Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan kekal dibuka pada 20 Januari ini berdasarkan kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Bagi kawasan PKP, pelajar perlu mengikuti PdPR manakala kawasan PKPB dan PKPP pula, pelajar akan ke sekolah dan belajar secara bersemuka.

Pensyarah Perubatan Kanan, Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Neurologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Hana Maizuliana Solehan berkongsi beberapa tip belajar secara atas talian di rumah.

Guru dan pelajar boleh jadikan contoh ini sebagai panduan kelak.

Selamat belajar semua

1) Sediakan tempat belajar yang ideal

 • Seboleh-bolehnya, sediakan ruang khas untuk anda belajar setiap hari serta kerusi dan meja yang sesuai untuk menulis dan meletakkan komputer (laptop atau desktop). Paling baik ialah kerusi ergonomik yang boleh dilarasi ketinggiannya, jika tiada, kerusi biasa yang mempunyai penyandar juga sudah bagus.

• Anda boleh duduk tegak dan bersandar di atas kerusi seperti ini. Postur badan yang betul akan mengurangkan beban otot leher dan belakang ketika duduk belajar untuk waktu yang lama. Sediakan pelapik kaki untuk merehatkan kaki anda jika kaki anda tergantung dan tidak selesa.

• Pencahayaan dan pengudaraan yang baik adalah antara kriteria tempat belajar yang ideal.

• Jika tidak mempunyai ruang belajar khas sendiri, boleh juga menggunakan ruang di meja makan.

• Duduk di atas bangku tanpa pengandar, bersila di atas lantai atau belajar sambil duduk di atas sofa sambil menatap komputer riba untuk waktu yang lama, boleh menyebabkan postur badan yang tidak betul dan mengakibatkan sakit otot leher dan otot belakang.

(Belajar di atas sofa ruang tamu sambil menghadap TV setiap hari, adalah resipi kemudaratan wawasan pembelajaran anda)

2) Rancang aktiviti pembelajaran di rumah

• Susun jadual harian menurut jadual pembelajaran atas talian yang telah disediakan. Sama ada pembelajaran segerak (synchronous learning), atau pembelajaran kendiri (asynchronous learning).

• Semak jadual yang disediakan oleh cikgu pada waktu malam sebelum tidur, dan rancang jadual/aktiviti untuk keesokan harinya.

• Senaraikan perkara yang perlu dilakukan, seperti: menyiapkan tugasan yang perlu dihantar, perbincangan dengan rakan sekelas, kuiz yang perlu diambil, membaca artikel dan lain-lain aktiviti pembelajaran

• Sekiranya mempunyai kelas secara langsung menggunakan Teams Meeting (Zoom, Google Meeting, Sykpe) bersama guru-guru, pastikan anda membuat persediaan awal paling kurang 1 jam sebelum, untuk membaca bahan yang berkaitan. Sepuluh minit sebelum kelas atas talian bermula, pastikan sistem aplikasi, alatan kamera web dan mikrofon berfungsi dengan baik (sekiranya diperlukan) atau slide PowerPoint untuk persembahan ketika kelas sudah tersedia rapi.

3) Fokus dan disiplin diri

Ini adalah perkara yang paling penting untuk memastikan kaedah dan wawasan pembelajaran atas talian anda di rumah menjadi lebih efektif.

• Memulakan jadual harian pada pagi hari sesudah bersiap mandi dan bersarapan, seperti hari-hari anda datang ke sekolah. Semak kembali senarai aktiviti pembelajaran, kemaskini jadual pada awal pagi sekiranya ada perubahan masa kelas atas talian.

• Tetapkan masa yang khusus untuk satu-satu aktiviti pembelajaran dan berhenti rehat sebentar pada waktu yang kerap dan tetap. Ini membantu kita menjadi lebih fokus. Contohnya: setkan penggera telefon selama 1 jam untuk menyediakan tugasan tertentu atau 1 jam untuk membaca artikel. Berhenti rehat selama 5 – 10 minit, dan selepas itu kembali setkan penggera untuk 1 jam bagi aktiviti seterusnya atau menyambung aktiviti sebelum tadi.

• Letakkan telefon pintar jauh daripada meja belajar untuk mengurangkan gangguan fokus (dan anda perlu bangun untuk mematikan penggera selepas 1 jam).

Aktiviti ketika rehat 5-10 minit tersebut, pelajar boleh melakukan pelbagai perkara seperti:

  • melihat dan menjawab mesej penting
  • melakukan regangan dan senaman (contoh: lari setempat, lunges, jumping jack, plank, sit-up atau ketuk-ketampi)
  • menunaikan solat sunat Dhuha (ketika belajar di waktu pagi)
  • menyudahkan kerja-kerja rumah (mengemas meja studi atau bilik tidur, menyidai kain, menyapu sampah dan lain-lain – perlu dilakukan dengan cekap dan pantas)

(Awasi masa rehat anda. Kembali ke meja studi selepas 10 minit masa rehat belajar)

• Waktu rehat yang lebih panjang boleh diperuntukkan (1-2 jam) ketika waktu tengah hari untuk makan tengah hari, solat Zuhur, tidur sebentar dan menyiapkan kerja-kerja rumah yang masih ada.

• Mematikan bunyi notifikasi aplikasi emel, mesej atau media sosial ketika memulakan aktiviti pembelajaran harian anda.

• Disiplinkan diri untuk tidak membuka media sosial di laman web di komputer,

• Anda boleh mendengar muzik instrumental (seperti Mozart atau Kitaro), bacaan al Quran dan qasidah dengan bunyi yang minima atau sederhana kuat untuk membantu murid fokus belajar dan mengurangkan gangguan luar.

• Sediakan minuman air kosong berhampiran untuk mengingatkan anda perlu minum dengan kerap bagi kekal terhidrasi (sekurang-kurangnya 2 liter sehari.)

• Berhenti rehat untuk solat fardu di awal waktu.

• Khaskan waktu tertentu sahaja untuk melayari media sosial (contoh: selepas 6 petang ) dan menerusi aplikasi di telefon sahaja, bukan di komputer (supaya dapat mendisiplinkan diri tidak melayari media sosial ketika aktiviti pembelajaran dengan komputer) Kredit: Dr Hilmi Lockman

• Peruntukan masa untuk bersenam setiap hari, pada awal pagi atau petang. Senaman yang tetap dan kerap, sekurang-kurangnya 20-30 minit setiap hari dapat membantu murid fokus, memperbaiki memori dan meningkatkan daya kreativiti untuk jangka panjang.

• Melihat kembali aktiviti pembelajaran yang anda sudah lalui hari itu pada waktu lewat petang atau malam. Ucap tahniah pada diri sendiri atas tugasan yang berjaya disiapkan dengan baik, ilmu baru yang sudah dipelajari dan masa yang dimanfaatkan dengan efektif. Kemudian pelajar boleh menyemak jadual esok hari pula. Dan begitulah seterusnya.

Rehat, senaman dan regangan itu penting kerana masalah kesihatan boleh berlaku:

1) Aktiviti menaip, menggunakan tetikus dengan kadar yang lama dan kerap, boleh mendatangkan masalah Carpal tunnel syndrome iaitu saraf median (median nerve) yang terhimpit di sendi pergelangan tangan yang mengakibatkan kebas, lenguh dan sakit pada tangan.

2) Mata yang keletihan kerana mata menumpu kepada skrin komputer pada waktu yang lama.

3) Kerosakan saraf pendengaran pada jangka panjang kerana penggunaan earphone yang terlalu kuat pada waktu yang lama.

4) Sakit kepala (tension-type headache atau serangan migrain) kerana mata terlalu tertumpu kepada skrin, tidak cukup tidur atau stress.

5) Sakit otot belakang atau leher kerana duduk dengan postur yang tidak betul untuk waktu yang lama.

Jika berlaku masalah sedemikian, dapatkan nasihat doktor dan lihat kembali habit dan cara kerja anda. Kata kuncinya adalah: KESEIMBANGAN.

Sumber: Konfiden.com

Artikel menarik

Rahsia skor A subjek Prinsip Akaun cara Cikgu Wawa, konsep faham bukan hafal

Risau anak jadi 'introvert' kerana belajar secara online, ibu bapa kena peka isu ini