SHAH ALAM -  Pelajar cemerlang dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), di sini,  dengan pencapaian mumtaz sofi dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 yang diumumkan baru-baru ini, berkongsi tip kaedah belajar Arudh Khaitiyah guna Matematik.

Wan Ahmad Imran Wan Mohd Salleh, 19, berkata, subjek Arudh Khafiyah lebih kepada lagu kerana kelas subjek ini memerlukan bakat nyanyian.

“Saya pula minat lagu tetapi tidak pandai nyanyi, sedangkan subjek itu kena nyanyi.

“Situasi itu menyebabkan agak sukar untuk saya faham namun ALLAH SWT bagi ilham untuk saya buat Matematik menggunakan kaedah Arudh Khafiyah,” katanya kepada GPS Bestari.

Menurut anak sulung daripada lima beradik ini, daripada ilham gabungan dua subjek ini, beliau dapat memahami subjek tersebut.

Kongsinya, subjek Arudh Khafiyah ini biasanya digunakan dalam membaca syair berbahasa Arab dan ia juga digunakan untuk membezakan syair yang cantik dan tidak cantik dengan menggunakan beberapa formula ataupon wazan (bentuk) irama sesuatu syair yang diletakkan.

“Maka, orang Arab akan membaca syair mengikut formula yang telah ditetapkan dan setiap formula ini mempunyai lagu ataupun irama yang berbeza.

"Contohnya perkataan  mutafaii, mutafaiilun, mutafaiilunlun.. saya gunakan nombor 1 untuk huruf yang berbaris dan nombor 0 untuk yang tidak berbaris jadi.. 1, 1, 1, 0, 1, 1, 0, 1, 1, 1, 0, 1, 1, 0, 1, 1, 1, 0, 1, 1, 0.

“Jadi apabila dalam peperiksaan saya hanya akan hafal nombor ini je.. untuk cari irama dalam syair yang keluar dalam kertas soalan,” katanya.