Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir, anda semua dah bersedia ke belum? Mesti berdebar-debarkan? Bagaimana dengan latihan dan ujian ramalan?

Untuk skor A Matematik SPM, anda perlu fahami beberapa panduan menjawab soalan seperti di bawah ini .

Kertas 1: Soalan Objektif (40 markah)

Pelajar perlu mendapatkan 35 markah dan ke atas. Pelajar perlu menjawab dengan betul semua soalan aras rendah dan soalan aras sederhana. Oleh itu, pelajar mesti tahu menentukan dan memilih soalan tersebut.

Tip:

1    Cekap dan mahir menggunakan kalkulator saintifik akan mempercepatkan pelajar  menjawab sesuatu soalan. Untuk mahir menggunakan kalkulator, pelajar perlu selalu membuat latihan agar jari jemari terbiasa dan pantas menekan nombor  pada kalkulator saintifik.

2    Jika pelajar tidak menguasai sifir, memang agak susah untuk skor subjek matematik. Penggunaan kalkulator akan membazirkan masa sedangkan masa itu boleh digunakan untuk menjawab soalan yang lebih rumit.

3    Tinggalkan soalan yang susah dahulu dan jawab kemudian untuk menjimatkan masa. Setelah semua soalan yang lain telah dijawab, tarik nafas dalam-dalam dan  cuba bertenang untuk membaca dan menjawab semula soalan yang susah tadi.

4    Gunakan masa berbaki sebaik mungkin untuk memeriksa semula ke semua jawapan. Kadang-kadang pelajar mungkin melakukan kesilapan ketika membuat pengiraan dan menulis langkah kerja. Hal ini dapat membantu pelajar membetulkan semula kesilapan tersebut.

Kertas 2: Soalan Subjektif Bahagian A dan Bahagian B (100 markah)

Pelajar perlu mendapatkan 75 markah dan keatas. Kaedah penting yang perlu pelajar lakukan adalah mendapat markah penuh bagi setiap soalan di Bahagian B.

Tip:

1    Baca arahan dan soalan dengan teliti sebelum menjawab. Pelajar harus pandai menganalisisa soalan supaya faham apa yang dikehendaki oleh soalan. Kumpulkan maklumat yang diberi dan kenal pasti teori matematik yang perlu digunakan dalam soalan tersebut. Hanya dengan memperbanyakkan latihan  sahaja mampu memahirkan pelajar untuk mengenal pasti kehendak soalan.

2    Gunakan kaedah yang sesuai dan mudah untuk mendapat markah. Pelajar perlu  tahu formula atau rumus yang digunakan. Pelajar perlu menunjukkan jalan kerja  yang teratur dan kemas agar pemeriksa faham apa yang ditulis.

3    Jangan cuai dalam menjawab soalan kerana dalam subjek matematik, satu angka yang tersilap mungkin akan menyebabkan pelajar kehilangan markah penuh untuk  satu soalan.

4    Pelajar perlu memastikan semua soalan dijawab, jangan biarkan soalan tanpa  jawapan. Gunakan masa semaksima yang mungkin untuk memeriksa semula  ke semua jawapan.

***Buat latih tubi yang efisyen dan berkesan menggunakan buku-buku terbitan Bestari Karangkraf dengan harga yang berpatutan. Klik pautan ini untuk nikmati penjimatan yang luar biasa: https://www.karangkrafmall.com/akademik