Gembira melihat cikgu-cikgu bersemangat buat pembelajaran secara maya. Pelajar pun gembira, sebab ada sahaja idea cikgu untuk berikan kelainan.

Bagi membangkitkan semangat yang sedia ada, Tenaga Pengajar Utama Pembelajaran Matematik Secara Inkuiri (PMSI) Pusat STEM Negara, Cikgu Muhammad Rauf Fathi Hamid Latif ada butirannya.

Semoga lima tip menarik ini dapat membantu anda mewujudkan pembelajaran yang lebih menyeronokkan di rumah.

Selamat berjaya.

1.Tahu tujuan belajar

Kita semua pernah menghadiri sesi motivasi bersama kaunselor bukan? Pasti kita akan diminta menyenaraikan apa tujuan sebenar kita belajar. Setiap individu mempunyai jawapan yang pelbagai. Ada yang ingin membanggakan ibu-bapa, ada yang ingin mengejar cita-cita dan sebagainya. Walau apapun tujuan kita belajar, ia sebenarnya satu dorongan dalaman/ intrinsik dalam memastikan kita kekal bersemangat belajar.

2.Masa itu emas

Kalau ditanya kepada mereka yang telah berusia, apa yang diinginkan? Pasti mereka akan menjawab masa lalu yang telah dihabiskan dengan sia-sia. Dalam era pendidikan norma baharu kita sekarang bertanggungjawab mengurus masa dan waktu kita sendiri. Mereka yang menanam benih pada hari ini pasti akan menuai hasil pada masa hadapan. Baik benih yang ditanam, baiklah hasilnya kelak.

3.Ruang belajar kendiri

Ada orang hanya boleh belajar bila berada dalam suasana sunyi, ada juga  yang selesa belajar sambil mendengar muzik. Bagaimana anda belajar, itu adalah hak individu. Namun begitu, janganlah pula anda jadikan dapur, ruang hadapan televisyen sebagai ruang belajar anda. Sekalipun ruangan rumah kita sempit, pastikan televisyen ditutup semasa kita belajar. Elakkan sebarang anasir yang menjadi gangguan fokus kita.

4.Berhubung dengan rakan positif

Berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan mendapat wanginya. Pandemik Covid 19 menghalang kita untuk bersama bersemuka dengan rakan-rakan positif. Pilihan yang kita ada ialah melalui aplikasi dan laman sosial yang ada. Manfaatkan teknologi yang ada sebaiknya.

5.Ikuti kelas dalam talian

Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak bagi memastikan momentum belajar murid sentiasa ada. Cikgootube, DELIMa KPM, TV Pendidikan, Math Is Awesome dan pelbagai lagi platform pembelajaran atas talian percuma telah disediakan. Murid hanya perlu menyediakan diri untuk bersama guru-guru terbabit.

Terbaharu, satu program dibawah kerjasama Guru-guru Matematik dan Sains Kuala Lumpur menerusi Majlis Guru Cemerlang Kuala Lumpur (MGCKL) turut membuka peluang untuk murid sekolah rendah belajar dalam talian secara percuma melalui Program Wakaf Ilmu.

Melalui Wakaf Ilmu, murid akan merasai pengalaman pembelajaran atas talian bersama guru-guru cemerlang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang bergabung buat julung kalinya bagi tujuan memastikan murid-murid kekal semangat dalam meneruskan pembelajaran.

Boleh ikuti telegram Program Wakaf Ilmu di https://t.me/joinchat/BM5LTRqjsyTCDrYKqMOfWQ untuk makluman lanjut.