Peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah pun bermula.

Pastinya semua calon SPM 2020 telah membuat persediaan rapi untuk menghadapi peperiksaan percubaan ini dengan sepenuh hati.

Apa sahaja keputusan peperiksaan percubaan SPM ini, sudah tentu ianya memberi gambaran awal kepada keputusan SPM sebenar nanti. Oleh itu, berjuanglah dengan serius.

Di sini, saya ingin berkongsi tip berguna buat calon SPM 2020 terutama dalam menjawab soalan kertas Biologi.

1) Pastikan calon menulis jawapan dengan tulisan yang mudah dibaca. Tulis setiap ayat dengan menggunakan perkataan yang formal dan jangan sesekali menggunakan singkatan seperti yang digunakan di status media sosial atau aplikasi mesej seharian yang biasa kita lakukan.

Bina struktur ayat yang betul, jangan guna kata ganti diri ketiga seperti “ia.” Tulis terus nama objek yang ingin dimaksudkan di dalam ayat tersebut.

Hampir 90% masalah utama dalam menjawab soalan Biologi datangnya dari masalah komunikasi; jawapan calon tidak dapat difahami maksudnya oleh guru kerana tulisan yang sukar dibaca dan struktur ayat yang salah.

Sayang seribu kali sayang, calon tersebut sebenarnya pintar tetapi tidak dapat menzahirkan konsep Biologi yang dipelajari dalam bentuk ayat yang mudah difahami.

2) Perlu diingatkan bahawa kertas soalan Biologi pastinya ingin menguji pengetahuan Biologi calon.

Dalam soalan esei bahagian B, calon cenderung untuk menjawab soalan tersebut dalam bentuk karangan menggunakan ayat-ayat yang indah sehingga terlupa bahawa kehendak soalan adalah berkaitan konsep-konsep dalam ilmu Biologi.

Calon terlalu asyik menulis jawapan sehingga terbawa-bawa cara menjawab soalan karangan Bahasa Melayu. Ini menyebabkan ayat-ayat calon akan sentiasa berulang dan langsung tiada markah kerana tiada istilah Biologi dan konsep Biologi yang diketengahkan. Ayat-ayatnya sedap, tetapi tidak “berkhasiat”!

3) Tulis jawapan straight to the point. Jangan tulis ayat yang terlalu umum, ayat boleh ditafsir dengan tafsiran yang pelbagai dan terlalu terawang-awangan.

Contoh, jawapan seperti “pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mengganggu hidupan akuatik.” Perkataan “mengganggu” di sini sebolehnya dielakkan.Tulis situasi yang dapat diperhatikan dan diukur dengan panca indera secara terus. “Pembuangan sisa toksik ke dalam sungai menyebabkan spesies hidupan akuatik mati dan berkurangan” adalah ayat yang lebih baik.

Bahkan guru yang membaca jawapan sebegini pastinya yakin sewaktu memberikan markah kepada jawapan calon tanpa was-was, tidak perlu membaca jawapan calon berulang kali semata-mata untuk memahami apa maksud sebenar calon. Jawapan yang straight to the point semestinya mengundang markah dengan cepat.

4) Baca soalan berulang kali sebelum menjawab. Kenal pasti kehendak soalan melalui struktur ayat soalan. Jika soalan “namakan”, “berikan”, “nyatakan”, soalan-soalan ini adalah soalan aras mengingat iaitu aras paling rendah dalam Taksonomi Bloom semakan Anderson. Hanya jawapan yang pendek diperlukan untuk menjawab soalan sebegini.

Tetapi jika soalan “terangkan”, “jelaskan”, “huraikan”, soalan-soalan ini kebiasaannya soalan aras tinggi. Calon perlu menulis jawapan yang sedikit panjang. Calon perlu menghubungkan setiap istilah dan konsep dalam ilmu biologi sehingga mewujudkan satu struktur ayat yang menerangkan tentang situasi yang dikehendaki oleh soalan.

Contohnya, “pigmen klorofil di dalam organel kloroplas memerangkap cahaya matahari untuk menjalankan proses fotosintesis dan menghasilkan glukosa.”

Dalam struktur ayat sebegini, 3 komponen utama dihubungkan iaitu objek, proses dan produk yang dihasilkan. Ringkas, padat dan straight to the point.

5) Dapatkan tidur yang mencukupi. Pengalaman saya, ramai anak-anak murid yang suka mengulangkaji malam sebelum peperiksaan sehingga lewat malam sedangkan tidur yang cukup sangat penting untuk otak yang cerdas pada keesokan harinya.

Peperiksaan akan menguji output; bagaimana calon memahami apa yang dipelajari dan bagaimana calon menterjemahkan pemahaman tersebut dalam bentuk ayat yang bertulis.

Buka semula kertas jawapan peperiksaan calon yang lepas sama ada ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun. Kaji semula apa kesalahan yang calon biasa lakukan dalam peperiksaan.

Perbaiki kelemahan calon dalam topik tertentu, tak perlu baca semua topik sehingga stres. Jalan yang berlubang perlu diturap semula lubang-lubang tersebut, menjimatkan masa dan tenaga, bukan diturap keseluruhan jalan sehingga membuang masa dan tenaga.

Mengulangkaji sehingga lewat malam hanya mementingkan input, calon akan stres sehingga menyebabkan hormon kortisol tinggi dalam badan.

Tidur yang tidak mencukupi menyebabkan tubuh badan kita tidak dapat memberi kerjasama yang baik semasa menjawab soalan keesokan harinya. Takkanlah tidur awal malam sebelum peperiksaan, calon terus lupa apa yang dipelajari selama hampir dua tahun di sekolah?

Semoga dengan panduan yang ringkas dan padat ini dapat sedikit sebanyak membantu calon SPM 2020 menjawab kertas soalan Biologi dengan baik.

Saya juga sering berkongsi tip biologi SPM di saluran Telegram Tips Biologi SPM (http://t.me/TipsBiologiSPM) dan menyediakan rakaman video penuh lapan jam teknik menjawab kertas 2 Biologi SPM di Biologi SPM MasterClass (http://bit.ly/DaftarBSM2020).

Semoga maju jaya!

- Terima kasih Guru Biologi, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sejahtera, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Cikgu Izzat Anwari Hasni atas perkongsian ini.

Tip menarik

Tip skor A+ Kimia SPM 2020. Cemerlang milik anda!!

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1, 2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Minat Kimia tapi susah skor A. Apa kata ikuti 12 tip belajar ini