Sarian Tiana merupakan titik tanda kepada kelas pembelajaran melalui nyanyian Acting Through Song (ATS) tahap 1.

Seramai 27 pelajar terlibat berusia antara 4 hingga 15 tahun akan mempersembahkan hasil daripada usaha gigih yang dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Pengetua yang juga pemilik Shafi Vocal Studio, Shafizawati Sharif atau lebih terkenal dengan nama Cikgu Shafi berkata, ATS memulakan pengambilan pelajar sesi pertama pada Mac 2016 di mana sesi selama enam bulan itu diakhiri dengan persembahan teater muzikal Sarian Tiana.

“ATS memberi pembelajaran alternatif dengan cara memupuk dan melatih anak-anak kecil serta golongan dewasa untuk meneroka potensi diri dalam bidang seni lakonan dan nyanyian.

“ATS sangat menitikberatkan pelajar yang lemah, tidak aktif, malu, kurang keyakinan diri dalam berkomunikasi untuk lebih menonjol sebaris dengan pelajar yang aktif,” katanya.

Menurutnya, pendedahan dan penglibatan awal dalam teater muzikal menuntut anak-anak ini mengamalkan disiplin diri, sahsiah diri dan menghormati diri sendiri serta orang lain.

“Ia juga membuka pelbagai peluang untuk berkembang sebagai pelajar, guru, pelakon, penyanyi malah sebagai tenaga profesional juga di mana ia adalah proses pembelajaran sepanjang hayat.

“Sepanjang pengalaman mengajar selama 17 tahun, saya dapati nilai artistik setiap individu itu tidak datang dengan sendiri tanpa dibantu dengan latihan dan ilmu," katanya.

Beliau percaya proses perkembangan seni itu harus dipupuk sejak kecil lagi dan melalui pendidikan seni persembahan seseorang individu dapat memperbaiki beberapa perkara penting pada diri mereka.

“Antaranya adalah kreativiti, keyakinan diri, daya menyelesaikan masalah, fokus, komunikasi tanpa verbal, menerima maklum balas secara konstruktif, dedikasi,
kebertanggungjawaban serta kolaborasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat menghargai segala kerjasama yang diberikan semua pihak terutamanya Kengkawan Project, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan ibu
bapa pelajar sendiri.



Naskhah mendidik

Tema teras teater ini ialah memupuk kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan anak-anak dan kepentingannya kepada manusia, semua makhluk di muka bumi dan khazanah dasar laut.

Naskhah hasil karya Fateha Hanif dan Eiza Ali ini menggabungkan kehidupan di darat dan di laut di mana ia turut menerapkan unsur kontemporari yang ditonjolkan melalui skor muzik, lakonan serta penceritaan secara keseluruhan.

Menurut Fateha, teater berkenaan lahir atas daya imaginasinya yang gemar menerawang ruang lingkup alam fantasi.

"Cetusan ilham mudah iaitu mengenali kekuatan diri dan mempertahankan khazanah bangsa telah melahirkan cerita yang akhirnya menyentuh lapisan dan isu lebih besar.

“Sarian Tiana adalah mengenai sifat seorang puteri dalam diri di mana kita semua sebenarnya bagaikan puteri. Walaupun kita bukan puteri yang selalu dibayangi atau menjadi idaman, namun kita berdaya menyerlahkan sifat puteri dalam diri masing-masing dan menyahut cabaran hidup," katanya.

Kata Fateha, dia percaya setiap individu mempunyai sisi baik dan gelap, kemahuan individu itu sahaja mampu mengurangkan sisi gelapnya demi kebaikan bersama.

"Memetik kata-kata Ratu Sisca sebagai penutup kata 'Be good now for the best of tomorrow',” katanya.

Berkongsi pengalaman melatih anak-anak berusia 4 hingga 15 tahun yang terlibat dalam teater ini, Fateha berkata, situasi mungkin sukar jika tenaga pengajar tidak ‘masuk’ ke dalam dunia kanak-kanak itu sendiri.

“Situasi pembelajaran seharusnya menyeronokkan dan ia dapat mempengaruhi mereka untuk ingat watak dan tanggungjawab masing-masing sekali gus melancarkan lagi sesi latihan insentif yang dijalankan selama tiga bulan," katanya.