GURU Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Kenering, Cikgu Ahmad Safarman Dollah berkongsi tip penting untuk mengingati peribahasa dan menambah peribahasa dalam mengarang mengikut formula 'Peribahasa Semut'.

Menurutnya, formula berkenaan nampak ringkas dan comel sahaja namun memberi kesan yang besar kepada semua murid.

"Tak semua mampu mengingati peribahasa yang ada beratus-ratus. Namun sekurang-kurangnya dengan 'Peribahasa Semut' ini membuatkan murid dapat mengingati 10 daripada yang beratus-ratus itu,” katanya sambil menambah formula berkenaan telah dihasilkan beberapa tahun yang lalu.

Cikgu Ahmad Safarman telah memperkenalkan 10 perkataan yang harus dihafal oleh setiap murid di dalam kelas.

Perkataan yang diperkenalkan itu, mempunyai kaitan dengan peribahasa yang terdapat di dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun Empat hingga Enam.

"Hafalnya sangat senang kerana mereka menggunakan 10 jari yang ada. Maknanya setiap satu jari mewakili satu perkataan atau peribahasa," ujarnya yang juga Guru Penyelaras Tahun Enam.

Selepas murid menghafal 10 perkataan ini, mereka terus didedahkan dengan peribahasa lengkap.

Selepas itu, untuk sesi latihan pula murid akan mengisi tempat kosong dan melengkapkan peribahasa yang lengkap berdasarkan perkataan yang ada di dalam formula 'Peribahasa Semut' tersebut.

Latihan peribahasa

“Sebab apa ia dipanggil 'Peribahasa Semut'?

"Semut adalah serangga yang sangat dikenali oleh murid-murid. Jadi, apabila ternampak semut di dalam kelas murid akan teringat peribahasa yang bermula dari semut," kata Cikgu Ahmad Safarman.  

Peribahasa berkenaan turut diajarkan kepada murid Orang Asli selaku penghuni kelas belakang. Ternyata menjadi apabila mereka mampu menghafal peribahasa itu apabila disoal.

“Bahkan setiap kali memandang muka saya mesti mereka tersenyum. Tahu, mereka ingin khabarkan bahawa mereka telah pun menghafal 'Peribahasa Semut' itu dengan baik. Ini satu kepuasan yang tidak terhingga buat saya. Mereka hafal, mereka faham, mereka praktikkan," jelasnya.

Untuk aktiviti pengukuhan selain dari pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas dan pusat sumber, cikgu ini akan memanggil setiap kelas yang diajarnya untuk naik ke pentas perhimpunan.

“Jika giliran saya bertugas, satu kelas akan dijemput ke hadapan perhimpunan. Setiap seorang akan membaca 'Peribahasa Semut' ini disaksikan murid yang lain. Dalam masa yang sama, saya juga akan membuat pertandingan antara kelas. Dua kelas akan dijemput naik ke atas dan mereka berlumba-lumba menghafal. Kelas yang habis awal dan dibenarkan masuk semula ke perhimpunan dikira sebagai pemenang.

"Saya juga akan melatih mereka di khalayak ramai. Alhamdulillah antara 10 peribahasa yang dihafal ini ternyata mengena. Peribahasa Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing ternyata ditanya dalam soalan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2019 yang lalu," ujarnya.

Tip lain:

Teknik Cabang bantu murid lemah, sederhana dan cemerlang bina karangan panjang, seragam

Guru Cemerlang Tahfiz kongsi kaedah DTHT untuk hafaz al-Quran dengan mudah

Teknik Putaran Waktu bantu murid memahami kepentingan ‘masa’ - Ustaz Quszaini

Skor A semua subjek UPSR daripada sekarang - Cikgu Ahmad Safarman kongsi enam tip mudah

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR

Cikgu Mohamad Hakim kongsi tip 'tackle' anak lemah Matematik