TIADA ayah atau ibu yang ingin anaknya memiliki kebiasaan berbohong. Tetapi tahukah anda, seorang anak sudah pandai berbohong  sejak berusia empat tahun?

Persoalannya,  mengapa anak berbohong?

Adakah kerana mereka tidak mempunyai moral yang baik atau kerana berbohong adalah satu-satunya pilihan untuk memperoleh apa yang mereka inginkan?

Ketika anak memasuki usia sekolah, biasanya berbohong dilakukan untuk mendapat apa yang diinginkan, mendapat penghargaan atau pujian.

Berbohong juga dilakukan oleh anak untuk menghindari sesuatu yang tidak menyenangkan seperti menutup rasa takut atau hukuman. Dan pembohongan seperti ini selalunya lolos dari perhatian ayah dan ibu.

Satu daripada kebiasaan berbohong paling sering dilakukan anak-anak adalah berpura-pura sakit. Biasanya pembohongan seperti ini dijadikan jalan keluar oleh anak untuk mengelak daripada dihukum atau situasi yang tidak menyenangkan di sekolah.

Ia selalunya berlaku adalah akibat daripada ketidakfahaman anak tentang  erti berbohong.

Ada 9 sebab mengapa anak suka berbohong dan ia wajib untuk difahami oleh setiap ayah dan ibu.

1.  Takut dihukum

Satu kajian menunjukkan hukuman mengakibatkan anak tidak mahu mengatakan kebenaran. Ini berlaku kerana anak bimbang jika dia mengatakan perkara yang sebenar, mereka akan dihukum. Ada pula anak yang memang jujur tetapi berlatih berbohong kerana tindakan ayah dan ibu yang menghukumnya ketika dia berkata benar.  Dia berbohong kerana takut jika berkata benar dia akan dimarah atau mendapat hukuman.

 

2.  Inginkan perhatian dan pujian

Inginkan perhatian dan pujian menjadikan anak mengarang cerita tentang dirinya, padahal perkara tersebut tidak pernah berlaku. Misalnya, anak mengatakan keapda kawan-kawannya dia menjuarai satu pertandingan, baru dibelikan mainan yang mahal atau diajak bercuti ke luar negara.

3.  Mahu masuk ‘geng’

Jika anak bergaul dengan kawan-kawan yang suka berbohong, dia pun akan bertingkah laku sama dengan kawan-kawannya itu. Ini hanya kerana dengan melakukan perkara sama, dia merasa akan diterima oleh kawan-kawan tersebut.

 

4.  Kehendak ayah dan ibu yang terlalu tinggi

Ayah dan ibu selalu menuntut yang terlalu tinggi pada anak-anak, sedangkan mereka tidak mampu untuk memenuhi kehendak tersebut. Akibatnya,  anak berbohong untuk mengembirakan dan mendapat perhatian daripada ayah dan ibu.

 

5.  Tiru perbuatan ayah ibu atau tayangan TV

Anak akan meniru perilaku orang dewasa di sekelilingnya. Jika ayah dan ibu memberikan alasan dan mengatakan sesuatu yang bersifat bohong untuk menghindari sesuatu perbuatan di depan anaknya, bermakna secara tidak langsung  sudah memberi contoh buruk kepada anak. Ketika anak melihat ibu bapanya berbohong atau mengetahu orang yang berbohong di televisyen, anak akan menganggap berbohong itu boleh dilakukan.

 

6.  Menutup kekurangan diri

Anak yang merasa memiliki kekurangan tertentu biasanya akan berusaha menutup kekurangan tersebut dengan berbagai cara. Salah satunya adalah dengan berbohong  yang melebih-lebihkan dirinya berbanding kekurangan dimiliki.

 

7.  Daya imejinasi sangat tinggi

Ada kalanya daya imejinasi yang sangat tinggi menjadikan anak tidak mampu membezakan antara khayalan dan kenyataan. Dia kemudian mengatakan perkara-perkara yang sebenarnya hanya khayalan belaka. Misalnya, anak mengatakan dia melihat hantu atau boleh melakukan berbagai-bagai pekerjaan.

 

8.  Untuk mendapatkan apa yang dihajat

Anak mengetahui bahawa dia tidak akan memperoleh apa yang diinginkannya jika bersikap jujur. Oleh itu dia berbohong demi memiliki apa yang dihajat.

 

9.  Melindungi kawan

Kawan begitu penting bagi anak.  Selalunya anak-anak akan berusaha untuk mengembirakan, membantu atau melindungi kawannya. Salah satu cara yang dilakukan adalah dengan berbohong.

 

Setelah mengetahu perkara-perkara tersebut, maka sebaiknya kita sebagai ibu bapa dapat mewujudkan komunikasi lebih kondusif, agar mendorong anak untuk belajar jujur. Ini kerana, bila anak ebrkata jujur maka masalah dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan tepat pada sasaran.  Dengan demikian, kita dapat membentuk konsep moral anak menjadi lebih baik dan berkembang menjadi peribadi positif di kemudian hari.