Sungguhkah mawar tumbuh di datar,

Kalau datar mana alunnya,

Sungguhkah kata kamu belajar,

Kalau belajar mana pandainya?

Ya, murid-murid. Tidakkah murid-murid rasa tercabar dengan sebuah pantun di atas? Ya, andai kata kita belajar, tetapi di mana pandainya? Sebab itulah kena buktikan kita belajar mesti akan dapat pandainya. Ingatlah kata peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Oleh itu, sekiranya ingin mengecapi kejayaan, maka perlulah berusaha untuk mengejar tangga kejayaan. Jangan sekadar berharap rezeki turun dari langit atau mengharapkan durian runtuh. Kerana yang bulat tidak datang bergolek yang pipih tidak akan datang melayang.

Berbalik kepada belajar, pokok utama membina kejayaan adalah membuat persediaan awal.

Bagi murid sekolah rendah sudah pastinya berhadapan dengan UPSR adalah sesuatu yang boleh menjadikan mereka begitu terganggu emosi.

Harapan guru, ibu bapa dan diri sendiri sememangnya sering bermain dalam perasaan. Apatah UPSR adalah penentu hala tuju mereka untuk memohon ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), MRSM, Sekolah Kawalan, Rancangan Khas dan sebagainya yang sudah pastinya memerlukan sijil UPSR yang dapat memenuhi syarat kemasukan ke sekolah yang menjadi pilihan.

Maka sebab inilah calon itu perlu mempunyai kemampuan mental dan fizikal yang kuat untuk berhadapan dengan peperiksaan.

Murid-murid seharusnya membuat persediaan lebih awal lagi terutamanya Tahun Empat dan Lima sebelum bertarung dengan sepenuh hati bagi menghadapi tahun UPSR.

Mereka tidak seharusnya membuang masa, bersenang lenang atau melalui hari-hari persekolahan dengan ilmu yang secukupnya.

“Awal tahun tekadkan semangat bahawa murid-murid datang sekolah untuk belajar. Tidak perlu menunggu hari peperiksaan. Belajarlah seolah anda akan menghadapi peperiksaan esok hari. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.”

Ingat kata-kata Mahatma Gandhi “hiduplah seakan-akan kau akan mati besok. Belajarlah seakan-akan kau akan hidup selamanya.”

Maka sebab itulah murid-murid perlu melalui beberapa tip bagi persediaan awal tahun.

1) Jadikan buku sebagai ulat buku

Jika sebelum ini mereka agak enjoy apabila datang sekolah, tapi kali ini terpaksa pahatkan dalam kepala bahawa mereka terpaksa berdamping dengan buku kerana sangat memerlukan ilmu sebagai persediaan. Jangan hanya mengulang kaji apabila dekat peperiksaan semata-mata. Tetapi sematkan dalam hati, hari-hari yang dilalui adalah penting dan tidak perlu dibiarkan berlalu begitu sahaja.

2) Perlu ada bilik khas untuk belajar

Bilik khas ini sememangnya untuk mengelakkan anda terdedah kepada musuh utama seorang murid iaitu televisyen dan juga telefon apabila berada di rumah. Jadi, bilik ini membuatkan murid belajar tanpa gangguan. Ruang dan dinding seharusnya diletakkan dengan segala bahan dan nota untuk senang dilihat bukan sekadar meletak jadual waktu persekolahan sahaja.

3) Buat jadual belajar

Fokus kepada topik-topik kecil dan penting ketika mengulang kaji. Buat jadual belajar dan perlu dipatuhi. Sebagai contohnya, hari Isnin di khaskan untuk Bahasa Melayu, hari Selasa untuk Bahasa Inggeris, hari Khamis untuk Matematik dan Jumaat untuk Sains. Patuhi jadual ini dengan jayanya. Hafal isi-isi penting berkaitan sesuatu topik yang sering ditekankan oleh guru mata pelajaran.

4) Fokus dan cuba untuk faham

Di dalam kelas perkara paling penting adalah berkaitan peraturan. Semasa guru mengajar, mereka seharusnya fokus dan cuba untuk faham. Apabila tidak faham segera bertanya. Gunakan masa bersama guru dengan sepenuhnya. Tanya dan terus bertanya. Semua ini pasti melekat di dalam memori. Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.

5) Buat nota kecil

Perkara ini sangat penting bagi murid untuk ‘cepat’ mendapat ilmu. Di mana mereka akan membawa nota kecil di mana-mana. Nota ini sangat membantu untuk murid mengulang kaji secara kilat dan walau di mana sahaja berada. Nota berupa peta minda sangat membantu. Apatah lagi dicatat dengan pen yang berwarna-warni. Ini membuatkan murid tidak cepat bosan semasa mengulang kaji. Nota Bahasa Melayu, contohnya mesti ada format berkaitan dengan Bina Ayat, Ulasan dan Karangan.

6) Kekuatan doa

Pastikan solat cukup lima waktu. Disusuli dengan doa agar dilapangkan hati dan fikiran. Tenangkan perasaan dan fokus untuk terus belajar. Doa dan tawakal adalah senjata terakhir untuk membina keyakinan dan mencapai kejayaan.

Akhir sekali ingatlah kata-kata Imam Syafie...

“Bila kamu tak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”

“Jadi murid-murid marilah kita semua membuat persediaan awal. Yakin di penghujungnya kau akan menangis kerana meraikan kejayaan setelah berhempas pulas belajar selama ini. Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur."

Cikgu Ahmad Safarman Dollah

- Guru Bahasa Melayu, Guru Penyelaras Tahun Enam SK Kenering, Hulu Perak

Tip Menarik:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh