MEMANDANGKAN tarikh UPSR yang sebenar sudah semakin hampir, cikgu nak kongsikan beberapa sebab yang kalian sebagai ibu bapa perlu risaukan.

Jika anak kalian tergolong dalam lima sebab ini, silalah bertindak dengan kadar yang segera!

Perkongsian ini adalah khas bagi subjek Matematik.

1. Operasi asas masih belum kuasai

Operasi asas ini merujuk kepada operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Operasi asas ini telah dipelajari sejak dari Tahun Satu lagi. Sepatutnya tidak ada lagi masalah dalam hal ini.

Jika di Tahun Enam anak kalian masih belum kuasai operasi asas ini, ia merupakan satu masalah yang sangat besar.

Anda wajib untuk risau.

Bagi masalah ini, perbanyakan latih tubi soalan yang melibatkan operasi asas.

2. Belum hafal sifir

Sifir adalah nadi dalam Matematik.

Seawal Tahun Dua lagi sifir ini telah diperkenalkan. Namun, masih ada murid Tahun Enam yang tidak kuasai sifir ini dengan baik.

Jika masalah ini berlaku, kalian boleh usahakan cara lain dengan menggunakan kaedah kotak magik ataupun kotak sifir.

Boleh sahaja untuk menggunakan kaedah lain. Cumanya, ia akan mengganggu fokus dan konsentrasi anak kalian ketika menjawab ujian.

3. Belum kuasai tajuk mudah

Bagi subjek Matematik Tahun Enam, ada beberapa tajuk mudah yang wajib untuk anak kalian kuasai. Ia boleh diumpamakan seperti markah percuma buat para calon.

Antara tajuk mudah ini adalah tajuk koordinat, nisbah dan kebolehjadian.

Pastikan anak kalian sudah kuasai kesemua tajuk ini. Wajib untuk dapat markah penuh bagi soalan-soalan yang melibatkan tajuk-tajuk ini.

4. Belum kuasai 4P

Kemahiran 4P adalah kemahiran wajib dalam UPSR.

4P ini merujuk kepada, pecahan, peratus, perpuluhan dan penukaran unit.

Jika anak kalian masih belum kuasai kemahiran ini dengan baik, memang kalian patut risau. Hal ini kerana, ia pasti akan diuji ketika UPSR nanti.

Pasti!

5. Masih belum mahir dengan format UPSR

Format UPSR baru ini mula diguna pakai bermula Tahun 2016 lagi.

Bagi Kertas 1, calon dikehendaki untuk menyelesaikan 40 soalan objektif dalam masa 1 jam.

Bagi Kertas 2 pula, calon wajib untuk menyelesaikan 15 soalan dalam masa 1 jam. Pada setiap soalan ini akan ada sub-sub soalan yang tersendiri.

Jika anak kalian belum mahir dengan format yang terkini, perbanyakan lagi latih tubi mengikut format UPSR yang sebenar. Boleh gunakan soalan-soalan UPSR bagi tahun-tahun lalu sebagai latih tubi. Pasti membantu.

Nasihat saya, selalu ingatkan anak-anak kalian untuk lebih fokus ketika di dalam kelas. Galakanlah anak-anak kalian untuk bertanya kepada guru jika tidak faham akan satu-satu soalan itu.

Yang terakhir, jangan putus doa dan sentiasa berikan kata-kata semangat buat anak kalian. Doa dan kata-kata semangat ini sangatlah anak kalian perlukan.

Perjuangan ini bukan perjuangan anak kalian seorang, tetapi ia adalah perjuangan buat ibu bapa dan juga guru-guru.

Saya doakan semoga usaha kalian akan dibalas dengan kejayaan.

Amin!

Mohamad Hakim

Cikgu Matematik

Sumber: Facebook Mohamad Hakim

ARTIKEL MENARIK:

UPSR dah dekat...Ini kami kongsi 10 tip Skor A Sains UPSR

Empat elemen imej yang perlu ada pada seorang guru, nombor 1 paling ramai pelajar nantikan

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu di Malaysia

Cara bantu anak yang lemah dalam pelajaran - Guru Matematik ini kongsi tip berkesan

'Saya belajar mekap daripada YouTube' - murid tahun 5 kini tular kerana bakat mekap umpama MUA