Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

Kata Adverba: Menurut buku Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu – Golongan Kata (DBP, 2017), kata adverba adalah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat.

Kata adverba mempunyai empat bentuk, iaitu bentuk jati atau asli (sering kali), bentuk yang asalnya kata kerja (menyendiri), bentuk yang asalnya kata adjektif (segera) dan bentuk gandaan, iaitu kata adverba penggandaan penuh (betul-betul), kata adverba penggandaan separa (bersungguh-sungguh, kecil-kecilan) dan kata adverba penggandaan berentak (hingar-bingar).

Kata adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama, bahkan golongan kata tugas kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat seperti halnya dengan kata nama, kata kerja dan kata adjektif.

Penggunaan kata adverba dilihat dari segi kedudukan perkataan ini dalam ayat. Kata adverba juga bersifat kata prafrasa dan kata pascafrasa.

Kata Adverba >> Penerang Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan FSN.

Kata Adverba contoh: Jarang- jarang, sekali gus, (berjalan) mengiring, (terbang) meninggi, diam-diam, selama-lamanya, sentiasa, begitu, (sakit) kuat, (hitam) berkilat, bermalam-malam, besar-besaran, kerap kali, agaknya, sering (di pejabat), (putih) berseri, terburu-buru dan mati-matian.

Ayat contoh:

1. Belakangan ini Nyonya Lim jarang-jarang di rumah lagi. (FN + FS)

2. Yang berjuang mati-matian adalah ahli biasa daripada persatuan tersebut. (FN + FN)

3. Kulitnya hitam berkilat kerana di kebun sepanjang musim buah-buahan. (FN + FA)

4. Mutu pulang ke kampung untuk menziarahi neneknya yang sakit kuat. (FN + FK)

Malam: Sebaik usai menonton perlawanan bola di televisyen, bingkas penulis dari sofa ruang tamu dan bergerak ke meja baca kembali untuk menghadap komputer riba penulis, ASUS.

Bahan penulisan seperti makalah, puisi dan cerpen untuk majalah dan surat khabar tempatan secara berkala perlu diedit dan dimurnikan sebelum di-e-melkan kepada sidang editor yang berkenaan untuk tindakan susulan.

Sepi dan dingin malam pada malam itu cukup mengasyikkan dunia penulis di kamar bacaan. Yang pasti, di meja komputer itulah, aktiviti edit-mengedit, baca-membaca dan karang-mengarang dapat dilangsungkan dari waktu ke waktu tanpa gagal kecuali penulis dibelenggu oleh keuzuran.

Terbaca dan terpilih oleh penulis serangkap pantun Melayu yang menarik untuk bacaan dan renungan pembaca akhbar Sinar Harian pada minggu ini.

Pujangga Melayu mengarang pantun,

Tulat langkat menjadi hikayat;

Bahasa Melayu tonggak tamadun,

Wasilah pengikat perpaduan rakyat.

(Sumber: BBK, DBP Malaysia)

Bahasa Nadi Bangsa. Bahasa Jiwa Bangsa