Ini huruf apa ibu?

Aliff...

Ni apa ibu?

Ni huruf ba

Yang lain saya tak tahu bu. Saya tak ingat...

Anak-anak sukar menulis dan kenal huruf jawi? Jangan cepat marahkan anak-anak jika mereka sukar untuk mengingat. Setiap anak-anak itu tidak sama, ada yang mudah menghafal, ada juga yang lemah dan sukar untuk kuasai.

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah mencari kaedah mudah

untuk membantu anak-anak menguasai sesuatu kemahiran.

Antaranya, tip mudah hafal huruf tunggal jawi bersama Ustazah Supiyaton Mokti dari Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Gemencheh, Negeri Sembilan ini.

Bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan untuk mengajar murid yang lemah tidak perlu sarat dengan gambar, corak dan hiasan. Sebaliknya, biarlah hitam putih, ia sedikit sebanyak memudahkan murid untuk lebih fokus dengan huruf jawi yang perlu diingat.  

Ikuti perkongsian Ustazah Supiyaton ini.

Saya kongsikan kembali pengalaman mengajar asas jawi dari tahun 1989 hinggalah sekarang.

Tip ini merupakan kajian saya yang diberi nama ‘kaedah yang mudah’ untuk menarik minat murid lemah kuasai jawi.

Kajian tersebut telahpun saya dokumentasikan. Mohon maaf ‘font’ jawi saya ini tidak keluar pula dalam FB.

Jadi tulisan jawi tu saya taip rumi sahaja. Sebagai rujukan saya kongsikan gambar huruf tersebut. Ini sekadar daripada pengalaman saya sahaja.

Ikuti kaedah tersebut:

1. Ajar anak menghafal dan latih tubi menulis 19 huruf sahaja, terutama bagi yang lemah. Huruf-hurufnya ialah: Alif, Ba, Ta, Jim, Ca, Dal, Ro, Sin, Nga, Pa, Kaf, Ga, Lam, Mim, Nun, Nya, Wow, Ha, Ya.

2. Mulakan menghafal dan latih tubi menyebut huruf. Pastikan huruf tidak terlalu banyak, sehari dua huruf sahaja sudah memadai.

3. Latih tubi menghafal sambil menulis huruf. Anak-anak boleh gunakan papan putih kecil dan pen marker untuk menulis.

4. Bila sudah mengenal dan boleh menulis huruf, tambah lagi huruf yang baru.

## Ingat sambil tulis huruf yang baru, perlu dilatih tubi bersama huruf yang telah mereka kenal supaya ingatan tekal.

5. Pastikan mengenal, menghafal dan menulis huruf ikutan urutan huruf 19 ini. ( Mudah untuk belajar asas suku kata terbuka nanti )

6. Pada peringkat awal jangan terlalu ditekankan supaya tulisan cantik, anak akan rasa ‘terbeban’ jika diberikan penekanan ‘tulisan cantik,’ maka akan wujud kebosanan. Cukup mereka boleh mengenal dan menyebut serta mampu untuk menulis huruf tersebut. Terutamanya murid yang lemah, mereka akan rasa ‘tertekan’ dengan kesempurnaan.

7. Pada peringkat ini juga jangan terlalu beri penekanan kepada padanan huruf ruminya. Cukup sekadar kita menyebut masa kita mengajar. Kebiasaannya anak akan menguasai semasa kita mengajar suku kata terbuka.

8. Jangan lupa setiap kali kita mengajar pastikan ada latihan menulis untuk pengukuhan kepada anak-anak.

# Perhatian latih tubi menulis penting untuk penguasaan Jawi.

9. Pastikan anak-anak betul-betul menguasai 19 huruf ini sebelum beralih kepada suku kata terbuka.

10. Mengapa 19 huruf? Alif, Ba, Ta, Jim, Ca, Dal, Ro, Sin, Nga, Pa, Kaf, Ga, Lam, Mim, Nun, Nya, Wow, Ha, dan Ya.

i. Mudah anak-anak mengingat. Huruf selain daripada huruf ini mereka belajar di dalam subjek  Bahasa Arab dan pembacaan Iqra.’

ii, 19 huruf ini paling sering digunakan dalam bahasa kehidupan seharian. (Sesuai dengan asas jawi langkah kedua iaitu suku kata terbuka)

iii. Anak-anak tidak terbeban untuk menghafal huruf yang banyak.

iv. Ingat selepas huruf tunggal jawi, anak akan ke langkah seterusnya iaitu suku kata terbuka. Ikut aturan huruf 19 ini, supaya anak-anak mudah menyebut huruf-huruf semasa mengeja suku kata terbuka nanti.

  PERHATIAN:

BBM yang digunakan pada anak-anak yang lemah jangan terlalu banyak gangguan seperti gambar, hiasan atau corak-corak dan sebagainya. Kita perlu ingat semula kepada konsep dan tujuan BBM dibina.

Mungkin bagi anak-anak bijak tidak mendatangkan masalah atau gangguan kepada mereka, sebaliknya bagi anak-anak yang lemah, ia merupakan satu halangan besar buat mereka.

Adakala kita terlepas pandang perkara ini kerana ‘ghairah’ dengan hiasan yang cantik, tanpa sedar ia adalah punca gangguan tumpuan anak-anak kepada perkara pokok yang kita ajar.

Pastikan BBM huruf  tunggal jawi :

I. Besar dapat dilihat dengan jelas.

II. Seeloknya hitam putih.

III. Tidak semestinya BBM menggunakan IT semata, banyak pilihan lain untuk dibina.

IV. Boleh dirasa dan disentuh supaya dekat dijiwa anak-anak.

#Sayasukajawi

#santaijawi