Membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan membaca sahaja dapat memperkayakan bahasa dan menambah ilmu pengetahuan. Namun, tidak ramai pelajar dapat memahami dengan baik sesuatu tajuk di dalam buku teks atau buku rujukan. Sama ada konsep yang diterangkan sukar difahami atau pelajar itu sendiri sebenarnya tidak suka membaca.

Ikuti perkongsian Cikgu Izzat di facebooknya ini.

5 Panduan Ringkas Membaca Buku

Ramai murid yang mengeluh kerana tidak dapat memahami apa yang ditulis di dalam buku biologi sama ada buku teks mahupun buku rujukan. Adakah disebabkan terlalu banyak nama-nama saintifik di dalam subjek biologi? Ataupun konsep dalam sesuatu tajuk biologi terlalu panjang untuk diterangkan?

Sebenarnya, kefahaman dalam memahami apa yang ditulis di dalam buku biologi bergantung kepada si pembaca. Di bawah diterangkan secara ringkas bagaimana untuk memahami apa yang dibaca:

1.Niat

Apa sahaja yang dilakukan bergantung kepada niat (intention). Jika niat membaca untuk memahami apa yang disampaikan, kefahaman akan datang sama ada cepat ataupun lambat. Jika niat membaca sekadar untuk menghafal supaya dapat menjawab peperiksaan, kefahaman tidak dapat dicapai bahkan tekanan perasaan akan dirasai oleh si pembaca.

2.Fokus

Membaca memerlukan fokus yang tinggi. Jangan membaca ketika makan, ketika menonton televisyen, atau ketika melakukan aktiviti lain, kerana aktiviti membaca tersebut akan menjadi aktiviti sampingan. Peruntukkan waktu yang sangat eksklusif untuk membaca. Jadikan aktiviti membaca seperti menonton wayang; fokus tanpa diganggu oleh anasir-anasir luar walaupun telefon bimbit!

3.Tulis

Jadikan tabiat mencatat apa yang dibaca sebagai satu kebiasaan semasa membaca. Tulis isi-isi penting di dalam kertas yang berasingan sebagai rujukan di masa hadapan. Tulis juga ayat-ayat yang dibaca di dalam buku yang kurang difahami untuk dirujuk kepada guru. Ini dapat memastikan salah faham dalam sesuatu konsep biologi dapat dielakkan.

4.Sabar

Kefahaman selalunya hadir lambat kerana sesuatu ilmu terbina daripada beberapa ilmu yang lain. Kebiasaannya, beberapa buku yang berlainan diperlukan untuk memahami sehingga arif dalam sesuatu bidang ilmu. Jangan terburu-buru dalam menimba ilmu. Air yang dicurahkan sekaligus pada batu tidak mengubah batu, tetapi air yang menitis titik demi setitik secara berterusan di atas batu mampu melekukkan batu tersebut.

5.Hormat guru

Jangan sesekali menjadikan ilmu yang didapati di dalam buku sebagai “senjata” untuk memalukan guru di dalam kelas jika sesuatu konsep yang diterangkan oleh guru adalah salah. Jika niat kita mencari ilmu yang benar, bawa buku yang dibaca kepada guru secara sembunyi tanpa pengetahuan murid yang lain.

Bincang dan tanya kepada guru tentang apa yang ditulis di dalam buku dan apa yang diperkatakan oleh guru. Mungkin guru akan menyedari kesilapannya dan menerimanya sebagai penambahbaikan di masa akan datang. Bahkan mungkin juga apa yang ditulis di dalam buku tersebut adalah salah!

Akhir sekali, jadikan budaya membaca sebagai satu aktiviti lebih daripada sekadar hobi atau sekadar menjawab peperiksaan. Pembacaan yang baik akan melahirkan budaya ilmu yang baik. Budaya ilmu yang baik dapat membentuk adab mulia dan dapat menangkis segala kesesatan yang datang hatta sebesar fitnah Dajjal mahupun sekecil berita-berita palsu di media sosial.

Semoga bermanfaat!