"GENERASI baru mungkin tak tahu apa itu kati dalam timbangan berat.

"Alhamdulillah ilmu baharu akan anak-anak kita dapat sebab akan diperkenalkan pada murid-murid Tahun Empat pada tahun depan," kata cikgu Matematik SK Beruas, Perak, Shahril Othman.

Menurutnya, kati adalah kiraan yang digunakan bagi timbangan sebelum 1 Januari 1982. Selepas itu sistem metrik mula digunakan bagi menggantikan sistem imperial.

"Pengenalan kepada kati bukan bermaksud untuk mengembalikan sistem pendidikan ke zaman dahulu tetapi lebih kepada menambah pengetahuan anak-anak kita.

"Umum tahu, sistem metrik (g, kg dan tan) lebih mudah digunakan berbanding sistem imperial (auns, paun dll ) tetapi tidak salah untuk kita tahu apakah istilah ukuran yang digunakan pada zaman sebelum metrik diperkenalkan," katanya yang juga seorang guru besar di sekolah tersebut.

Cikgu Shahril berkata, info yang dikongsi itu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum & Pentaksiran (DSKP) yang dikeluarkan oleh BPK (Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM).

"Semua guru-guru di Malaysia tahun ini telah diberikan kursus untuk penggunaan tahun depan.

"Walaupun nampak banyak info baharu, namun semua itu tiada dalam peperiksaan sekolah rendah. Ia sekadar diperkenalkan untuk tambahan ilmu sahaja," katanya.

Tip Menarik:

'Sistem Ukuran Metrik baharu akan diperkenalkan kepada murid Tahun Empat 2020' - Cikgu Shahril

'Hanya dekameter (dam) dan desimeter (dm) sahaja. Yang lain adalah sama’ - Cikgu Shahril