KATA orang, pelajar yang ingin cemerlang dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab hendaklah sentiasa ‘bersahabat’ dengan kamus.

Untuk mencari makna perkataan, kita hendaklah tahu kaedah yang betul supaya mendapat makna yang tepat dan cepat.

Dengan itu, Guru SK Batu Luking, Sarawak, Cikgu Asraf atau nama penuh beliau, Cikgu Asraf Selajudin ini ada kaedah mudah untuk memastikan kemahiran murid menggunakan kamus. Mari kita ikuti perkongsian beliau.

+++

Ya, ini inisiatif yang aku jalankan sendiri secara sukarela. Ini adalah salah satu inisiatif terbaru yang aku buat sebelum memulakan sesi pengajaran.

Sebelum memulakan pengajaran, aku akan memanggil nama murid secara rawak dan menyebut kepada mereka satu perkataan untuk dicari di dalam kamus. Aku akan memerhati dan menilai tahap perkembangan kemahiran mereka menggunakan kamus dalam proses pencarian perkataan itu.

Sebelum ini, aku sudah tunjuk terlebih dahulu kepada mereka teknik pencarian perkataan secara pantas menggunakan kamus. Kini, aku memerhati tahap perkembangan kemahiran mereka menggunakan kamus.

Ternyata, mereka semakin mula mahir menggunakan kamus. Kalau dulu, nak mencari maksud satu perkataan akan mengambil masa sekitar 3 minit. Kadang-kadang tak jumpa terus perkataan dicari.

Tetapi, kini masa pencarian perkataan semakin singkat. Inilah tanda-tanda mereka semakin mahir menggunakan kamus.

Apa pencetus untuk aku jalankan insiatif ini?

Aku jalankan inisiatif ini hasil daripada dapatan perbincangan bersama beberapa rakan guru sekolah menengah. Aku terkejut bila dimaklumkan masih ada murid sekolah menengah yang tidak tahu langsung cara menggunakan kamus.

Mereka masih terkial-kial mencari perkataan dalam kamus. Ini disebabkan mereka tidak tahu teknik yang betul dalam proses pencarian perkataan. Dapat bayangkan tak? Sedih sangat bila mendengar berita begini.

Oleh itu, aku mulakan inisiatif ini untuk membantu dan memperkenalkan kamus kepada murid yang aku ajar walaupun mereka masih di sekolah rendah.

Program ini telah pun aku jalankan kepada murid tahun dua dan tiga. Apa salahnya kan? Benda baik elok kita perkenalkan sejak awal. Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kalau anda tanya kenapa aku perlu buat benda ini sedangkan tiada dalam penilaian bagi kemahiran yang perlu dikuasai?

Jawabnya, inilah yang dikatakan kemahiran "nilai tambah" dalam diri anak anda. Ini umpama satu bonus dalam diri anak anda.

Belajar ilmu yang bermanfaat tidak semestinya apa yang terkandung di dalam silibus semata-mata. Malah lebih daripada itu sebenarnya.

Bayaran? Saya tidak mendapat apa-apa bayaran untuk program insiatif ini. Saya hanya ingin melihat kejayaan anak murid ini sama seperti ibu bapa mereka. Itu sahaja.

Aku berharap usaha kecil aku ini memberi manfaat yang besar dalam diri murid-murid ini. Doakan kejayaan kami di sini. :)

~ Cikgu Asraf ~

#gurudipedalamansarawak

Tip lain:

Ingat dan hafal sembilan haiwan pupus bagi subjek Sains - Penting untuk calon UPSR hadam

Teknik Plat Kenderaan Cikgu bantu murid kenal nombor dalam Bahasa Arab

'Hafal pecahan popular ini' - Pesanan penting cikgu Matematik untuk calon UPSR

Teknik Cabang bantu murid lemah, sederhana dan cemerlang bina karangan panjang, seragam