FLIPPED Classroom merupakan model pendekatan pengajaran yang mengalihkan masa pengajaran di dalam kelas kepada bentuk video di luar kelas.

Oleh itu, semasa PdPc di dalam kelas, ia akan digunakan sepenuhnya untuk aktiviti kolaborasi dan pengukuhan bersama murid. Contohnya, murid diberi video yang perlu ditonton berserta tugasan yang perlu dibuat sebelum masuk ke dalam kelas. Apabila berada di dalam kelas, hanya proses pembelajaran dan aktiviti yang akan berlangsung.

Bagi mempraktikkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), saya memilih untuk mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam menggalakkan murid-murid saya berinteraksi dalam Bahasa Inggeris.

Jika melalui pembelajaran tradisional, amatlah sukar untuk menggalakkan murid-murid menggunakan Bahasa Inggeris di dalam kelas atau dalam interaksi harian. Faktor-faktor seperti malu dan kurang keyakinan diri terhadap tahap penguasaan Bahasa Inggeris menjadi halangan utama untuk mereka mempraktikkannya dalam interaksi harian. Jadi, bagi membantu mereka untuk membina keyakinan diri dengan penggunaan Bahasa Inggeris dari segi kemahiran mendengar dan lisan, saya memilih untuk menggunakan Aplikasi Flipgrid.

Aplikasi Flipgrid

Aplikasi Flipgrid merupakan satu aplikasi yang memerlukan penggunanya berkongsi video pendek terhadap sesuatu topik yang diutarakan. Yang menariknya, setiap komen yang diberikan juga perlu disampaikan dalam bentuk video.

Bagi menyelesaikan masalah murid yang ragu-ragu untuk berkomunikasi di dalam kelas, saya mempraktikkan kaedah Flipped Classroom dengan penggunaan aplikasi Flipgrid dan Kumpulan Whatsapp kelas.

Teknik ini bermula pada Julai 2019 yang melibatkan murid Tahun Lima. Setiap kali topik baru diperkenalkan, ia akan bermula dengan kemahiran mendengar dan lisan. Namun begitu, saya memilih untuk menjadikan ini satu tugasan untuk mereka laksanakan di rumah.

Saya telah berkongsi video-video Youtube melalui Kumpulan Whatsapp kelas yang telah dicipta. Ahli-ahli kumpulan Whatsapp terdiri dari murid-murid atau ibu bapa. Mereka hanya perlu menonton video tersebut dan berkongsi tugasan yang telah diberikan melalui aplikasi Flipgrid yang telah dimuat turun di telefon pintar masing-masing.

Apa yang menariknya, saya akan dapat akses secara langsung video tersebut dan boleh memberi komen secara terus tanpa menunggu keesokan harinya.

Selain itu, saya juga dapat mengesan kekuatan dan kelemahan murid-murid saya secara individu. Justeru, saya akan memanggil murid-murid yang memerlukan bimbingan tambahan untuk saya berikan perhatian secara individu.

Sebagai guru, saya hanya menyediakan platform yang dipanggil grid mengikut topik yang telah saya cipta berdasarkan buku teks mereka. Mereka hanya perlu klik ke link tersebut dan berkongsi idea, pandangan dan hasil tugasan mereka dalam bentuk video.

Selain itu, kaedah ini membenarkan mereka berlatih berkali-kali sehingga mereka bersedia untuk berkongsi hasil tugasan mereka. Mereka tidak perlu takut dan malu kerana ia boleh dilakukan di mana-mana tanpa kehadiran sesiapa. Walaupun mereka boleh menonton video rakan-rakan sekelas, namun ini menyuntik semangat mereka untuk memberikan yang terbaik dan belajar dari rakan-rakan mereka. Contohnya, mereka akan belajar dari segi keyakinan diri, penyusunan isi persembahan dan sebutan perkataan yang betul.

Antara perkara yang menarik perhatian saya melalui kaedah ini, saya dapat melihat kreativiti murid-murid saya dalam menghasilkan video-video yang menarik. Murid-murid yang kelihatan malu dan tidak bercakap di dalam kelas, kelihatan menonjol dan dapat menyampaikan idea mereka melalui video dengan lebih baik. Hasilnya, murid-murid ini lebih berkeyakinan dan mulai berani untuk berinteraksi dengan saya dan kawan-kawan menggunakan Bahasa Inggeris apabila di sekolah.

Selain itu, saya juga menggalakkan rakan-rakan sekelas untuk memberi komen yang membina terhadap video rakan-rakan mereka. Walaupun, komen-komen yang diberikan menggunakan ayat-ayat yang mudah, ini secara tidak langsung melatih mereka untuk menggunakan ayat-ayat pujian dan komen yang bersesuaian berdasarkan situasi. Tanpa mereka sedar, platform ini dapat membantu meningkatkan kemahiran sosial mereka yang akan digunakan dalam kehidupan harian.

Bagi membuktikan keberkesanan teknik ini, saya telah menjalankan kajian ringkas melalui survey bertajuk Persepsi Murid-Murid tentang Penggunaan Flipgrid dalam Pembelajaran Kemahiran Lisan Bahasa Inggeris yang telah saya bentangkan di Simposium Perkongsian Amalan Terbaik Daerah Kubang Pasu pada tahun 2019.

Hasil survey ini menunjukkan Flipgrid membantu mereka menambahbaikkan sebutan Bahasa Inggeris dengan betul dan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris sama ada di dalam atau di luar kelas.

Majoriti daripada murid-murid ini juga bersetuju bahawa aplikasi Flipgrid adalah sangat mudah digunakan. Mereka hanya perlu klik pada link grid yang diberikan dan akan dibawa kepada topik yang telah disediakan.

Dalam pada itu, idea ini tercetus setelah saya sering menyertai beberapa bengkel “Digital Classroom”. Saya telah didedahkan dengan pelbagai aplikasi yang boleh digunakan di dalam kelas. Pada mulanya, saya diperkenalkan dengan aplikasi ini apabila saya membawa murid-murid saya berinteraksi melalui sesi “Skype” dengan negara India.

Kemudian, kami diberi link grid Flipgrid dan kami perlu memberi komen terhadap sesi Skype tersebut.

Namun, selepas saya menyertai salah satu bengkel “Digital Classroom” saya berpeluang mempelajari dengan lebih lanjut tentang aplikasi ini. Jadi saya terpanggil untuk menggunakannya dalam melaksanakan kaedah Flipped Classroom yang mana menggalakkan murid-murid meneroka teknik pembelajaran terkini yang lebih dekat dan memberi kebebasan untuk mereka.

Sebagai seorang guru Bahasa Inggeris, saya percaya penggunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris dapat ditingkatkan dengan penyediaan platform dan situasi yang sesuai untuk murid-murid menggunakan Bahasa Inggeris.

Ini disebabkan, ia bukanlah satu kebiasaan bagi mereka untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian.

Jadi, saya merasakan, melalui integrasi teknologi dan kaedah Flipped Classroom, saya dapat membantu mereka menggunakannya dan mempraktikkannya di rumah. Saya tidak perlu berada bersama mereka secara fizikal tetapi mereka tahu saya sentiasa ada untuk membantu mereka. Saya mengharapkan untuk menyediakan lebih banyak platform untuk mereka berpeluang menggunakan dan berinteraksi dalam Bahasa Inggeris supaya saya dapat lepaskan mereka mampu terbang tinggi dengan yakin tanpa perlukan saya sebagai pemudahcara.

Teacher Rossalwa bersama murid-murid yang telah mengikuti aplikasi Flipgrid. 

- Rossalwa Mohd Isa

Guru subjek Bahasa Inggeris

SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah

Teknik Mengajar:

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal

Teknik Linosains beri peluang pelajar 'menyanyi' sambil hafal fakta

Kerana teknik mengajar yang Teacher Dilla buat, murid Tahun Satu dan Dua semangat nak datang sekolah