Subjek Prinsip Akaun?

Susah sangat. Perlu belajar dengan banyak nombor. Stress jadinya.

Inilah mentaliti segelintir pelajar berkenaan mata pelajaran Prinsip Akaun.

Prinsip Akaun di sekolah merupakan proses pengukuran, pendedahan dan peruntukan kepastian maklumat bagi membantu pihak pengurusan sesebuah perniagaan membuat keputusan yang perlu diambil dalam perniagaan mereka terutamanya dari segi peruntukan sumber.

Isi kandungan mata pelajaran Prinsip Akaun adalah melampaui bidang Simpan Kira yang lebih mengutamakan proses merekod urus niaga berdasarkan prosedur debit dan kredit.

Melalui Prinsip Akaun, pelajar didedahkan kepada konsep, prinsip dan kaedah perakaunan yang diperkukuhkan dengan kemahiran merekodkan, mengklasifikasikan, mentafsir, menganalisis dan mengungkap data kewangan berdasarkan urus niaga atau peristiwa perniagaan.

Sebenarnya, sikap sebahagian pelajar yang menganggap mata pelajaran Prinsip Akaun itu susah disebabkan mereka telah salah menggunakan teknik belajar Perakaunan iaitu teknik ‘hafal’.

Pelajar sepatutnya menggunakan teknik ‘faham konsep’ untuk memahami subjek Prinsip Akaun dengan mudah.

Bagi Maizura Moeen atau lebih dikenali sebagai Cikgu Wawa, subjek Prinsip Akaun bukanlah sukar seperti yang diperkatakan ramai.

“Pertama sekali, pelajar perlu faham definisi Prinsip Akaun.

“Kemudian, fahamkan tentang tujuan laporan disediakan, fahamkan komponen-komponen akaun yang terlibat dan kuasai proses debit dan kredit,” katanya yang merupakan bekas akauntan selama tujuh tahun dan seorang guru yang berpengalaman luas dalam menyediakan laporan kewangan.

Cikgu Wawa berkata, selepas memahami semua aspek yang disebutkan, pelajar akan melihat bahawa Prinsip Akaun adalah subjek yang sangat mudah.

“Pelajar sebenarnya nak nampak mudah dan senang ketika belajar. Bila semua ini ada, barulah mereka seronok untuk mengikuti pembelajaran,” katanya yang kini merupakan pengasas Pusat Tuisyen Bright Minds Academy.

Artikel menarik

Risau anak jadi 'introvert' kerana belajar secara online, ibu bapa kena peka isu ini

Covid-19 : Berikan informasi sesuai usia, anda boleh ikuti enam langkah berikut

Prototaip luar biasa, 3 pasukan raih geran inovasi berjumlah RM60,000 dari YSD