Apabila berada di dalam kelas, kerapkali murid akan memuji kehebatan guru dalam melukis sesuatu objek.

Sebagai seorang guru Pendidikan Seni Visual, saya juga tidak terkecuali, kita perlu menunjukkan kepada murid bahawa kita boleh melukis dengan baik.

“Apabila mereka bertanya cara untuk melukis dengan baik, saya pasti akan berkata ‘melukis…melukis  dan teruskan melukis’.

“Melukis sesuatu objek membuatkan kita belajar untuk menghayati sesuatu dengan tekun, menganalisa sesuatu secara teliti dan menghasilkan sesuatu sebaiknya,” kata Cikgu Nor Azura Mohtar.

Ketua Panitia Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelana Jaya, Selangor itu berkata, murid bukan sahaja melihat objek dan terus melukis tetapi perlu menganalisa rupa, bentuk, warna serta ruang objek tersebut.

Menurutnya, selepas itu barulah murid akan faham bagaimana cahaya dan bayang menjadi sebuah bentuk yang sempurna.

“Semua ini merupakan elemen dan prinsip yang perlu anda tahu untuk menghasilkan sebuah lukisan yang baik,” ujarnya.

 

Bagi mereka yang berminat untuk melukis dengan baik, anda boleh ikut 9 kaedah untuk meningkatkan kemahiran melukis perkongsian Cikgu Nor Azura.

 

1) Sentiasa melukis

Menerusi cara ini anda akan dapat meningkatkan kemahiran asas anda. Makin banyak anda melukis semakin yakin anda untuk menghasilkan sesuatu lukisan.

 

2) Sentiasa merujuk lukisan orang lain

Anda boleh belajar daripada karya lukisan pelukis lain walaupun sekadar garisan. Dengan melihat lukisan pelukis lain anda boleh menganalisa garisan, rupa atau bentuk sesuatu objek yang dilukis. Bagaimana mereka menghasilkan ton dan bayang atau bagaimana mereka menimbulkan bentuk?

 

3) Belajar untuk ‘meniru’ lukisan lain

Untuk menjadi pelukis yang baik tiada salah untuk anda meniru atau melukis semula lukisan orang lain. Dari situ, anda dapat belajar bagaimana sesuatu lukisan itu dihasilkan dan anda akan menggunakan teknik yang sama untuk menghasilkan lukisan anda sendiri. Mudah bukan!

 

4) Melukis daripada bahan fotografi

Anda juga boleh belajar dengan melukis semula gambar daripada foto sedia ada atau gambar daripada majalah, internet dan sebagainya. Mungkin lebih mudah untuk anda rujuk gambar yang berbentuk dua dimensi. Tapi ingat! Jangan menekap gambar tersebut. Lihat gambar dan lukis sendiri. Dari situ, anda dapat belajar tentang komposisi, bentuk dan ruang objek.

 

5) Melukis objek nyata

Jika anda sudah ada kemahiran asas melukis dan ingin mencabar diri, cuba lukis objek yang ada di sekeliling. Mungkin agak susah, tetapi anda boleh mulakan dengan objek alam benda yang mudah seperti melukis sebiji buah epal.

Letakkan buah tersebut di atas meja dan anda dapat menganalisis sendiri jalinan atau warna yang terdapat pada buah tersebut. Selain itu, cuba melukis salah satu anggota pada tubuh kamu seperti bentuk jari. Jika anda boleh melukis ini, saya pasti anda boleh melukis apa sahaja selepas ini.

 

6) Sertai Kelas Seni

Jika anda menyertai mana-mana kelas seni, guru boleh menunjukkan cara dan membetulkan kelemahan kamu. Dengan menyertai kelas seni, kamu dapat memberikan komitmen dan perhatian yang lebih serius untuk menjadi pelukis yang baik. Pada masa kini, pelbagai kaedah pembelajaran boleh didapati termasuk pembelajaran seni secara atas talian. Cubalah!

 

7) Buku lakaran atau Sketchbook

Beli buku ‘sketch’ dan sentiasa bawa ia ke mana-mana anda pergi. Apabila anda melihat sesuatu yang menarik, anda boleh keluarkan dan terus melukis. Jangan malu! Anda hanya melukis dan pasti ada orang yang akan tertarik dengan aktiviti spontan anda. Percayalah!

 

8) Media Lukisan

Lukisan akan menggunakan media kering seperti pensel, arang, pen dan lain-lain. Cuba teroka kesan setiap jenis media ini. Anda akan lihat perbezaannya dan saya pasti ia akan membuatkan anda lebih seronok untuk melukis.

 

9) Komited dan konsisten

Jika kita mahu yang terbaik, kita perlu letakkan komitmen yang tinggi. Saya tahu ia sangat susah, jadi anda jadikan ia sebagai salah satu aktiviti wajib anda. Anda juga perlu konsisten. Melukis walaupun sedikit tetapi jangan terus tinggalkannya.

Semoga tip perkongsian Cik Nor Azura dapat membantu anda memahami teknik melukis dengan baik. Semoga bermanfaat!