Apabila ditanyakan mengenai mata pelajaran Biologi, ramai yang mempunyai tanggapan bahawa subjek sukar dikuasai dan tidak kurang juga ada yang memandang enteng dan tidak mengulangkaji apa yang dipelajari.

Masa kian berlalu dan hanya sedar apabila guru anda memberitahu tarikh peperiksaan sudah semakin hampir.

Nescaya, pada waktu itu anda akan mula menggelabah dan memarahi diri kerana cuai serta leka.

Bagi  mengelakkan situasi sebegini terjadi berulangkali, Guru Cemerlang Biologi, Cikgu Munirah Binti Jaafar @ Mustapha dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan berkongsi tip yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar.

1) Anggaplah buku Biologi sebagai bahan bacaan yang menyenangkan, seperti anda selalu menyelak helaian novel. Bawalah selalu buku Biologi walau ke mana anda pergi. Sekiranya ada masa luang, dapatlah anda membacanya.

2) Mungkin anda boleh menghias atau membalut buku anda dengan pembalut yang anda gemari atau sukai. Kemudian, anda wajib menggunakan kaedah bio-diagram yang selalu cikgu uar-uarkan iaitu permudahkan nota anda dalam suatu gambar rajah yang lengkap dan berlabel.

Bayangkan, apabila anda mempraktikkan kaedah ini, anda sudahpun mendapat beberapa kebaikan iaitu, anda dapat mengingati dan melukis rajah, melabel struktur-struktur penting, membiasakan diri dengan ejaan dan istilah sains yang betul serta mengingati proses mengikut urutan.

Gunakan diagram untuk mengingati dan melukis rajah serta melabel struktur-struktur penting.

3) Anda harus melihat keseluruhan topik yang ada. Kemudian, buatlah satu senarai semak yang mengandungi topik dan subtopik. Dari sini, anda akan dapat mengesan tajuk – tajuk yang masih belum dapat dikuasai bermula dari Tingkatan Empat. Topik-topik yang sudah dibaca, harus ditanda sebagai selesai diulangkaji.

4) Kemudahan internet yang ada sekarang juga menyebabkan sebilangan anda mempunyai Facebook. Alangkah baik sekiranya anda gunakan kemudahan internet itu untuk melayari laman Youtube untuk melihat dengan jelas simulasi atau paparan sebenar proses-proses Biologi. Serta, jangan lupa juga untuk melayari blog-blog Guru Cemerlang Biologi yang lain kerana terdapat banyak informasi Biologi yang menyeronokkan.

Segera bertanya guru atau rakan sekiranya terdapat perkara yang tidak jelas atau kurang difahami.

5) Apabila anda sudah menyenangi Biologi, menyenangi guru yang mengajar Biologi, maka sudah tentu secara automatiknya anda akan terdorong untuk mendalami Biologi. Apabila anda menemukan sesuatu yang sukar dalam proses ulangkaji atau mendengar rakan-rakan menyebut sesuatu yang agak asing pada pendengaran anda, maka segeralah anda merujuk kepada rakan-rakan yang lebih arif atau bertemu sahaja dengan guru. Jangan biarkan perkara ini berlarutan kerana ditakuti motivasi anda untuk belajar Biologi akan menurun. Masalah dan kesusahan adalah untuk dihadapi bukan untuk ditangisi.

6) Setiap topik dalam Biologi adalah berkaitan antara satu sama lain. Adalah penting untuk anda memahami dan mendalaminya secara menghubungkaitkan topik-topik berkaitan. Sebagai contoh, untuk memahami topik pembiakan dan pertumbuhan, anda harus kukuh asas pembahagian sel terlebih dahulu. Apabila anda membaca, terutamanya yang melibatkan urutan proses atau istilah-istilah sains, anda harus melakukan hafalan berulangkali. Kemudian, berusaha untuk menulisnya secara berulangkali sehingga anda dapat mengingati secara keseluruhan dengan jayanya. Membina formula sendiri juga amatlah dialu-alukan seperti:

Contoh Monosakarida – Ma Suka Laksa iaitu Maltosa, Sukrosa dan Laktosa

Sentiasa mengulangkaji supaya ilmu bertahan lama.

7) Baca terlebih dahulu sebelum kelas bermula. Ini akan membantu pemahaman anda sewaktu guru menerangkannya. Fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru. Libatkan secara aktif dalam perbincangan di kelas. Guru hanyalah sebagai pemudahcara sahaja. Menjadi tugas anda sebagai pelajar untuk mengukuhkan pemahaman yang sedia ada.

8) Sebagai aktiviti pengukuhan untuk membantu supaya ilmu itu bertahan lama, selalulah melakukan aktiviti menjawab soalan berkaitan topik tersebut sebaik sahaja kelas berakhir. Praktiskan teknik-teknik menjawab yang diajarkan oleh guru. Lebih-lebih lagi, sekarang kita berdepan dengan transformasi bentuk soalan yang menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

9) Selain itu, perbincangan mengenai sesuatu topik dengan rakan-rakan adalah amat perlu untuk memantapkan ingatan dan memahirkan ilmu pengetahuan. Sama-samalah berganding bahu membantu rakan-rakan untuk mengembangkan ilmu yang anda ketahui.

Sentiasa tahu strategi belajar supaya mudah untuk menguasai subjek.

10) Untuk cemerlang Biologi, anda juga harus tahu strategi belajar. Biologi mempunyai tiga kertas iaitu Kertas 1 (soalan objektif), kertas 2 (soalan struktur dan esei) manakala Kertas 3 (soalan struktur dan penyediaan eksperimen).

Anda seharusnya meluangkan masa menjawab kertas 1 tiga kali dalam seminggu. Lakukannya berulangkali walaupun pada soalan yang sama. Mungkin kali pertama anda menjawab, anda akan mengambil masa yang agak lama kerana terpaksa merujuk kepada buku.

Catatkan segala maklumat yang anda perolehi pada soalan. Kali kedua, anda hanya rujuk buku pada bahagian soalan yang anda lupa atau keliru. Dan percayalah, kali ketiga, anda sudah boleh menamatkan aktiviti menjawab lebih pantas dari kebiasaannya.

Kertas 2 pula memerlukan pemahaman anda terhadap kehendak soalan.  Baca berulangkali soalan dan pecahkannya kepada empat komponen seperti berikut:

a. Ransangan: informasi atau pemberitahuan yang spesifik

- Rajah, graf, pernyataan dan sebagainya..

b. Arahan

- Lukiskan, terangkan, bandingkan, bezakan, nyatakan maksud, bincangkan dan sebagainya…..

c. Tugasan

- Fahamkan tugasan yang diberi

d. Markah

- Menunjukkan berapa point yang harus anda tulis

Gambar hiasan daripada Pexels

Contoh:

Seorang pelajar menjalankan satu eksperimen dengan menggunakan enzim X. Dia menggantikan lipid dengan maltosa sebagai substrat. Pada akhir eksperimen, dia mendapati tindak balas tidak berlaku.

Berdasarkan hipotesis mangga dan kunci, terangkan pernyataan di atas. (4Markah)Ransangan  : ialah pernyataan iaitu

Seorang pelajar menjalankan satu eksperimen dengan menggunakan enzim X. Dia menggantikan lipid dengan maltosa sebagai substrat. Pada akhir eksperimen, dia mendapati tindak balas tidak berlaku.

Arahan: Terangkan

Tugasan: berdasarkan hipotesis mangga dan kunci, terangkan pernyataan di atas

Markah: 4 markah

Begitu juga dengan kertas 3 yang berbentuk teknikal, jadikan latihan menjawab kertas 3 sebagai suatu disiplin. Penekanan yang lebih harus diberikan kepada teknik-teknik menjawab dan ini hanya boleh diperolehi apabila anda membiasakan diri menjawab soalan dan guru menyemak jawapan anda.

Kesimpulannya, tip belajar Biologi di atas akan bermanfaat sekiranya anda melaksanakannya dengan kesungguhan hati disertai niat dan motivasi tinggi, penuh konsentrasi, dilakukan secara teratur  dan harus sering diulang. Jika cara – cara di atas kita laksanakan sebaik – baiknya , maka kita akan tercengang melihat hasilnya. Selamat mencuba dan semoga berhasil.

Artikel menarik

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul

KPM cadang guna teknologi PPVC untuk projek pembinaan sekolah tambahan