Sepanjang minggu lepas kebanyakan sekolah telah mengadakan Minggu Orientasi Tingkatan Empat secara dalam talian memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar di rumah (PdPR) ketika ini.

Pelbagai informasi telah diberikan oleh pihak sekolah dalam memastikan pelajar jelas tentang pemilihan subjek elektif bagi Tingkatan Empat ini.

Namun tidak dapat dinafikan terdapat ramai pelajar yang masih keliru tentang hala tuju terbaik bagi pemilihan aliran yang sesuai dengan mereka.

Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, Shah Alam, Selangor, Cikgu Rozanita Mohamed Rashid berkongsi lima tip memilih aliran sesuai khusus untuk pelajar Tingkatan Empat.

 

1) Aras pencapaian

Keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) calon PT3 2020 boleh digunakan sebagai kayu pengukur bagi setiap pelajar Tingakatan Empat.

Jika anda berminat dalam aliran Sains, pencapaian subjek Sains dan Matematik perlu diberi perhatian. Ini sangat penting bagi memudahkan anda meneruskan aliran ini.

 

2) Kenal pasti minat dan potensi

Bagi memilih aliran sama ada Sains, Sastera atau sebagainya perlulah berdasarkan minat dan kemampuan diri. Boleh rujuk Guru Kaunseling berdasarkan Pentaksiran Psikometrik Inventori Minat Kerjaya 2.0 dan Inventori Kecerdasan Pelbagai yang telah dijalankan ketika di Tingkatan Tiga. Bagaimanapun, dengan minat sahaja tidak mencukupi kerana ia perlu selari dengan pencapaian dan kemampuan anda dalam subjek berkenaan.

 

3) Ukur kemampuan diri

Muhasabah diri menilai kemampuan diri anda untuk belajar bagi dua subjek iaitu Sains dan Matematik. Kalau biasanya anda berdepan kesukaran untuk belajar dan sentiasa mendapat markah yang rendah atau kurang memuaskan, maka anda perlu membuat pertimbangan sebaiknya.

 

4) Sentiasa bertanya

Sebagai pelajar, anda janganlah ada sifat malu untuk bertanya. Bertanyalah kepada Guru Kaunseling anda atau guru-guru mata pelajaran untuk mengetahui tentang maklumat terkini. Boleh juga mencari maklumat di internet. Namun pastikan maklumat yang diterima adalah sahih dan terkini

 

5) Memohon petunjuk

Selepas segalanya telah diusahakan, haruslah berserah dan memohon pertolongan daripada Allah SWT agar diberi petunjuk dan dipermudahkan segala perancangan anda. Solat Istikharah boleh dilakukan apabila seseorang itu ragu-ragu dalam membuat sesuatu pilihan atau menentukan apa yang terbaik.

 

Ingat masa depan anda bermula di sini!

Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada semua terutama bagi pelajar Tingkatan Empat.