MURID kreatif datangnya daripada guru kreatif. Di dalam sebuah kelas, akan ada murid yang kreatif, dan juga murid yang tidak kreatif.

Melihat kreativiti ini, seperti satu bakat semulajadi. Perkara yang biasa berlaku, adalah guru kreatif, tetapi muridnya tidak kreatif seperti cikgunya.

Jadi persoalannya di sini, bolehkah seorang guru itu mengajar muridnya untuk menjadi kreatif?

Maka, gurulah yang berperanan untuk memberi kemahiran ini kepada murid. Tuntutan Pembelajaran di Abad 21 ini, menuntut supaya guru dan murid meletakkan kreativiti sebagai salah satu ciri utama yang perlu ada.

Di bawah terdapat beberapa tip bagaimana menghasilkan murid yang kreatif di sekolah:

1. Sediakan persekitaran yang kreatif

Persekitaran yang kreatif banyak membantu murid untuk berfikir dengan cara yang kreatif juga. Benda kreatif yang berada di sekeliling murid secara tidak langsung akan membentuk gaya pemikiran di luar kotak.

2. Banyakkan aktiviti berkumpulan

Satu kepala memang hanya akan menghasilkan idea yang sama. Dengan adanya aktiviti berkumpulan, maka lebih banyak idea yang akan datang serta turut membantu murid yang kurang kreatif, melihat gaya berfikir rakan mereka.

Aktviiti berkumpulan boleh menjana kreativiti murid

3. Dedahkan pelajar dengan benda kreatif

Bagi menggalakkan murid berfikir dengan kreatif, guru perlu sentiasa mendedahkan pelbagai benda kreatif yang baharu kepada mereka. Ini bagi membolehkan murid merasakan bahawa, tiada benda yang mustahil. Kadang-kadang, benda kreatif dihasilkan dengan hanya melibatkan sedikit perubahan kecil pada benda tersebut.

4. Penggunaan 'Pinterest'

Pinterest merupakan aplikasi yang sangat berkuasa untuk membantu pelajar melihat idea kreatif. Dengan kemudahan internet yang ada pada murid, maka boleh lah dioptimumkan penggunaan telefon pintar bagi tujuan pembelajaran seperti ini.

Mencari idea kreatif melalui aplikasi 'Pinterest'

5. Beri kebebasan

Seringkali juga saya sentiasa memberikan kebebasan kepada murid untuk berkarya atau menghasilkan tugasan mereka. Murid boleh buat nota / projek dengan menggunakan apa-apa bahan, mengikut cara mereka.

6. Tunjukkan hasil kerja rakan mereka

Taktik ini sering saya gunakan bagi membolehkan mereka sentiasa berlumba-lumba menghasilkan projek / hasil kerja yang lebih unik, tersendiri dan kreatif. Murid lain boleh mengambil idea daripada hasil kerja rakan mereka, dan ditambahbaik bagi menghasilkan projek yang lebih kreatif.

7. Hormati idea kreatif murid

Dalam proses murid untuk menjadi kreatif, kadang-kadang mereka tampil dengan idea yang kita rasakan tidak munasabah dan sesuai.

Biasanya dalam kes seperti ini, sentiasa terbuka dengan idea murid (walaupun lari tajuk / tidak sesuai). Guru perlu minta pelajar jelaskan semula kenapa dan mengapa idea tersebut mahu digunakan. Bertujuan memberi kefahaman yang jelas semula kepada murid, bagi membolehkan mereka berfikir dengan lebih jelas. Sekaligus akan membuatkan mereka berfikir berulang kali untuk menambahbaik idea mereka.

8. Sediakan bahan yang pelbagai

Penggunaan bahan yang pelbagai juga boleh memberikan nilai tambah kreatif kepada murid.

Contoh mudah, sekiranya selalu menggunakan kertas untuk pembentangan, mungkin sekali sekala boleh diubah kepada penggunaan bahan lain, seperti plastik dan kayu.

Bahan yang pelbagai boleh membantu murid menghasilkan bahan yang kreatif.

9. Integrasi seni

"Saya suka jika seni dapat diintegrasikan dalam pembelajaran Sains. Ini kerana penggabungan seni dengan Sains dapat menghasilkan idea dan hasil kerja yang lebih 'seimbang' dan kreatif. Kita sendiri pun sedia maklum penggunaan otak kiri dan kanan secara optimum, boleh menghasilkan keputusan yang lebih baik dan berbeza".

Hasil kerja murid yang mengintegrasikan seni.

Untuk itu, penggunaan warna melalui kertas warna dan juga pensil warna atau pun krayon mampu memberi impak positif kepada kreativiti murid.

10. Tugasan mencabar

Tidak dinafikan tugasan yang mencabar mampu memberi satu cabaran kepada cara berfikir murid. Antara kaedahnya adalah dengan mengehadkan penggunaan bahan, atau pun meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi murid. Kekangan dan halangan seperti ini mampu mencabar cara berfikir sedia ada murid.

11. Penyelesaian masalah

Kaedah penyelesaian masalah juga dapat memberikan murid cabaran untuk berfikir dengan kreatif. Murid akan berusaha sebaik mungkin, memikirkan strategi atau kaedah terbaik dalam menyelesaikan permasalahan. Pendedahan kerap murid dengan kaedah sebegini akan membentuk gaya berfikir di luar kebiasaan.

12. Penggunaan ICT

Rugi sekiranya kita tidak mengambil peluang daripada kelebihan yang dapat ditawarkan ICT. Penggunaan ICT mampu memberikan lebih banyak kemungkinan cara penyelesaian masalah dan penghasilan hasil kerja murid.

Memanfaatkan kelebihan ICT untuk pendidikan.

13. Luar buku teks

Jangan terlalu terikat dengan penggunaan buku teks secara linear. Guru boleh kreatif dengan memberikan tugasan yang hampir serupa walaupun kandungan tersebut tiada dalam buku teks. Ini membolehkan murid untuk membuat rujukan luar, dan menjumpai lebih banyak maklumat di luar.

14. Gabungkan aktiviti

Sesekali cuba gabungkan aktiviti atau subtopik bagi memberikan impak berbeza kepada murid. Bukan sahaja boleh menjimatkan masa mengajar, tetapi juga membolehkan murid untuk melihat isu dengan lebih luas dan merentasi kurikulum.

15. Belajar dari kesilapan

Dalam sesetengah keadaan, hasil kerja murid atau hasil aktiviti murid mungkin silap dan tidak menepati kehendak. Jangan marah, sebaliknya beri mereka galakan untuk menilai semula di mana kesilapan tersebut berlaku, memberi pilihan penyelesaian yang mungkin dan membiarkan murid membuat pilihan paling tepat untuk mereka baiki semula kesilapan.

Murid diberi galakan untuk membuat pilihan bagi menilai hasil kerja mereka.

16. "Lima minit dah cukup"

Guru tidak perlu menganggap proses kreativiti ini berlangsung sepenuhnya pada 40 minit sesi pembelajaran. Buat permulaan, cukuplah jika dimulakan dengan lima minit sahaja dalam setiap kali kelas, sebelum dilanjutkan kepada masa yang lebih panjang mengikut kemampuan guru dan murid.

17. Jangan paksa

Kreativiti merupakan satu proses yang bukan mudah. Biarkan murid mengambil masa mereka untuk kreatif. Jangan paksa mereka untuk melakukan perkara yang mereka tidak suka, sebaliknya beri galakan untuk mereka mempelajari sebanyak mungkin kemahiran daripada sebanyak mungkin peluang.

Kesimpulannya, berilah masa untuk murid menjadi kreatif. Kemahiran yang perlu dipupuk ini, walaupun sedikit mengambil masa, insha-Allah akan memberikan impak yang tinggi. Jangan terkejut nanti dengan hasil kerja murid yang kreatif, malah boleh melebihi jangkauan apa yang kita fikirkan. Selamat beramal!

Sumber: Blog Cikgu Hailmi

Artikel Menarik:

Ini yang perlu guru amal dan elak dalam bab penampilan - Cikgu wajib hadam

'Jatuh cinta' dengan keunikan dan khasiat buah tin jadikan guru agama ini usahawan berjaya

Cikgu datang mengajar setiap minggu, murid beri cikgu siput buat ganti 'gaji'