Cuti sekolah merupakan masa yang sangat ditunggu –tunggu oleh murid-muri khasnya dan ibu bapa umumnya. Hal ini kerana, dalam tempoh cuti sekolah ini, rutin bangun awal, pergi ke sekolah , menghadiri kelas tambahan dan pelbagai aktiviti berbentuk akademik dan kegiatan luar sekolah ditangguhkan sementara.

Sudah pasti, rutin-rutin tersebut sangat memenatkan murid-murid yang saban hari perlu mengikut jadual aktiviti persekolahan harian mereka . Ibu bapa juga tidak ketinggalan merasai kepenatan yang perlu bangun lebih awal menguruskan sarapan, bekalan anak-anak di samping perlu menghantar atau mengambil anak-anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Mereka juga perlu tidur lewat bagi memastikan persediaan anak-anak sebelum ke sekolah telah dilengkapkan. Oleh itu, tempoh cuti sekolah yang diberikan dapat memberi ruang kepada murid-murid dan ibu bapa untuk berehat seketika daripada kesibukan rutin semasa hari persekolahan.

Namun, cuti sekolah bukanlah alasan kepada murid-murid untuk melupakan tanggungjawab mereka sebagai murid sekolah. Hal ini kerana, sebagai murid, peranan mereka dalam menuntut ilmu adalah penting untuk dipertingkatkan.



Sehubungan itu, GPS Bestari mendapatkan pandangan daripada Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK), Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor, Cikgu Rohaiza Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Roe mengenai tip yang boleh digunakan oleh murid-murid supaya tidak melupakan tanggungjawab belajar sepanjang cuti ini.

Ikuti perkongsian GBK Roe menggunakan kaedah tip H-O-L-I-D-A-Y untuk diikuti semasa cuti sekolah.

HOLIDAY atau cuti , GBK Roe ringkaskan dengan panduan di bawah.


1) H-Homework
-Semasa cuti sekolah, sudah pastinya terdapat kerja sekolah yang telah diberikan oleh guru-guru untuk disiapkan semasa cuti di rumah. Oleh itu, adalah penting untuk murid-murid menyiapkan tugasan kerja sekolah atau homework sehingga selesai sebelum kembali ke sekolah apabila selesai cuti sekolah nanti.

2) O-Overcome
- Seperti yang sedia maklum, pandemik Covid-19 ini menyebabkan sesi persekolahan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang lama. Oleh itu, semasa cuti sekolah ini, murid-murid perlu membuat ulangkaji topik -topik yang telah dipelajari semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Hal ini kerana, semasa PdPR dilaksanakan sepanjang sekolah ditutup akibat Pandemik Covid-19, sesi pembelajaran adalah sangat singkat melalui talian dan ia menyukarkan murid-murid mengikuti kelas dengan sempurna atas kekangan-kekangan yang dihadapi.


3) L-Latih Tubi
-Antara kaedah atau cara membuat ulangkaji adalah dengan membuat latih tubi topik- topik yang telah dipelajari. Latih tubi boleh dilakukan dengan membuat latihan melalui buku rujukan atau buku aktiviti yang telah dibeli di sekolah atau kedai buku luar. Hal ini penting kerana melalui latih tubi, murid-murid akan lebih cepat belajar dan memahami topik-topik yang telah dipelajari dengan kaedah mencari jawapan melalui nota topik berkenaan.

4) I-Ikuti jadual belajar
- Untuk memastikan latih tubi dilakukan, murid-murid perlu menyediakan jadual belajar di rumah semasa cuti sekolah ini. Jadual belajar ini penting sebagai panduan ulangkaji agar ia dapat dilakukan dengan teratur .


5) D-Dreams
- Dreams atau impian adalah salah satu cara untuk memastikan cuti sekolah dapat diisi dengan bijaksana. Murid-murid boleh melukiskan vision board tentang apa yang ingin dicapai atau dilaksanakan semasa cuti atau selepas sekolah. Segala perancangan tersebut, perlu ditampal di meja belajar dan dapat dilihat pada setiap hari. Tujuannya agar ia dapat memberikan semangat dan motivasi kepada murid untuk mencapai impian atau dreams semasa cuti atau selepas cuti sekolah ini.

6) A-Accept+Adjust+Move On
- Apabila impian telah dibuat, namun kadang kala ia tidak dapat dilaksanakan juga atas beberapa faktor kekangan dan kekurangan yang ada. Namun, murid-murid tidak boleh berputus asa, sebaliknya, murid-murid perlu terima dengan hati terbuka (accept) dan perbaiki (adjust) kelemahan yang ada bagi memastikan impian tersebut dapat dilaksanakan juga dengan cara dan kaedah yang lain.(move on)



7) Y-Yes, Yakin
-Sesunguhnya, apabila murid-murid telah berusaha bersungguh-sungguh, murid-murid perlu yakin bahawa kejayaan pasti akan menjadi milik diri yang tidak pernah berputus asa.

Secara keseimpulannya, GBK Roe berharap agar tips H-O-L-I-D-A-Y yang dikongsikan ini dapat menjadi panduan kepada murid-murid terutamanya untuk menguruskan masa semasa cuti sekolah ini dengan bijak.

Semoga percutian sekolah murid-murid dapat dinikmati dengan gembira dan bermakna .

Artikel menarik

Sebelum lepaskan anak-anak ke asrama penuh, ini 8 tip yang perlu mak ayah buat. Mohon hadam

Guru sukarela deko kelas kerana minat dan kepuasan diri, bukan dipaksa atau terpaksa