Sejak pembukaan sekolah Januari lalu, pelbagai maklum balas diberikan oleh ibu bapa tentang PdPR yang telah dijalankan. Ada yang memberikan respon yang baik dan ada juga sebaliknya.

Untuk kebaikan semua pihak, sama ada guru mahupun ibu bapa, Guru Matematik, daripada Maths Catch Centre, Pusat Latihan Khusus untuk Matematik, Cikgu Rajaei Ali berkongsi sembilan tip dan pandangan yang boleh dicuba bersama.

1) Saluran TV milik kerajaan atau TV swasta untuk sesi PdPR sangat membantu, ia sedikit sebanyak dapat membuatkan sesi pembelajaran jadi lebih tersusun dan seragam di seluruh negara.

2) Susun jadual supaya kelas berlangsung setiap hari walaupun sehingga malam. Cara ni dapat atasi isu sekarang, mak ayah anak ramai, laptop pula ada satu je, kelas pula serentak.

3) Untuk pembelajaran boleh guna kandungan daripada buku teks supaya lebih seragam.

4) Cikgu-cikgu sekolah boleh fokus untuk menyediakan soalan latihan. Buat juga survey lepas sesi pembelajaran, minta  murid maklumkan bahagian-bahagian yang masih mereka kurang faham.

5) Guru kelas boleh fokus menyediakan rakaman video   khusus untuk soalan atau topik-topik kecil yang kebanyakan murid belum faham Sahaja. Cara ni dapat mengurangkan beban berbanding sediakan rakaman untuk keseluruhan topik-topik.

Bukan mudah, banyak perkara teknikal yang diperlukan. Satu rakaman video berdurasi dua jam pun hampir 1GB size nya. Nak render, nak upload lagi, tak mudah, ditambah pula laptop pun versi lama. Versi untuk menaip sahaja, tapi sekarang nak guna untuk buat video, memang akan ada masalah.

6) Sebagai alternatif, cikgu fokus untuk buat video pendek-pendek, untuk subtopik tertentu sahaja. Tak perlu guna tool gajet yang mahal-mahal jika tidak ada kemampuan kewangan dan kemahiran. Cukup guna telefon rakam, secara terus sambil kita terangkan dengan menulis / conteng jalan kerja di buku teks tu.

7) Dalam fasa pandemik ni, pihak-pihak tertentu jangan terlalu menekan guru untuk mengajar mengikut Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) sebenar. Mungkin sepanjang pandemik kita fokus pada asas-asas penting sahaja. Jika perlu kurangkan bab. Jika perlu 'restructure' silibus buatlah sekarang, sempat lagi untuk kita betulkan.

8) Bagi ibu bapa pula, jangan pula kita terlalu menekan guru, jangan banding-bandingkan guru. Ini kerana terlalu banyak kekangan yang dihadapi oleh semua orang yang kita sendiri tidak tahu.

9) Hidup kita ni sebenarnya pilihan. Kita sentiasa ada pilihan. Tentukan pilihan terbaik untuk anak-anak dan keluarga kita.

Mana yang kurang lepas tu kita boleh baiki sana sini. - Rajaei Ali -