Berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mana-mana pelajar di luar sana untuk menuntut ilmu sebaliknya ia harus digunakan sebagai pembakar semangat untuk berusaha keras dalam pelajaran sekali gus mengubah nasib keluarga di masa depan.

Tambahan pula sistem pendidikan di negara ini sudah banyak menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar yang berasal daripada keluarga golongan B40 untuk mendapatkan pendidikan baik di sekolah harian atau sekolah berasrama penuh.

Itulah yang dimanfaatkan oleh bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Nor Amelia Mohd Yadi yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam menuntut ilmu sehingga berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Pelajar yang berjaya mendapat 9A+ dalam SPM itu sedang menuntut Kolej Yayasan UEM, Kuala Terengganu bagi mengikuti program di peringkat A-Level sebelum menyambung pengajian ke luar negara dalam bidang kejuruteraan.

Kejayaan beliau dikongsikan di Facebook oleh seorang kaunselor yang di kenali dengan nama Dr Zulkifli Hussain.

Ikuti perkongsian yang dibuat Dr Zulkifli Hussain mengenai kejayaan Nor Amelia dan beberapa tip kejayaan untuk panduan pelajar-pelajar di luar sana.

*********************

NOR AMELIA PENERIMA BUDI-MARA PEROLEH 9A+ DALAM SPM

Penulisan ini saya tujukan khas kepada anak-anak pelajar yang sedang menuntut di semua institusi pendidikan. Saya cuba buktikan bahawa pelajar BUDI mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Kesusahan dan kekangan kewangan bukan penghalang.  

Penulisan ini juga mengandungi tip-tip belajar daripada Nor Amelia. 

Semoga memberi manfaat kepada semua.  

Nama diberi Nor Amelia binti Mohd Yadi. Alhamdulillah, dalam peperiksaan SPM 2019, beliau berjaya meraih keputusan 9A+ berkat doa keluarga, guru-guru serta rakan-rakan.  

Nor Amelia dilahirkan di Puchong, Selangor namun kini menetap di Kuala Terengganu. Anak ketiga daripada 7 orang adik beradik. Bapa merupakan seorang pemandu manakala ibu saya seorang peniaga makanan.

Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, bersekolah di MRSM Besut dan meraih keputusan 10A dalam PT3 2017. Aktif mewakili maktab dalam pertandingan debat, sains dan matematik. Namun, perkara ini tidak menjadi satu halangan dalam mengekalkan prestasi akademik.

Sekarang Nor Amelia sedang menuntut di Kolej Yayasan UEM. Beliau sedang mengikuti pengajian di peringkat A-Level dan seterusnya akan mengambung pengajian diperingkat ijazah sarjana muda (kejuruteraan elektrik) di luar negara. InsyaAllah…  

Gambar hiasan daripada Pexels.

Nor Amelia berkongsi tip kejayaan;

1) Sasarkan yang terbaik

Sejak Tingkatan 1 lagi, saya sentiasa menetapkan sasaran untuk mendapatkan 4.00 pada setiap semester. Alhamdulillah sepanjang bergelar pelajar MRSM, saya berjaya mencapai PNG 4.00 sebanyak 6 kali. Namun, andai tidak mendapat PNG 4.00 sekalipun, saya sentiasa menjadikan perkara tersebut sebagai satu dorongan untuk berusaha lebih gigih. Semasa Tingkatan 5, saya sentiasa menetapkan mindset bahawa saya akan mendapat 9A+. Bahkan, saya menulis "Amelia 9A+" di setiap buku, kertas, helaian latihan mahupun alat tulis kerana saya percaya ia merupakan satu doa.

2) Fokus dalam kelas

Saya sentiasa memastikan diri segar sepanjang PdP berlansung. Elakkan tidur dalam kelas dan fokus terhadap apa yang sedang diajar. Cara terbaik untuk mengekalkan diri daripada mengantuk adalah dengan memahami topik tersebut sebaiknya. Apabila pelajar memahami sesuatu topik tersebut, insya-Allah akan timbul minat. Seandainya, ada masa lapang, saya akan mengulang kaji sesuatu topik yang belum diajar supaya tidak terpinga-pinga ketika dalam kelas.

3) Pengurusan masa

Setiap pelajar perlu menilai kemampuan masing-masing dan merancang jadual belajar yang sesuai. Ketika di Tingkatan 5, saya amalkan "power nap" pada setiap malam. Setelah selesai bacaan al-Mulk saya akan tidur sebentar lebih kurang 10 - 30 minit, kemudian saya akan mengulang kaji setiap topik yang sudah lama ditinggalkan untuk dikuasai sepenuhnya. Bagi saya, perkara ini sangat penting supaya pelajar tidak terbeban untuk mengulang kaji ketika musim peperiksaan. Jadi, ketika musim peperiksaan, saya hanya banyakkan latihan sahaja

Gambar hiasan daripada Pexels.

4) Nota

Pada pendapat saya, meskipun ada pelajar yang menggunakan nota dalam iPad atau telefon pintar, adalah lebih baik untuk menyalin nota tersebut. Semasa semester 2 Tingkatan 5, saya mula mengasingkan nota di dalam kelas dan nota "self study". Nota "self study" saya adalah termasuk nota penting di dalam kelas yang disalin semula, nota daripada video-video di YouTube serta soalan yang kerap ditanya dalam topik tersebut. Untuk meningkatkan kefahaman, biasanya saya melukis dan tidak sekadar menulis. Gunakan pelbagai warna dalam nota supaya lebih mudah ingat.

5) Amalan rohani

Saya sentiasa amalkan surah Al-waqiah, Al-Kahf, Luqman serta Ad-Dukhan. Seeloknya, dibaca setiap hari. Pada prep pagi, saya mulakan dengan membaca Al-mathurat supaya lebih tenang untuk belajar. Pada waktu malam, amalkan solat sunat hajat dan solat sunat taubat. Dalam doa pula, di samping mendoakan keputusan 9A+, saya amalkan doa "Ya Allah, rezekikanlah kami keputusan yang terbaik supaya kami tidak melupakanMu" kerana mungkin keputusan yang cemerlang bukanlah yang terbaik sebaliknya menjadikan kita semakin riak dan jauh daripada Allah.

6) Hormat ibu bapa dan guru

Setiap minggu, saya sentiasa berhubung dengan keluarga dan memohon doa mereka. Keluarga adalah sebab utama yang menjadikan saya lebih semangat untuk belajar kerana saya percaya belajar sememangnya satu tanggungjawab sebagai anak. Dalam konteks guru pula, sentiasa hormat guru dan jaga hati mereka. Siapkan kerja rumah kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman, bahkan dapat menggembirakan hati guru-guru. Sentiasa selitkan ibu bapa dan guru-guru dalam doa.

Gambar hiasan daripada Pexels.

7) Belajar berkumpulan

Bagi pelajar yang mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu topik, disarankan untuk belajar secara berkumpulan. Seandainya ada masa lapang, mulakan perbincangan dalam kumpulan. Pelajar yang lebih cemerlang pula seeloknya saling berkongsi ilmu dan sentiasa peka apabila ada pelajar yang ingin bertanya.

8) Banyakkan Latihan

Bagi sesetengah subjek seperti Addmath dan Matematik, cara terbaik untuk mendapat A+ adalah dengan sentiasa melakukan latihan soalan KBAT. Bagi subjek-subjek lain pula, saya menjawab soalan-soalan percubaan setiap negeri. Buat nota ringkas terhadap soalan yang kerap ditanya dan sentiasa berjumpa guru untuk mendapatkan kepastian.

9) Pengurusan stres

Bagi saya, pengurusan stres amat penting. Jadi, sentiasalah positif dan hindarkan diri daripada terlibat dalam kes-kes disiplin. Dalam proses belajar pula, sentiasa ingatkan diri untuk berusaha lebih gigih daripada orang lain kerana itulah yang membezakan pelajar biasa dengan pelajar luar biasa. Percayalah, setiap usaha yang anda lakukan pada hari ini akan menyumbang kepada senyuman anda di kemudian hari.

Diharapkan coretan ini sedikit sebanyak menjadi inspirasi untuk pelajar-pelajar lain bagi mengekalkan kecemerlangan MRSM sebagai institusi pendidikan terbaik di peringkat global.  Semoga berjaya!

TAHNIAH Nor Amelia !!! Kami Bangga Dengan Pencapaian Anda!!!

Sumber Facebook Dr Zulkifli Hussain

Artikel menarik

Bentang aplikasi mudah alih 'Go English Writing' di Turki, dua guru KV Keningau bukti kemampuan diri

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti