SAYA kongsikan kaedah ‘study smart’ yang telah saya guna pakai ketika belajar suatu masa dahulu.

Kaedah ini saya gunakan ketika bangkit semula dalam pelajaran saya, di mana saya pernah gagal dan diberhentikan dari sebuah universiti awam sebelum itu.

Kaedah ini jugalah yang membantu saya untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian Kelas Pertama, dengan IzinNya. Semoga ia dapat menjadi panduan kepada para pelajar untuk mengulang kaji pelajaran nanti.

Berikut adalah perinciannya:

1) Keyakinan Diri

Sebelum saya menghuraikan dengan lebih lanjut lagi, saya ingin memulakan mukadimah saya dengan menyentuh mengenai ‘Keyakinan Diri’.

Menurut satu kajian yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada beberapa tahun yang lepas, didapati kira-kira 95 peratus pelajar termasuk di pusat pengajian tinggi mengalami masalah ‘KURANG KEYAKINAN DIRI’, yang mana ia telah mempengaruhi kecemerlangan akademik mereka. Kekurangan itu menyebabkan mereka gagal untuk menetapkan sasaran atau matlamat dalam pembelajaran hingga akhirnya mereka tidak cemerlang di dalam pembelajaran masing-masing.

Kita semua perlu ada semangat yang kental dan jitu untuk menjadi seorang yang cemerlang. Kita juga perlu yakin yang diri kita juga mampu untuk menjadi seorang yang cemerlang jika kita mahu. Malah, diri kita sendiri tiada bezanya dengan pelajar yang paling cemerlang jika keyakinan kita meninggi setinggi gunung!

2) Rajin

Bagi saya, ini adalah perkara yang TERPENTING. Tiada suatu kejayaan pun yang akan hadir tanpa usaha yang jitu. Sebaik-baik rajin ketika belajar adalah dengan memberikan sepenuh perhatian dan fokus ketika kelas sedang berjalan. Ketahuilah bahawa guru/pensyarah kita adalah sumber utama di dalam kita mendapatkan ilmu pengetahuan. Dengan kata lain, ilmu yang mereka sampaikan adalah terus kepada kita. Alangkah ruginya seseorang itu jika tidak memberikan fokus yang sepenuhnya di dalam kelas, apatah lagi yang tidak hadir langsung ke kelas!

Dengan memberikan fokus sepenuhnya di dalam kelas, anda sebenarnya dapat menjimatkan masa dalam mengulang kaji. Bayangkan jika kita tidak memberikan fokus, kita terpaksa mengulang kaji kembali apa yang telah diajari oleh guru/pensyarah kita itu.

Sebaiknya, masa itu kita gunakan untuk menulis nota ringkas mengenai maklumat-maklumat penting yang telah disampaikan atau membuat lebih latihan untuk kita lebih memahami mengenai maklumat tersebut, lebih-lebih lagi bagi subjek Matematik.

3) Jangan Sombong

Kita sebagai manusia biasa, adalah lumrah untuk tidak memahami sesuatu perkara itu dari masa ke semasa. Oleh itu, kita perlu bertanya untuk apa-apa jua yang kita tidak fahami. Jangan simpan sahaja apa-apa yang kita tidak fahami di dalam diri kita dengan anggapan kita mungkin akan faham di dalam kelas seterusnya. Bayangkan jika kita sudah tidak memahami akan sesuatu perkara itu buat masa ini, dan sebenarnya perkara itu ada kaitannya dengan perkara lain untuk kelas-kelas yang berikutnya, sudah tentu kita akan ketinggalan dengan begitu jauh sekali.

Janganlah berasa malu untuk bertanya jika adanya apa-apa yang kita tidak fahami, tetapi berasa malulah jika kita tidak cemerlang disebabkan oleh sikap sombong yang ada di dalam diri kita itu.

Saya pasti setiap guru/pensyarah dengan hati terbuka ingin melihat setiap pelajarnya dapat memahami apa-apa jua ilmu yang telah mereka sampaikan.

Jika benar perasaan malu kita itu sangat menebal untuk bertanyakan kepada guru/pensyarah kita, bolehlah bertanyakan kepada rakan-rakan kita yang lebih memahami ataupun membuat rujukan pada buku-buku yang berkaitan. Yang penting, kita jangan simpan perkara yang kita tidak tahu itu selamanya di dalam diri kita.

4) Amalkan ‘Peta Minda’

Satu amalan yang telah saya amalkan ketika belajar dahulu adalah dengan menggunakan kaedah ‘Peta Minda’. Peta minda adalah kaedah di mana kita mengulang kaji sesuatu perkara itu melalui kaedah visual atau mengekstrak kata-kata kunci yang penting.

Sebagai contoh, bagi proses fotosintesis, adalah lebih mudah jika kita melukis gambarajah sebatang pokok dengan anak panah - anak panah yang menunjukkan proses pertukaran gas karbon dioksida kepada gas oksigen yang dilakukan oleh pokok tersebut.

Untuk contoh pengekstrakan kata-kata kunci penting, kita boleh gunakan bagi subjek-subjek yang mempunyai banyak fakta untuk diingati, seperti subjek Sejarah. Kita boleh mengekstrak kata-kata kunci penting seperti tahun sesuatu peristiwa itu berlaku, siapa yang terlibat dan apakah yang terjadi, daripada menghafal satu atau dua perenggan yang panjang sekaligus.

5) Jadual Belajar yang Sistematik

Seorang pelajar yang cemerlang sudah pasti mempunyai matlamat yang mantap. Dengan kata lain, dia sudah mengetahui akan sasaran yang dia telah tetapkan di akhir pembelajarannya nanti, mungkin 10 A bagi peperiksaan SPM atau Anugerah Dekan bagi setiap semester pengajian di universiti.

Satu perkara yang penting di sini, adalah untuk menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Masa adalah suatu ‘item’ yang percuma bagi setiap manusia, bayangkan jika kita tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin. Maka, akan tergolonglah kita di dalam golongan orang yang kerugian.

Ketika menghampiri peperiksaan sebenar, kita seharusnya sudah mempunyai jadual ulang kaji yang sistematik. Kita perlu mengetahui subjek-subjek yang perlu kita ulang kaji bagi setiap hari. Jika tidak, kita akan hanyut dan menjadi hilang arah untuk mengulang kaji bagi menghadapi peperiksaan sebenar.

Ramai yang suka untuk mengulang kaji pada saat -saat akhir, mungkin ada yang telah berjaya melalui kaedah ini. Tetapi ketahuilah, yang otak kita ini mempunyai kemampuannya yang tersendiri. Bayangkan jika kita hendak memasukkan kesemua maklumat-maklumat yang telah kita pelajari selama satu semester, hanya pada malam sebelum peperiksaan itu akan berlangsung, sudah semestinya ia akan membebankan otak kita. Jika kita mempunyai jadual ulang kaji yang sistematik, otak kita lebih mudah untuk menyimpan maklumat-maklumat tersebut.

Seorang ahli psikologi, George Miller mendapati bahawa otak kita dapat mencerap lebih kurang 7 +/- 2 bahagian maklumat pada satu-satu masa.

Saya kerap melihat para pelajar masih lagi melihat nota sebelum memasuki dewan peperiksaan sebenar.

Sepatutnya kita perlu masuk ke dalam dewan peperiksaan dengan hati yang sangat tenang. Bayangkan jika kita masih cuba untuk mengingati sesuatu maklumat, kemudian datang seorang rakan kepada kita dan bertanyakan jika kita sudah menghafal suatu bab itu ataupun tidak dan rupanya kita tidak menghafal bab tersebut. Sudah semestinya kita akan menjadi begitu panik, malah lebih teruk lagi kita mungkin akan melupai terus apa-apa yang telah kita ingati selama ini!

Rasanya cukup di sini dahulu perkongsian saya mengenai kaedah ‘study smart’ buat masa ini. Insya-Allah, saya akan kongsikan lagi tip-tip belajar berkesan di post saya yang akan datang.

Ingatlah, seseorang pelajar yang cemerlang, perlulah memiliki sifat-sifat yang cemerlang. Paling penting, teruskanlah berusaha dan jangan sesekali mudah mengalah, Insya-Allah kejayaan akan berada di dalam genggaman anda.

Prof. Madya Dr. Midhat Nabil (AMIChemE)

Professor Madya / Jurulatih Neuro-Linguistic Programming (NLP),

Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses,

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sumber: Facebook Midhat Nabil

- Dr Midhat Nabil merupakan Pensyarah UniMAP

Makluman: Artikel ini diterbitkan atas keizinan daripada penulis asal

TIP MENARIK:

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Guru ini kongsi 10 panduan skor A subjek bahasa Melayu UPSR

Tip penting untuk calon UPSR, PT3, SPM dan STPM buat ketika ini...jangan lengah-lengah lagi

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Gagal kuasai subjek Matematik...rupa-rupanya ini faktor sebenar pelajar lemah dan corot subjek itu

21 kaedah belajar yang betul dan berkesan untuk bantu pelajar cipta kejayaan - Versi Cikgu Iznan