"Malang Tidak Berbau". Ia adalah perumpamaan merujuk kepada risiko dan kemalangan ada di mana-mana.

Keselamatan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi ia termasuk pemakanan, pergaulan dan persekitaran.

Tip berikut boleh dijadikan panduan untuk memastikan keselamatan anak-anak ketika berada di sekolah.

 

1. Tidak membawa beg terlalu besar dan berat.

Beg yang terlalu besar dan berat boleh menjejaskan kesihatan tulang belakang anak.

Selain itu, beg yang besar dan berat boleh mengganggu pergerakan dan ketidakseimbangan badan.

Tidak mustahil akan mengundang kemalangan.

 

2. Persekitaran tempat membeli makanan

Bagi mengelakkan anak-anak terkena keracunan makanan, pastikan mereka tidak membeli makanan di tempat yang terdedah kepada bahaya keracunan dan persekitaran yang buruk.

Jelaskan kepada mereka terlebih dahulu kepentingan membeli makanan di tempat yang bersih.

 

3. Sarapan

Latih anak-anak bersarapan di rumah. Apabila bersarapan, mereka dapat meningkatkan tenaga dan metabolisma untuk memulakan hari yang aktif.

Selain itu, ia juga membantu memberi fokus serta penumpuan baik semasa di dalam kelas.

 

4. Keselamatan ketika menaiki kenderaan

Pastikan mereka tahu langkah-langkah keselamatan ketika menaiki kenderaan. Sebagai contoh jika mereka menaiki bas ke sekolah, terangkan kepada mereka bahaya bergurau senda dengan kawan-kawan ketika bas sedang bergerak. Pesan juga kepada mereka agar tidak berdiri di tangga pintu kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.

 

5. Keselamatan ketika melintas jalan raya

Anak-anak perlu diberi pendedahan keselamatan ketika melintas di jalan raya. Pastikan mereka tahu fungsi lampu isyarat (lampu merah, kuning dan hijau) untuk melancarkan perjalanan.

 

6. Tidak menumpang kenderaan orang yang tidak dikenali

Ini ialah pesanan yang SANGAT PENTING. Pastikan anak-anak tidak biasakan diri menumpang atau menerima pelawaan orang luar yang tidak dikenali ke sekolah.

 

7. Alat tulis sekolah

Penggunan alat tulis yang tajam dan yang mempunyai risiko seperti gunting, pisau dan sebagainya perlu diambil kira untuk keselamatan anak-anak di sekolah.

Latih mereka menggunakan alat tulis tersebut dengan betul. Jelaskan kenapa alat tulis tersebut tidak boleh disalahgunakan.

 

8. Peralatan senaman dan sukan

Peralatan senaman dan sukan di sekolah seperti lembing dan sebagainya tidak semestinya selamat bagi anak-anak kita. Pastikan mereka tahu menggunakannya dengan betul untuk mengelakkan kemalangan pada diri sendiri dan kawan-kawan.

 

9. Bahaya bergurau senda bukan di tempat yang betul

Jelaskan kepada anak-anak tentang bahaya bergurau sendi dan berlari-lari ketika di dalam kelas atau ruang yang agak sempit.

Objek seperti kerusi, meja atau di luar kelas seperti lubang, longkang dan sebagainya boleh mengundang bahaya kepada anak-anak.

 

10. Aktiviti di luar kawasan sekolah

Jika anak terlibat dengan aktiviti luar seperti perkhemahan, lawatan atau pakaian beruniform pastikan kita tahu jadual program mereka.

Pesan pada mereka agar sentiasa ikut segala nasihat dan peraturan yang telah ditetapkan guru sebagai langkah keselamatan.

 

 

 

 

Sumber: anashana