GURU Cemerlang Matematik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, Rembau, Mohd Nizam Mad Tahir berkongsi empat tip mudah untuk berjaya terutamanya subjek Matematik SPM.

Tip tersebut adalah

1) Doa

Pertama sekali kita perlu sentiasa berdoa supaya diberikan kesihatan yang baik, kelapangan masa, sifat kerajinan yang berterusan dalam menuntut ilmu ini. Kita mesti berdoa supaya diberi kejayaan yang cemerlang terutamanya Matematik SPM.

2) Usaha

Selepas berdoa, kita mesti berusaha untuk mencapai apa yang kita hajatkan tadi iaitu untuk mendapat kejayaan yang cemerlang terutama dalam Matematik SPM. Untuk mencapai kecemerlangan dalam Matematik SPM, tiada cara lain kita mesti berusaha untuk membuat seberapa banyak latihan terutamanya soalan-soalan percubaan SPM dari negeri-negeri yang lain (lagi banyak latihan lagi baik keputusan yang akan kita perolehi, insya Allah).

Kalau kita lihat semua bentuk soalan percubaan SPM Matematik dari semua negeri kita akan dapat melihat patern atau bentuk soalan tersebut.

Terdapat dua bentuk kertas untuk Matematik SPM iaitu Kertas 1 yang menggantungi 40 soalan objektif dan Kertas 2 yang mengandungi 16 soalan.

Kita mesti berusaha untuk menjawab seberapa banyak soalan Kertas 1 dan Kertas 2 berformat SPM tersebut.

Jika kita fokus kepada Kertas 2 Matematik SPM, terdapat 16 tajuk yang akan ditanya yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B.

Bahagian A (Jawab semua soalan – 52 markah)

1. Set / Ketaksamaan Linear

2. Persamaan Linear Serentak

3. Persamaan Kuadratik

4. Pepejal Geometri

5. Bulatan : Perimeter dan Luas

6. Matriks

7. Kecerunan dan Luas di Bawah Graf

8. Kebarangkalian

9. Garis Lurus

10. Penaakulan Matematik

11. Garis dan Satah Dalam 3 Matra

Bahagian B (Jawab empat daripada lima soalan – 48 markah)

1. Graf Fungsi

2. Penjelmaan

3. Statistik

4. Pelan dan Dongakan

5. Bumi Sebagai Sfera

16 tajuk ini sebenarnya telah diketahui oleh semua guru-guru yang mengajar Matematik SPM di Malaysia yang bermula dari tahun 2003 lagi. Cuma kebanyakan pelajar sekarang tidak mempercayainya dan kurang berusaha untuk membuat kesemua soalan yang diberikan oleh guru di sekolah masing-masing.

3) Istiqamah

Yang seterusnya kita perlulah istiqamah (berterusan) dalam membuat latihan berformat SPM Matematik seperti di atas. Teruskan latihan tanpa jemu, insya-Allah jika tiba pada satu tahap anda akan dapat membayangkan apa soalan yang akan ditanya dari soalan no 1 hingga soalan no 16 untuk Kertas 2 subjek Matematik SPM dan 40 soalan dalam Kertas 1 nanti.

4) Tawakal

Yang terakhir adalah tawakal. Setelah kita Doa, Usaha dan Istiqamah kita mesti Tawakal iaitu berserah kepada Allah. Insya-Allah semoga kita mendapat keputusan yang cemerlang seperti apa yang kita hajatkan.

Semoga kita semua berjaya dengan cemerlang. Amin

Tip Menarik:

Enam teknik mudah untuk pelajar skor A Matematik - Calon SPM pun boleh guna cara ini

'Matematik tak susah kalau sentiasa amalkan dalam kehidupan seharian' - Guru Cemerlang Matematik

Gagal kuasai subjek Matematik...rupa-rupanya ini faktor sebenar pelajar lemah dan corot subjek itu

10 makanan terbaik untuk otak - Pelajar boleh amalkan selalu!

Cara untuk murid memegang pensel dengan betul...Cikgu Nuha kongsi tipnya