Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

Kedudukan bahasa Melayu yang telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini bukanlah satu jaminan bahawa bahasa Melayu telah digunakan dengan betul dan tepat dalam semua situasi.

Malahan sering ditemukan pelbagai kesilapan penggunaan bahasa Melayu di mana-mana termasuklah pada papan tanda.

Garis panduan yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mengenai penggunaan bahasa pada papan tanda premis perniagaan dan nama jalan seperti kurang diendahkan.

Takrif papan tanda menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), nama sesuatu tempat (kawasan).

Papan tanda perniagaan lazimnya diletakkan di hadapan bangunan kedai atau premis perniagaan agar mudah dilihat dan dikenal pelanggan.

Nik Safiah Karim (1992) melihat kepincangan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan sebagai suatu gejala yang amat buruk terutama kepada kanak-kanak di sekolah kerana menimbulkan kekacauan antara bahasa yang diajar di sekolah dengan bahasa yang dilihat oleh mereka di tempat awam.

Menelusuri bandar Kangar, ibu negeri Perlis, didapati masih terdapat pelbagai kesilapan bahasa pada papan tanda yang dipamerkan di premis perniagaan.

Hal ini pasti mengecewakan pengunjung dalam kalangan pencinta bahasa Melayu.

Persoalannya adakah pihak berwajib tidak peka pada usaha memartabatkan bahasa Melayu kerana papan tanda yang dimaksudkan ini bukan dipamerkan kelmarin atau sebulan yang lalu, tetapi sesetengahnya sudah wujud sejak puluhan tahun lalu.

Antara yang menggamit pandangan mata termasuklah papan tanda sebuah klinik perubatan yang berada di tengah bandar Kangar, iaitu CHAN KLINIK.

Kesilapan bahasa yang jelas ialah penggunaan hukum D-M (diterangkan dan menerangkan).

Yang hendak diterangkan ialah KLINIK dan yang menerangkan pula ialah kata CHAN, justeru sewajarnya dipamerkan ialah KLINIK CHAN.

Kelihatan juga papan tanda seumpamanya, iaitu ZAIMAH HAIR & BEAUTY UNISEX SALOON SOLEKAN DAN ALATAN PENGANTIN.

Penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu telah bercampur aduk.

Sewajarnya ditulis PUSAT KECANTIKAN ZAIMAH dan frasa UNISEX (untuk wanita dan lelaki) serta frasa SOLEKAN DAN ALATAN PENGANTIN boleh dicatat dengan saiz tulisan lebih kecil di bahagian bawah papan tanda berkenaan.

Selain itu terdapat juga sesetengah papan tanda yang betul penggunaan hukum D-M tetapi salah pula dari segi penggunaan ejaan.

Antaranya termasuklah KEDAI EMAS HAJJAH.

Ejaan yang betul bagi HAJJAH ialah HAJAH kerana melibatkan kata pinjaman.

Demikian juga ditemukan PUSAT KECANTIKKAN MSS BEAUTY SHOPPE.

Selain ejaan KECANTIKKAN yang sewajarnya dieja KECANTIKAN kerana kata dasar CANTIK telah menerima apitan ke-an.

KEDAI KERINTING RAMBUT BUTTERFLY pula sewajarnya dipamerkan KEDAI KERITING RAMBUT RAMA-RAMA.

Ejaan yang betul ialah KERITING bukan KERINTING.

Contoh lain penggunaan bahasa Inggeris pada papan tanda di sekitar bandar Kangar ialah:

1. NORAINI JEWELLERY yang sewajarnya KEDAI EMAS NORAINI

2. NADA CINTA COLLECTION sewajarnya KOLEKSI NADA CINTA

3. SHAFIZZ COLLECTION sepatutnya KOLEKSI SHAFIZZ

4. D’MELATI BAKERY sewajarnya KEDAI KEK D’ MELATI

5. IDOLA PESONA BEAUTY seharusnya PUSAT KECANTIKAN IDOLA PESONA.

Bagi ANJONG BAGASS CAFÉ pula selain salah ejaan kata ANJUNG, kata KAFE dan ANJUNG membawa maksud sama.

Ini pula perkongsian tip penggunaan 'di' dekat dan 'di' jarak yang mudah faham https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/di-dekat-dan-di-jarak-pun-tak-tahu-munsyi-bahasa-ini-bagi-tip-asas-1.912402