Ramai yang bertanya, kenapa anak perlu kenal huruf dan sekurang-kurangnya suku kata terbuka sebelum masuk darjah 1?

Menurut Guru Pendidikan Pemulihan, Sekolah Kebangsaan Besout 4, Felda Besout 4, Sungkai, Perak, Cikgu Nur Zawanah Zulkiflee, salah satu sebab mengapa anak-anak perlu kenal huruf dan faham tentang suku kata terbuka adalah, ia  memudahkan anak untuk membuat latihan atau aktiviti menjawab soalan bukan sahaja bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi juga bagi mata pelajaran lain.

Sebagai ibu dan ayah, untuk membantu anak mahir membaca, anak perlulah faham apa yang dibaca. Bagi memastikan meraka benar-benar faham, perlu ada kelancaran semasa aktiviti membaca.

Kebiasaannya anak akan lancar membaca apabila ada pengulangan dalam bacaan.

Sebagai contoh “Ini kuda. Ini kuda padi. Ini kuda padi bapa.”

 Ayat ini adalah ayat bacaan bergred yang dibina mengikut kemahiran dalam silibus pemulihan terkini bagi tahun 2019.

Bacaan bergred ini adalah bacaan yang dibina melalui proses pemeringkatan untuk membolehkan seseorang murid menguasai bacaan dengan lancar dalam tempoh masa yang singkat.

Selalunya kad bacaan yang paling cepat untuk bantu anak membaca adalah kad bacaan bergred mengikut kemahiran kerana ia mudah dan ayat yang digunakan selalunya berulang-ulang dan kadangkala boleh dijadikan ayat lembut lidah.

Sebagai contoh “Mama beri Mimi lima biji ceri mini”.

Oleh sebab itu, peranan ibu dan ayah juga penting kerana bacaan bergred ini sangat menarik dan mudah dibaca di rumah.

Ibu dan ayah boleh gunakan beberapa gambarajah di bawah ketika proses pembelajaran di rumah. Ulang pembacaan beberapa kali, sehingga anak benar-benar faham.

Selamat mencuba