BANDAR SERI JEMPOL - Hampir 70 peratus kanak-kanak yang belajar di Tabika Perpaduan Bandar Seri Jempol Dua sudah boleh mengenal huruf dan nombor berbanding Januari lalu.

Guru tabikanya, Nor Azimah Yunus berkata, mereka turut boleh membaca ayat mudah berdasarkan perkembangan pembelajaran sepanjang Januari hingga Julai ini.

“Untuk mengekalkan momentum ini, kita sentiasa menerapkan disiplin dan jati diri dalam diri anak-anak ini supaya mereka menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya selepas selesai Majlis Sehati Sejiwa sempena Syawal di ruang legar Pejabat Rakan Muda Jempol, kelmarin.

Hadir sama, Penolong Pegawai Kanan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Jempol/Kuala Pilah Ruhaizat Udin dan Penolong Pegawai Perpaduan Jempol, Norhayati Karim.

Mengulas mengenai majlis itu, kata beliau, pihaknya berharap jalinan ukhuwah antara ibu bapa penjaga dengan warga tabika sendiri dapat dikekalkan.

“Dalam konteks ini, ia merupakan bonus buat kita kerana ibu bapa dan penjaga boleh berkongsi pendapat dan cadangan dalam usaha memastikan prestasi anak-anak di sini sentiasa meningkat dari masa ke masa,” katanya.