami dan menyelesaikannya dahulu.  Bukan serahkan semua perkara bulat-bulat pada guru atau meminta bantuan penuh dari rakan.  

Sumber: http://www.tengkuasmadi.com

Artikel berkaitan:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Pelajar kelas belakang..cikgu ini kongsi enam kelebihan bagaimana nak ajar mereka

Guru Adiwira ini kongsi lapan tip, tarik minat belajar anak Orang Asli

Ini 6 tips mudah kuasai Matematik! Mari kita jadikan amalan berterusan