Silibus Matematik Tahap 1 susah? Apa yang kalian sebagai ibu bapa perlu buat? Nak bantu, tapi kalian sendiri pun tak tahu nak mulakan dari mana?

Jadi, ini sedikit perkongsian yang kalian sebagai ibu bapa boleh follow.

1. Bersedia

Dari kaca mata aku sebagai guru yang terlibat dengan murid Tahap 1, silibus yang terkini agak tinggi arasnya dan belum boleh diterima pakai oleh semua pihak khususnya murid yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Setuju?

Jadi, sebagai ibu bapa kalian perlu bersedia dari segi mental. Usah mengeluh di depan anak-anak.

Dan tugas kalian juga untuk berikan ‘bantu mula’ kepada anak-anak ketika di rumah agar anak-anak kalian lebih bersedia.

“Tapi saya tak tahu nak mula dari mana lah cikgu.”

Jangan risau, di bawah nanti aku akan kongsikan langkah-langkah yang kalian boleh follow.

2. Kemahiran Penting

Salah satu perbezaan yang paling ketara antara silibus lama dengan silibus terkini adalah pengenalan kepada kemahiran-kemahiran baru.

Contohnya kemahiran membundar dan cerakinan.

Sebagai guru sendiri, aku tidak memberi penekanan yang terlalu banyak pada kemahiran-kemahiran ini pada murid Tahun 1. Hal ini kerana kemahiran ini akan berulang dan diulang hingga ke Tahun 6.

Memadai kalau 2/3 dari kelas tersebut sudah dapat membundar dan mencerakinkan dengan baik. Kemudian, aku akan beralih pada kemahiran yang lain.

3. Kehidupan seharian

Matematik adalah subjek yang berkait dengan kehidupan seharian kita.

Maka, jadikanlah soalan-soalan Matematik mudah ini sebagai soalan harian.

Contohnya, untuk tahun 1 mereka telah diperkenalkan dengan bentuk 3 Dimensi seperti kubus, kuboid dan silinder.

Makanya, kita boleh jadikan soalan mengenai bentuk ini sebagai soalan harian.

“Apakah bentuk kotak yang adik pegang tu?”

“Apakah bentuk bola yang abang tendang tadi?”

Mudah bukan?

4. Pengenalan

Silibus tahap 1 ini lebih kepada pengenalan khususnya untuk murid Tahun 1.

Pengenalan kepada wang, kenali waktu, bentuk dan beberapa tajuk lagi.

Bantuan dari rumah sudah pasti akan sangat membantu.

Di sekolah, memang boleh nampak perbezaan di antara murid yang ada bantuan dari rumah dengan yang tidak.

Contohnya, pengenalan kepada wang. Bantulah anak-anak kalian untuk mengenali duit syiling dan wang kertas.

Sangatlah mendukacitakan bilamana ada murid Tahun 1 yang tidak kenal akan nilai mata wang Malaysia. Ada juga yang tidak tahu untuk membezakan antara pagi dan malam tika ditunjukkan gambar.

Jangan pelik. Ianya berlaku!

Jadi, bantuan dari kalian sudah pasti akan sangat membantu. Walaupun sekecil-kecil bentuk bantuan.

 

Ini lah step yang kalian boleh follow.

1. Kemahiran Asas

Utamakan kemahiran asas yang penting dahulu. Operasi asas.

Tambah, tolak, darab dan bahagi.

Isunya, dengan silibus lama pun masih ada murid yang tidak kuasai kemahiran ini dengan baik.

Bayangkanlah apa yang akan berlaku bilamana lebih banyak kEmahiran lain diperkenalkan. Sudah pasti lebih hari biru!

2. Soalan harian

Selitkanlah subjek Matematik ini dalam komunikasi harian.

1 minggu berapa hari?

Bola itu bentuk apa?

Semalam hari apa?

Orang tua-tua kata, alah bisa tegal biasa.

3. Refleksi

Selalu-selalukan bertanya kepada anak-anak apa yang mereka belajar ketika di sekolah.

Secara tak langsung, mereka akan membuat refleksi dan mengulang kembali apa yang telah mereka pelajari.

Di samping itu, kalian juga mungkin dapat belajar benda yang baru dari mereka. Kan?

Bagi aku senang sahaja. Kita dibenarkan untuk mengeluh, ianya tak salah. Salahnya bilamana kita mengeluh tanpa memikirkan cara untuk selesaikan isu ini.

Semoga, sedikit sebanyak perkongsian ini bermanfaat buat kalian dalam membantu anak-anak ketika di rumah.

#cikguHakim

#bantumula

Sumber: Facebook Mohamad Hakim

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi tentang Fizik dan Kimia..bekas pelajar SMK Sungai Tiram kongsi 18 nota penting

ARTIKEL BERKAITAN: Cukup hanya 3 atau 4 orang dalam satu kumpulan..ini pesan Cikgu Ajwad pada pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Guru ada di mana-mana..tetapi untuk menjadi pendidik, tidak semudah yang disangka

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok bertugas di pedalaman, cikgu comel ini tak kisah disengat kala jengking