Biologi adalah mata pelajaran yang sangat menarik dan diminati oleh pelajar ketika belajar dalam kelas. Mereka akan belajar tentang banyak perkara mengenai diri sendiri dan juga hidupan lain.

Tapi adakah benar biologi SPM merupakan ‘killer subject’? Betulkah Biologi sukar untuk dikuasai dalam SPM sehinggakan kini mata pelajaran Biologi tidak lagi menjadi subjek pilihan?

Bak kata pepatah...Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Walau kita telah terlambat, tapi kita masih belum terlewat. Dengan kaedah yang betul dan perancangan yang baik anda juga mampu berjaya. Pokok pangkalnya mesti ada kemahuan.

Di sini cikgu ingin berkongsi sedikit tip bagaimana untuk menguasai kertas Biologi SPM.

(1) Rajin membaca

Cikgu selalu menggalakkan pelajar Biologi agar rajin membaca.

Pelajar biologi adalah diminta untuk membaca:  

  • Bahan sumber pembelajaran (contohnya buku teks dan buku rujukan).
  • Bahan bacaan umum contohnya surat khabar (pengisian isi semasa berkaitan tajuk Biologi)

(2) Membaca dengan memaksimakan semua deria. Setiap kali anda membaca, pastikan anda menggunakan semua urutan di bawah:

  • Mata untuk melihat tulisan.
  • Jari telunjuk untuk menunjuk setiap patah perkataan yang dibaca.
  • Mulut untuk menyebut setiap patah perkataan yang dilihat.
  • Telinga untuk mendengar semula setiap patah perkataan disebut.

Kaedah ini akan membantu semaksima ilmu dapat diingat dan difahami terutama sewaktu kali pertama anda membacanya. Sangat dicadangkan anda mula membaca sebelum sesi bersama guru di dalam kelas.

(3) Fahamkan konsep

Memahami konsep adalah sangat penting berbanding mengingat. Dengan pemahaman konsep yang baik, anda boleh menyelesaikan apa jua masalah dalam pelbagai situasi diberi. Soalan SPM terkini adalah berkisar dengan soalan pemahaman konsep.

(4) Mengingati konten. Mata pelajaran Biologi tidak dapat dielakkan dari mengingat / menghafal isi kandungan penting.

Selain dari menggunakan kaedah menghafal yang biasa, anda juga boleh menggalakkan diri untuk mengingat dengan cara:

i) Gunakan nota grafik. Cikgu sangat mencadangkan anda dapat membina nota grafik anda sendiri. Caranya, baca dahulu buku teks/rujukan kemudian tulis semula atas kertas kosong dalam bentuk grafik. Walau bagaimanapun, anda juga boleh menggunakan nota grafik yang sedia ada dijual di pasaran.

ii) Membuat pengulangan bacaan. Semakin banyak ulangan dibuat semakin tinggi ingatan berkaitan tajuk tersebut.

Cara ulangan yang sistematik:

  1. Membaca tajuk sebelum sesi di kelas bersama guru.
  2. Membaca semula tajuk dan nota ringkas dalam masa 24 jam selepas sesi di kelas bersama guru.
  3. Baca semula tajuk tersebut selepas masa 2 minggu.

Anda juga boleh menampal rajah mana-mana tajuk yang sukar di pintu almari, tepi katil, bawah lapik meja agar selalu dilihat. Semakin kerap dilihat semakin mudah diingati dan difahami.

iii) Gunakan kaedah kreatif untuk mengingat. Anda boleh menggunakan:

  1. Kaedah akronim (contoh AL-FE-KE-OR-FA-GE-S untuk urutan Alam,Felum,Kelas,Order,Famili,Genus,Spesis)
  2. Kaedah nyanyian (contoh menggantikan lirik lagu diminati dengan proses biologi yang sukar diingat)
  3. Melukis. Lukisan yang anda buat tidak perlu cantik dan 3D tetapi mesti bermakna.Contoh sekiranya anda melukis salur, tidak boleh ada garisan yang menghalang salur tersebut. Jika ada membawa maksud ‘salur tersumbat’. Ia sudah tidak menggambarkan strutur yang betul. Gambar yang dilukis WAJIB dilabel dengan betul dan kemas.
  4. Kaedah cikgu-cikgu (contoh bercerita dengan ibu dengan menggunakan insang ikan sewaktu membantu ibu menyiang ikan untuk menerangkan struktur respirasi ikan dan mekanisma tukar ganti lawan arus)

(5) Menggunakan kaedah SALIN dan DAPAT untuk menguasai soalan esei.

Sebagai latihan menjawab soalan esei, anda juga boleh menggunakan cadangan jawapan di belakang setiap buku latihan sebagai panduan.

Caranya:

  • Fahami kehendak soalan. Kenal pasti peruntukan markah.
  • Lihat cadangan jawapan (biasanya bentuk point)
  • Salin cadangan jawapan tersebut dalam bentuk ayat lengkap dengan perenggan yang tersusun.
  • Buat semakan dengan guru anda.

(6) Kuasai teknik menjawab yang betul

Mata pelajaran Biologi mempunyai 3 kertas. (K1 50m + K2 100m + K3 50m = 200m)

(i)

- Kertas 1 adalah soalan objektif

- Soalan kertas 1 adalah meliputi semua bab tanpa pengecualian. Jadi anda perlu baca semua bab. Bukan ‘spot’.

- Sebelum anda menduduki SPM, patikan anda telah cuba membuat latihan Kertas 1 sekurang-kurangnya 1000 soalan. Konsisten!

Cara yang mudah ialah 1 hari 3 soalan objektif. - Anda disarankan untuk mendapat markah 45 dan ke atas bagi kertas ini.

 

(ii)

- Kertas 2 pula mempunyai 2 bahagian.

- Bahagian A terdiri dari 5 soalan subjektif (60 markah) manakala Bahagian B pula ada 4 soalan esei. Pilih mana-mana 2 sahaja soalan esei untuk dijawab yang membawa 40 markah. Jadi keseluruhan kertas 2 adalah 100 markah.

- Bagi soalan penerangan (explain), perlu beri Fakta soalan dahulu baru diikuti

dengan jawapan.

- Jawapan soalan esei perlu di hurai dengan baik. Tidak boleh hanya memberi isi. Perlu ditulis dengan ayat lengkap.

 

(iii)

- Kertas 3 pula mengandungi 2 soalan yang membawa 50 markah.

- Soalan 1 menguji kemahiran Proses Sains manakala untuk soalan 2 calon perlu boleh merancang eksperimen dalam makmal berdasarkan situasi yang diberi.

- Kuasai semua eksperimen. (boleh mengingat bahan radas digunakan dan prosedur eksperimen)

- Mahir menggunakan maklumat pembolehubah (MV/RV/CV) setiap eksperimen.

- Anda disarankan untuk mendapat markah 45 dan ke atas bagi kertas ini.

(7) Soalan KBAT. Kebiasaannya 25% dari soalan peperiksaan adalah soalan KBAT. Perlajar sangat risau dengan soalan bentuk ini.

Tidak perlu bimbang bila melihat gambar yang ’advance’ itu. Soalan KBAT juga adalah soalan pemahaman konsep. Soalannya adalah aplikasi tetapi bentuk jawapan yang perlu diberi adalah berkisar apa yang telah dipelajari.

Contoh soalan:

Sumber: Percubaan Kertas 2 (SBP 2017)

Kaedah angioplasti tiada dalam silibus Biologi KBSM. Anda akan ada maklumat kaedah ini sekiranya anda membuat bacaan tambahan.

Tetapi bagaimana untuk menjawab soalan ini?

Dengan melihat kepada rajah, memahami konsep pemendakan plug pada salur darah (arterosklerosis) dan menggunakan maklumat dalam rajah anda akan dapat menjawab soalan ini dengan baik.

Contoh jawapan:

  1. P1 - Kateter digunakan untuk memasukkan sten (belon) ke dalam arteri tersumbat
  2. P2 - Sten (belon) dikembangkan untuk menolak plak
  3. P3 - meregangkan arteri untuk membuka lebih luas / membesarkan lumen arteri
  4. P4 - Stent kekal di atery / menyokong dinding arteri

Cukuplah dahulu perkongsian cikgu untuk kali ini. Insya-Allah cikgu akan berkongsi lagi di lain masa.

Semoga anda semua MAMPU mendapat A+ dalam subjek Biologi.

Usaha, berdoa dan bertawakal. Setiap hari mesti study Biologi!

Selamat maju jaya.

*****Terima kasih Guru Biologi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA) Cikgu Nor Asila Ishak atas perkongsian ini.

Tip penting

Tip skor Biologi SPM 2020. Cikgu Izzat Anwari kongsi lima rahsia

Tip skor A+ Kimia SPM 2020. Cemerlang milik anda!!

10 tip cemerlang dalam peperiksaan. Calon SPM, STPM 2020 boleh amalkan ini