“MEMANG saya sarankan murid-murid guna nota poket kerana penerangan tidak panjang lebar.

“Bahkan nota ini mudah difahami dan senang dibawa ke mana-mana dan boleh dibaca walau di mana sahaja berada. Misalnya ketika menunggu bas, menunggu ibu-bapa datang, di pusat sumber sekolah atau menunggu kehadiran guru masuk ke kelas.

“Cara ini sekaligus memupuk budaya membaca dan sikap ulat buku,” kata Cikgu Ahmad Safarman Dollah dari Sekolah Kebangsaan Kenering.  

Menurutnya, nota poket ternyata memberi kesan yang besar.

 “Lagi pun nota ini adalah hasil nukilan murid sendiri. Fakta, konsep, teknik, kata kunci semua ditulis oleh mereka. Sambil membuat nota, murid itu sendiri mengingati apa yang ditulis. Maklum sahajalah kesemua maklumat dalam nota poket adalah maklumat yang sangat penting dan akan keluar dalam peperiksaan,” ujarnya selaku guru subjek Bahasa Melayu.  

Kata beliau, murid-murid boleh bertukar-tukar nota poket sesama kawan untuk mengelakkan bosan dan menaikkan semangat untuk belajar.

Di samping itu mereka boleh bersoal jawab untuk menguji kefahaman.

Langkah penyediaan nota poket:

1) Merujuk kepada maklumat, latihan, nota yang diberikan oleh guru di dalam buku latihan yang merangkumi Tatabahasa, Bina Ayat, Ulasan dan Karangan.

2) Murid akan fahami terlebih dahulu apa yang telah diajarkan oleh guru.

3) Murid diberikan kertas warna dan kertas A4 dan dipotong dua.

4) Mereka mula membuat cover yang menarik. Kemudian menyambung menulis nota berpandukan buku latihan di rumah.

5) Bebas untuk menggunakan warna dan kreativiti masing-masing untuk mencantikkan nota tersebut.

6) Murid bebas untuk menulis nota poket. Maklumat, fakta dan teknik yang telah diingati tidak perlu ditulis lagi. Bahkan mereka akan fokus kepada teknik yang sukar.

7) Mendapat pengesahan guru besar sebagai merangsang minat atas usaha murni yang telah dibuat.

8) Membuat majlis pelancaran dan penyerahan di tapak perhimpunan oleh Penolong Kanan Pentadbiran.

“Kaedah ini ternyata memberi impak yang berkesan kepada semua murid lain. Mereka mengambil contoh dan ingin menghasilkan nota sebagai mana yang telah dibuat oleh murid-murid kelas saya,” ujarnya yang menganggap guru yang prihatin akan peperiksaan dan kejayaan murid biasanya akan cuba memberikan seberapa banyak bahan yang boleh selain buku teks.

Nota poket ini, jika dihasilkan dari Tahun Empat boleh dibawa dan digunakan hingga ke Tahun Enam.

Selepas UPSR, mereka akan memberi hadiah atau mewarisi kepada murid-murid Tahun Lima yang akan menghadapi peperiksaan pula. Ilmu akan diwarisi sepanjang masa.

Kesimpulannya, murid-murid belajarlah untuk menulis nota poket bermula dari Tahun Empat lagi kerana nota yang kecil dan comel ini menjadi suatu rekod yang kekal dan amat penting untuk tujuan mengulang kaji.

Kesemua nota yang baik dan sempurna merupakan tiket kejayaan murid dalam peperiksaan.

Tip menarik:

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti