Apa yang anak-anak kita di Tahun 2 bakal belajar tahun depan?

Ikuti perkongsian daripada Guru Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) (1) Gombak, Cikgu Mohd Fadli Salleh (MFS) sebagai persediaan buat ibu bapa di luar sana.

**********

1) TAJUK 1 ialah Nombor Hingga 1000

Tajuk ini adalah kesinambungan daripada apa yang anak kita belajar pada Tahun 1.

Tajuk ini tidak sukar mana, ramai murid boleh kuasai dengan baik. Cuma perlu lebihkan latihan dalam sub topik Bundar, Pola Nombor dan Penyelesaian Masalah. 3 sub topik ini antara yang ramai murid tidak kuasai.

2) TAJUK 2 ialah Operasi Asas

Yang ini kena bagi tumpuan yang sangat tinggi. Ini asas yang sangat-sangat PENTING buat anak di Tahun 2.

Mereka dah mula menambah dan menolak nombor hingga 1000. Pastikan anak kuasai penambahan dan penolakan yang mengumpul semula.

Lebih penting lagi, dalam topik ini juga anak-anak mula diperkenalkan dengan DARAB dan BAHAGI. Dua topik yang sangat ramai murid gagal kuasai. Jika tak kuasai sedari Tahun 2, ia akan menjadi masalah sampai UPSR.

3) TAJUK 3 ialah Pecahan dan Perpuluhan

Pengenalan kepada pecahan wajar diajar dalam tajuk ini. Tolong pastikan anak betul-betul faham apa itu pecahan wajar.

Juga mula diperkenalkan perpuluhan kepada mereka. Murid juga perlu kuasai penukaran pecahan persepuluh kepada perpuluhan.

Contoh : 4/10 = 0.4

Jangan risau, di Tahun 2 topik ini hanya pengenalan dan tidak sukar. Murid mudah faham topik ini.

4) TAJUK 4 ialah Wang

Dalam topik ini, ada penambahan nilai wang hingga tiga kali. Pastikan anak dah power menambah. Menolak pun dah kena tolak berturut-turut hingga RM100.

Agak seram, mereka dah kena kuasai mendarab dan membahagi wang. Sebab itu cikgu kata TAJUK 2 sangat-sangat penting.

Selain itu, pada topik ini juga anak-anak di Tahun 2 dah diperkenalkan dengan sub topik Simpanan dan Pelaburan.

5) TAJUK 5 ialah Masa dan Waktu

Tahun 2 ni anak-anak tak payah lagi diberi jam digital. Bagi jam jarum pada mereka baru cepat mereka faham dan kuasai topik ini.

Mereka juga kena ingat sehari = 24 jam dan satu jam = 60 minit. Fakta asas dua ni je dulu mereka kena ingat. Musim cuti ni ajar mereka segera ya.

6) TAJUK 6 ialah Ukuran dan Sukatan

Murid dah diperkenalkan dengan ukuran panjang, timbangan berat dan isipadu cecair.

Asas pada Tahun 2 ni, anak-anak kena tahu dan kenal meter dan centimetre, kilogram dan gram serta liter dan mililiter.

Mereka hanya perlu kenal, sukat dan anggar pada Tahun 2. Tiada soalan penukaran unit, tambah, tolak dan bahagi lagi. Pengenalan asas sahaja.

7) TAJUK 7 ialah Sukatan dan Geometri

Tajuk ini pun sambungan dari Tahun 1. Mereka perlu kenal bentuk-bentuk 3D dan 2D serta huraian ciri-ciri bentuk tersebut. Bentangan bentuk 3D juga dah mula diajar dalam tajuk ini.

8) TAJUK 8 ialah Pengurusan Data

Jika di Tahun 1 murid diperkenalkan dengan piktograf, pada Tahun 2 murid diperkenalkan dengan carta palang. Murid perlu pandai mengumpul, mengelas dan menyusun data. Mereka juga perlu pandai membaca dan mendapatkan maklumat dari carta palang.

Okey, itu sahaja 'bedah' siasat DSKP Tahun 2 untuk kegunaan 2021. Semoga bermanfaat hendaknya.

Sumber: Telegram Tips Matematik dan Isu Pendidikan Semasa

Artikel menarik

Rahsia didikan keluarga Cikgu Mohd Fadli. Tak sangka semua adik-beradiknya turut bergelar pendidik

Projek lima sekolah wakili Malaysia ke luar negara, The School Toilet Project antara saingan sengit!