Apakah subjek yang membuatkan pelajar mengantuk dan bosan?

Jawapannya yang diberikan, sudah pasti subjek Sejarah.

Ini turut diakui Penceramah teknik menghafal sejarah, Cikgu Tuan Muhammad Firdaus Kamaruzaman.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fir berkata, isu subjek Sejarah membosankan, sudah kedengaran sejak daripada dulu lagi.

“Dalam perkara ini, saya melihat, cara cikgu mengajar bukanlah penyebab matapelajaran Sejarah tidak disukai ramai...tetapi teknik pelajar itu sendiri yang menyebabkan subjek ini susah untuk diingati dan membosankan,” katanya kepada GPS Bestari.

Untuk membantu pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima menyukai Sejarah, Cikgu Fir kongsikan satu formula asas yang boleh digunakan oleh pelajar berkenaan.

“Formulanya adalah 4M. Apakah 4M? Mari ikuti penerangan saya di bawah ini,” kata Cikgu Fir.

Formula 4M

1) Membaca

M yang pertama adalah Membaca.

Apabila pelajar membuka buku teks atau rujukan untuk mudah ingat, pelajar perlu membaca dahulu isi kandungan dan fakta sejarah tersebut barulah pelajar akan mengetahui kisah dalam topik yang mereka baca. Pelajar hendaklah sentiasa ingat bahawa membaca isi kandungan  dan fakta sejarah bukannya seperti membaca sinopsis dan ringkasan. Membaca ini adalah salah satu kaedah yang pelajar boleh pilih mengikut keselesaan tersendiri

Contoh

  • Membaca sambil mendengar lagu
  • Membaca dalam keadaan sunyi
  • Membaca bersama rakan

2) Memahami

M yang kedua adalah Memahami.

Langkah kedua ini akan membuatkan pelajar mula suka akan topik tersebut kerana pelajar akan mula memahami kisah atau fakta yang berada dalam topik itu.

Jika pelajar memahami kisah yang terdapat dalam topik itu, ia akan membuatkan mereka suka serta tertarik dengan topik sejarah tersebut.

Contohnya, apabila anda menonton DRAMA KOREA disebabkan tertarik  dengan poster drama tersebut, anda akan mula menonton drama itu untuk memahami dengan lebih jelas kisahnya dan semestinya akan timbul perasaan seronok dalam diri anda bukan.

3) Menghafal

M yang ketiga adalah Menghafal.

Langkah ini sangat penting dalam formula 4M kerana pelajar perlu mempunyai teknik menghafal yang akan membuatkan pelajar lebih mudah ingat dan suka akan topik tersebut. Teknik menghafal ini boleh berlaku dalam pelbagai cara mengikut kesukaan pelajar.

Contoh

  • Warna
  • Lagu
  • Gambar
  • Bentuk
  • Sentuhan

Apabila pelajar mempunyai teknik menghafal yang menarik, saya pasti pelajar akan merasakan subjek Sejarah adalah subjek yang paling seronok.

4) Mengulangi

M yang terakhir adalah Mengulangi.

Mengulangi adalah langkah yang akan membantu daya ingatan pelajar menjadi lebih kuat dan sentiasa mengingati fakta-fakta sejarah. Namun, pelajar boleh mengulangi dengan beberapa cara iaitu:

Cara

  • Menulis semula fakta
  • Menyebut semula fakta
  • Melihat semula fakta

“Untuk keberkesanananya, saya harap para pelajar dapat mencuba contoh yang sesuai untuk diri masing-masing dalam langkah Mengulangi.

“Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua terutamanya calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 tidak lama lagi,” katanya.

*****

Cikgu Fir merupakan bekas Guru Kaunselor Bimbingan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Garing, Rawang, Selangor.

Beliau kini seorang penceramah yang berpengalaman selama enam tahun dalam perkongsian teknik menghafal Sejarah.

Cikgu Fir telah menghasilkan 20 teknik menghafal Sejarah yang mudah difahami, dipelajari dan dikuasai oleh para pelajar sekolah dan universiti.

Beliau aktif menjadi penceramah teknik menghafal di sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu di SMK Aminuddin Baki Kuala Lumpur, SM Alam Shah  Cheras, SMK Sultan Badlishah Kedah, Sekolah Menengah Cina Perempuan Persendirian Pulau Pinang dan banyak lagi.

Beliau juga pernah berkongsi teknik menghafal bagi subjek wajib di Universiti Malaya, dan UNITAR .

Untuk mendapatkan lebih banyak perkongsian teknik menghafal Sejarah yang cepat ingat dan woww mudah hafal sejarah, layari facebook Cikgu Fir dan juga youtube Ooyeahh Studio.

Artikel menarik

Keliru cara guna istilah ‘murid’ atau ‘pelajar’, ini penjelasan Cikgu Tan

Guru ini ulas pelaksanaan PdPR, tak sangka ini idea yang beliau cadangkan. Terbaik cikgu!