Kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM pada tahun ini, saya ingin berkongsikan beberapa tip bagi menghadapi peperiksaan yang sangat penting ini.

Harap ia dapat memberi manfaat kepada yang berkaitan, Insya-Allah.

1) Pastikan untuk mengulang kaji semenjak awal.

Jangan amalkan budaya ‘last minute study’, kerana kemampuan otak kita ada batasannya.

Memang kita boleh untuk tidak tidur selama beberapa hari untuk menghabiskan semua mata pelajaran yang akan kita duduki, tetapi ini akan menjejaskan keupayaan sebenar otak kita. Lebih elok untuk hanya mengulang kaji sejam atau dua jam sehari bagi beberapa bulan secara berterusan daripada mengulang kaji bersungguh-sungguh selama seminggu dengan kurangnya masa untuk berehat (tidur).

Hindarkanlah diri dari sifat malas.

Bayangkanlah dengan mengulang kaji secara serius selama setahun atau dua tahun untuk SPM, ianya dapat membuat hidup kita menjadi lebih selesa di masa yang akan datang selama bertahun-tahun. Janganlah kita menjadi orang yang sesal dan rugi di kemudian hari.

 

2) Elok untuk mengulang kaji secara berkumpulan, kerana dengannya dapat kita bertukar-tukat maklumat, membuat latihan bersama-sama dan bertanya apa sahaja yang kita tidak tahu dengan rakan-rakan yang lain.

Pastikan juga, sebagai salah seorang ahli kumpulan, kita menjadi seorang yang aktif dan tidak lokek dengan segala ilmu yang kita ada, jangan hanya ‘makan seorang’ sedangkan kita juga mengambil beberapa ilmu dari rakan-rakan yang lain.

Tidak salah untuk menyelitkan beberapa slot masa untuk berjenaka ataupun bergosip bersama. Tetapi, kalau waktu ‘study group’ dihabiskan dengan 90% dari masanya hanya untuk bergosip pasal artis, yang tu memang salah.

Kalau kita rasa begitu terdesak, boleh juga untuk mengambil beberapa subjek di kelas tambahan (tuition).

 

3) Cuba amalkan ‘study smart’ rather than ‘study hard’.

Kadangkala kita mesti berasa pelik bila tengok kawan-kawan yang study cuma beberapa jam berbanding kita yang hampir sehari suntuk study, tapi last-last, result yang dia dapat lagi hebat dari kita.

Biasanya orang sebegini mempunyai kaedah berkesan untuk mengulang kaji, seperti membuat nota ringkas (mengambil perkataan-perkataan/bahagian-bahagian yang penting sahaja), membuat peta minda (mind mapping) dan sering bertanya kepada guru untuk kepastian.

Cuba juga untuk mencari buku/bahan yang menerangkan dengan panjang lebar mengenai kaedah ‘study smart’. Elok juga untuk mengikuti kursus motivasi jika dianjurkan oleh sekolah masing-masing.

Ulang kaji kertas-kertas soalan bagi beberapa tahun yang lepas bagi semua subjek yang diambil, pasti kita akan nampak trend soalan yang akan keluar, dan jangan bergantung hanya pada ‘spot questions’!

 

4) Apabila hampir dengan tempoh peperiksaan, cuba hindarkan diri dari timbul perasaan panik.

Walaupun kita sudah mengulang kaji dengan sebaik mungkin, tetapi jika perasaan panik ini menyerang, ini akan menyebabkan keadaan darah gemuruh (nervous) di dalam hati dan mungkin akan menjejaskan prestasi semasa sesi menjawab soalan nanti.

Pastikan kita mendapat tidur yang cukup (tidur yang cukup penting untuk kecergasan otak, kerana otak dapat berehat dan mendapat lebih bekalan oksigen), mengambil makanan yang seimbang (makan buah gajus baik untuk kecerdasan minda) dan menjaga kesihatan secara menyeluruh (ambil vitamin, suplemen tambahan dsb.) menjelang peperiksaan nanti.

 

5) Yang paling penting, pastikan memohon restu dari ayah serta bonda.

Mohonlah agar mereka berdoa untuk kejayaan anda. Pastikan diri kita juga tidak melupakanNya.

Banyakkanlah beribadat dan berdoa agar kita dipermudahkan segala urusan ketika menghadapi detik-detik peperiksaan nanti. Jiwa yang bersih, pasti mindanya begitu juga.

Kepada yang mengambil peperiksaan UPSR/PT3/SPM/STPM atau apa-apa jenis peperiksaan jua, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya.

Buatlah yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga dan agama. Insya-Allah semua akan beroleh kejayaan yang amat cemerlang.

Ingat, apa jua kejayaan yang kita kecapi, ianya bukan milik mutlak kita, tetapi milik Allah SWT jua..

 

Sumber: Facebook Midhat Nabil

- Dr Midhat Nabil merupakan Pensyarah UniMAP

Makluman: Artikel ini diterbitkan atas keizinan daripada penulis asal

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok bertugas di pedalaman, cikgu comel ini tak kisah disengat kala jengking

ARTIKEL BERKAITAN: Tip skor Fizik SPM..ini yang dikongsi Cikgu Ajwad untuk calon SPM 2019

ARTIKEL BERKAITAN: Ini sebab Cikgu Hailmi boleh terpilih jalani program angkasawan di Akademi Angkasa Lepas